BESERI, 18 Mei - Seramai 100 pasangan di Perlis akan menerima perkhidmatan ujian kesuburan dan rawatan inseminasi intrauterine atau permanian beradas (IUI) secara percuma menerusi Program Bantuan IUI dan Advokasi Infertiliti (BuAI) tahun ini.
Program anjuran kerajaan itu menyasarkan 1,300 pasangan di seluruh negara yang menghadapi masalah kesuburan.
Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, inisiatif itu memberi harapan baharu kepada wanita yang masih menanti peluang untuk bergelar ibu, sekali gus membantu lebih ramai pasangan merealisasikan impian membina keluarga.
"Situasi ini berikutan dengan Kadar Kesuburan di negara ini yang menunjukkan penurunan ketara dengan hanya purata 1.7 anak bagi setiap wanita pada 2023 berbanding 2.1 orang anak pada 2010 berdasarkan laporan oleh Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (ESCAP) 2024," kata Datuk Seri Rohani kepada pemberita pada Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Perlis bertemakan "Sentuhan KASIH Ibu", di sini.
Sambutan itu mengetengahkan penghargaan terhadap peranan besar dan pengorbanan ibu dalam membentuk keluarga sejahtera, berakhlak dan harmoni.