Kursi Raja-Raja Melayu UiTM gesa tindakan tegas terhadap penghina Sultan Selangor

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan

SHAH ALAM, 29 April – Perlakuan menghina dan biadap terhadap Sultan Selangor di media sosial disifatkan sebagai perbuatan tidak bertamadun yang mencabar prinsip Rukun Negara serta semangat Perlembagaan Persekutuan, menurut Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM).

RINGKASAN BERITA AI
  • PDRM dan SKMM digesa mengambil tindakan tegas serta segera untuk membendung penghinaan terhadap institusi diraja.
  • Semua pihak, termasuk badan eksekutif dan legislatif, wajib menjunjung serta menghormati titah Sultan; titah tidak harus dipolitikkan.
  • Tindakan undang-undang wajar dilaksanakan demi memelihara institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kestabilan, perpaduan dan kedaulatan negara.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan berkata, tindakan tegas dan segera oleh pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) amat diperlukan bagi membendung gejala tersebut.

Beliau membidas sikap pihak tertentu yang melahirkan penghinaan serta kebiadaban terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sama ada secara terbuka atau tersirat melalui media massa mahupun platform media sosial.

“Sebagai Ketua Negeri Selangor, baginda memegang kedudukan tertinggi dalam struktur pemerintahan negeri. Sehubungan itu, semua pihak termasuk badan eksekutif dan legislatif wajib menjunjung, menghormati serta mematuhi titah baginda, khususnya dalam perkara melibatkan kepentingan rakyat.

“Titah baginda tidak sewajarnya dipolitikkan atau dipolemikkan untuk kepentingan sempit mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dr. Awang turut menyatakan kekesalan terhadap segelintir wakil rakyat yang sepatutnya menjunjung tinggi institusi Raja-Raja Melayu, namun sebaliknya dilihat bertindak mencabar atau memperlekehkan titah Tuanku.

Tegas beliau, sebarang tindakan yang mempersenda institusi diraja adalah bercanggah dengan prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, serta prinsip kelima, Kesopanan dan Kesusilaan.

“Tindakan undang-undang wajar dilaksanakan selaras dengan semangat Perlembagaan bagi memastikan pembinaan masyarakat yang beradab dan berintegriti terus terpelihara.

“Institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak kestabilan, perpaduan dan kedaulatan negara yang wajib dipelihara serta dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa kompromi,” katanya lagi.