KUALA LUMPUR, 24 Oktober - Lembaga Tabung Haji (TH) melantik 31 syarikat pelancongan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen bagi musim haji 1447 Hijrah atau 2026 Masihi.
Ketua Jabatan Haji, Mohd Hisham Harun berkata, pelantikan itu dibuat selepas proses penilaian rapi terhadap 60 permohonan lesen yang diterima daripada syarikat pelancongan tempatan.
Beliau menjelaskan, penilaian berkenaan meliputi aspek keupayaan kewangan, pematuhan undang-undang, rekod pengurusan jemaah serta prestasi operasi terdahulu.
Menurutnya, langkah itu membuktikan komitmen berterusan Tabung Haji dalam memastikan semua pengelola jemaah beroperasi mengikut piawaian dan garis panduan ketat, sejajar dengan tanggungjawab TH sebagai peneraju urusan haji negara.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pakej haji oleh pihak tidak berlesen yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh dianggap sebagai penipuan atau scam.
Bakal jemaah disaran membuat semakan senarai rasmi PJH berlesen melalui portal www.tabunghaji.gov.my bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Pelantikan ini dijangka dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan serta pengalaman jemaah haji Malaysia pada musim akan datang.