30 rumah musnah dalam kebakaran di Sandakan

Sebahagian daripada 30 buah rumah yang terbakar di Sandakan. /Foto APM Sabah

SANDAKAN, 29 April – Kira-kira 30 rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Bokara, Kampung Karamunting, di sini awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.16 pagi; 21 anggota bertindak memadam menggunakan tiga aliran air.
  • Api melibatkan kira-kira 1.4 hektar dan berjaya dikawal pada 4.29 pagi, menyelamatkan kira-kira 100 rumah lain.
  • Tiada kemalangan jiwa dilaporkan; operasi ditamatkan pada 7.01 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran di kampung itu pada 3.16 pagi sebelum 21 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan tiga aliran air termasuk sumber daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jimmy berkata kebakaran itu dianggarkan membabitkan kawasan seluas 1.4 hektar dan api berjaya dikawal pada 4.29 pagi, sekali gus menyelamatkan 100 rumah lain di kampung berkenaan.

Beliau berkata operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.01 pagi setelah memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi kejadian.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Insiden itu merupakan yang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan di Sandakan, selepas tragedi kebakaran rumah air di Kampung Bahagia di sini pada 19 April lepas yang menyebabkan 1,000 rumah musnah dan lebih 9,000 penduduk kehilangan tempat tinggal. -BERNAMA