Inisiatif sistem Telematik dilaksana secara berfasa

Menteri Pengangkutan menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif Telematik Kenderaan Perdagangan di Bandar Baru Bangi/Foto Facebook MOT

BANGI, 29 Jun – Inisiatif sistem telematik bagi kenderaan perdagangan akan dilaksanakan secara berfasa sebelum dicadangkan sebagai syarat mandatori pelesenan pada tahun 2028.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan fasa pertama: penggunaan sukarela dan program advokasi kepada industri bermula tahun ini hingga 2027.
  • Pembangunan pangkalan data pemandu berpusat dan integrasi data telematik pada 2027 untuk analisis prestasi pemandu menyeluruh.
  • Teknologi membolehkan pemantauan masa nyata aspek kelajuan, brek mengejut, pecutan agresif dan tempoh pemanduan.
  • Operator boleh melanggan perkhidmatan serendah RM60 hingga RM300 sebulan; lima syarikat rintis sedia menawarkan perkhidmatan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan pelaksanaannya tidak membebankan pemain industri secara mengejut.

Menurut beliau, langkah berkenaan turut memberi ruang kepada penyedia sistem mematuhi standard yang ditetapkan, selain memastikan sistem kerajaan berupaya menerima serta menganalisis data secara selamat dan berkesan.

Katanya, penggunaan sistem telematik secara sukarela dan program advokasi kepada industri akan dilaksanakan pada fasa pertama bermula tahun ini hingga 2027.

“Fasa kedua pada tahun 2027 ialah pembangunan Sistem Pangkalan Data Pemandu Kenderaan Perdagangan dan integrasi data telematik secara berpusat.

“Sistem ini akan membolehkan data prestasi pemandu dianalisis dengan lebih menyeluruh dan menyokong pembangunan sistem penilaian prestasi pemandu yang lebih berkesan.

“Fasa ketiga pula yang dicadangkan bermula pada tahun 2028 ialah mempertimbangkan penggunaan sistem telematik sebagai salah satu syarat wajib pelesenan bagi kenderaan perdagangan, setelah tahap kesiapsiagaan industri dan pembangunan sistem kerajaan berada pada tahap yang memuaskan,” ujarnya.

Anthony Loke mencuba sendiri sistem teknologi telematik bagi Kenderaan Perdagangan di Bandar Baru Bangi, hari ini/Foto Facebook MOT

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Telematik Bagi Kenderaan Perdagangan di Bangi, hari ini.

Katanya, inisiatif itu merupakan langkah strategik kerajaan untuk memperkukuh keselamatan operasi kenderaan perdagangan menerusi penggunaan teknologi telematik.

Teknologi itu membolehkan pemantauan prestasi pemanduan secara masa nyata, termasuk aspek kelajuan, brek mengejut, pecutan agresif dan tempoh pemanduan.

Ujar Loke, syarikat pengendali tidak perlu membeli sistem itu sebaliknya hanya perlu melanggan serendah RM60 hingga RM300 sebulan, bergantung kepada ciri yang ditawarkan.

Jelasnya, terdapat lima syarikat rintis bersedia menawarkan perkhidmatan Telematik kepada operator dan pengendali kenderaan perdagangan.

Antaranya, BSmart System Solution Sdn Bhd, Navipulse Sdn Bhd, MyLorry Technology Solution Sdn Bhd, Theta Edge Berhad dan ANSA Digital Sdn Bhd.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.