10,000 CCTV pengecaman wajah dipasang sekitar Kuala Lumpur

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memasang 10,000 kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi dengan teknologi pengecaman wajah bagi memperkukuh aspek keselamatan di ibu negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Teknologi pengecaman wajah dijangka mengurangkan jenayah seperti ragut dan kecurian serta meningkatkan kecekapan penguatkuasaan.
  • Sistem akan dihubungkan dengan data MyKad dan berpotensi disambung ke pangkalan data identiti nasional untuk pengesahan identiti.
  • Teknologi pintar juga diperluas untuk pengurusan trafik masa nyata, pusat kawalan bersepadu dan penggunaan AI dalam pengurusan sisa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata penggunaan teknologi pintar itu diyakini mampu mengurangkan kes jenayah seperti ragut dan kecurian, selain meningkatkan kecekapan penguatkuasaan.

“DBKL yakin pelaksanaan sistem berteknologi tinggi itu mampu mengurangkan secara signifikan kes jenayah seperti kecurian dan ragut kerana suspek tidak lagi mudah meloloskan diri daripada dikesan.

“Malah, langkah seterusnya adalah menghubungkan sistem pengecaman wajah tersebut dengan data MyKad bagi memperkukuh keupayaan pengesanan dan penguatkuasaan,” katanya semasa ucapan penutup Program City Talk 2026 hari ini.

Menurut beliau, kerajaan turut melihat potensi menghubungkan sistem tersebut dengan pangkalan data identiti nasional pada masa hadapan bagi memperkukuh proses pengesahan identiti.

Dalam masa sama, beliau berkata, penggunaan teknologi pintar turut diperluaskan menerusi sistem pengurusan trafik masa nyata dan pusat kawalan bersepadu bagi mempercepatkan respons kecemasan.

Selain itu, teknologi kecerdasan buatan (AI) akan dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan sisa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.