fb fb fb fb fb

3,597 kes penderaan disiasat bawah Akta Kanak-Kanak 2001

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan / Foto RTM

LABUAN, 13 November - Sebanyak 3,597 kes penderaan disiasat bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, statistik tersebut berdasarkan laporan dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bagi tempoh 2018 sehingga Disember 2023.

Jelas beliau ini menunjukkan 90 peratus kes merupakan suspek yang dikenali oleh mangsa dan hanya 10 peratus melibatkan suspek yang tidak dikenali.

Setakat Ogos 2024 sahaja sebanyak 47 kes melibatkan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan telah direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan.

"Justeru kita mahu mangsa atau sesiapa sahaja boleh menghubungi sistem Talian Kasih 15999 atau menerusi 'WhatsApp' 019-2615999. Kita juga minta nombor tersebut ditampal pada setiap tempat.

"Jadi maksudnya setiap kanak-kanak, ibu bapa ataupun sesiapa sahaja jika tahu ada kes melibatkan penderaan, pengabaian atau sebagainya bolehlah menghubungi nombor tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Labuan 2024 di sini, pada Rabu.

Sebanyak 327 buah sekolah telah melaksanakan program ini yang memberi manfaat lebih 174,000 kanak-kanak.

Menerusinya diharap dapat menggerakkan semua anggota masyarakat dalam memastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak sentiasa dipelihara dan dilindungi.

Trainee