KUALA TERENGGANU, 30 Mac – Sebanyak 172,331 kenderaan direkodkan memasuki Terengganu sejak Jumaat lalu berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Jumlah tersebut melibatkan laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) serta jalan-jalan persekutuan yang menghubungkan negeri ini dengan Pahang dan Kelantan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata jumlah kenderaan tertinggi dicatatkan melalui LPT2, iaitu sebanyak 152,331 kenderaan.
“Kemasukan tertinggi direkodkan pada Sabtu, 29 Mac, dengan 65,975 kenderaan memasuki Terengganu,” katanya ketika meninjau aliran trafik di Plaza Tol dalam Op Selamat 24 bagi negeri ini.
Selain LPT2, sebanyak 20,000 kenderaan direkodkan melalui Jalan Persekutuan, iaitu di Kuala Kemaman dari arah Kuantan serta di sempadan Jertih dari arah Pasir Puteh, Kelantan.
Bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya, seramai 260 pegawai dan anggota polis ditugaskan sepanjang Op Selamat 24, yang bermula semalam hingga 3 April.
Menurut Datuk Mohd Khairi, pihak polis telah mengenal pasti 25 lokasi hotspot dan 21 kawasan blackspot di seluruh negeri yang sering berlaku kesesakan serta kemalangan.
"Hotspot yang boleh saya cakap adalah 25 hotspot. Enam di Kuala Terengganu, dua di Setiu, tiga di Kemaman, tiga di Dungun, dua di Hulu Terengganu. Empat di Marang dan lima di Besut.
"Untuk blackspot 21 lokasi. Enam di Marang, empat di Besut, tiga di Kuala Terengganu,tiga di Setiu , dua di Kemaman, dua di Hulu Terengganu dan satu di Dungun bagi melancarkan aliran trafik, kita juga menempatkan anggota di point point yang kita rasa kan utk melancarkan pergerakan trafik", katanya demikian ketika meninjau aliran trafik di Plaza Tol sempena Op Selamat ke 24 bagi Negeri Terengganu di sini.
Dalam perkembangan berasingan Polis Terengganu menyita 10 motosikal Yamaha RXZ dalam Op Khas Samseng Jalanan di sekitar Kuala Terengganu malam tadi.
Ia hasil pemeriksaan ke atas 80 motosikal di sekitar kawasan Jambatan Angkat dan sebuah restoran di sini.
Jelas Khairi, 46 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada cermin sisi, ubah suai ekzos, tiada brek, tiada lesen memandu, nombor plat tidak mengikut spesifikasi dan lesen kenderaan motor tamat tempoh.
"Kita dapat aduan daripada orang ramai bahawa bising disebabkan ekzos bising.
"Jadi, orang ramai buat aduan kita buat operasi dan kita menahan mereka terlibat", katanya.
Hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas 10 pemilik motosikal yang disita negatif.