KUCHING, 3 Disember- Seramai 147 individu menerima Pingat dan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak, pada Istiadat Pengurniaan yang berlangsung di Astana Negeri, Petra Jaya di Kuching pagi tadi.
Majlis penyampaian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Mendahului senarai ialah Setiausaha Sulit kepada Premier Sarawak, Ahmad Hazlan Ismawi.
Beliau merupakan penerima tunggal bagi Johan Bintang Kenyalang, JBK.
Ini diikuti Ketua Kumpulan Khidmat Korporat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak, Rakayah Hamdan, yang menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang, PPC.
Bagi penerima Pingat Perwira Negeri, PPN (Gangsa) diberikan kepada 10 penerima; enam individu menerima Pegawai Bintang Sarawak, PBS; 19 orang pula menerima Pegawai Bintang Kenyalang PBK; dan Pingat Perkhidmatan Bakti, PPB dianugerahkan kepada 20 individu.
Selain itu, seramai 17 individu dianugerahkan Ahli Bintang Sarawak, ABS; Ahli Bintang Kenyalang, ABK diberikan kepada 17 penerima; 25 orang menerima Pingat Perkhidmatan Terpuji, PPT; dan Bentara Bintang Sarawak, BBS diterima oleh 21 individu.
Turut hadir pada istiadat tersebut, isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.