
KUALA LUMPUR, 29Jun-Kerajaan akan mempertimbangkan permintaan untuk membina jalan penghubung baharu di luar bandar Sabah dan Sarawak yang masih belum mempunyai akses ke bandar utama.
- Kerajaan akan meneliti permintaan pembinaan jalan penghubung baru di luar bandar Sabah dan Sarawak untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2027.
- KKDW menetapkan pembinaan jalan luar bandar sebagai tanggungjawab menghubungkan kawasan pedalaman dengan bandar utama dan penempatan sedia ada.
- Pelaksanaan projek baharu tertakluk kepada peraturan dan prosedur Kementerian Kewangan serta Jabatan Kerja Raya.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perkara berkenaan akan diteliti untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2027.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kementeriannya akan menetapkan pembinaan jalan luar bandar kekal menjadi tanggungjawab dalam menghubungkan kawasan pedalaman dengan bandar utama dan penempatan sedia ada.
“Kita telah menetapkan bahawa jalan di luar bandar adalah tanggungjawab KKDW dan ianya akan menghubungkan Lebuhraya Pan Borneo ke bandar-bandar utama, serta dari Lebuhraya Pan Borneo ke kawasan penempatan sedia ada.
“Tetapi jika masih tiada keterhubungan (bagi kawasan baharu), maka sebarang permintaan (pembinaan jalan) itu akan kita masukkan di dalam bajet tahun 2027,”katanya demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi 2025 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di ibu negara, hari ini.
Namun jelas beliau, pelaksanaan projek infrastruktur baharu itu masih tertakluk kepada peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan
Kerja Raya (JKR).