fb fb fb fb fb

10 tan metrik durian laris di Durian Agro Tourism Fest Bandar Baharu

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berkenan berangkat ke Durian Agro Tourism Fest Bandar Baharu

BANDAR BAHARU, 30 Jun- Kira-kira 10 tan metrik durian pelbagai variasi habis dijual sepanjang penganjuran Durian Agro Tourism Fest Bandar Baharu yang berlangsung selama empat hari di Dataran Bandar Baharu, berakhir semalam.

Program anjuran kali ketiga itu menerima keberangkatan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff sempena majlis perasmian festival berkenaan.

Penganjuran tahun ini lebih istimewa apabila diadakan bersempena Tahun Melawat Kedah 2025, dengan matlamat menarik lebih ramai pengunjung ke daerah Bandar Baharu serta mempromosikan sektor pelancongan tempatan.

Ia juga sejajar dengan Pelan Pembangunan Negeri Kedah 2035 untuk menjadikan Bandar Baharu sebagai Bandar Durian, memanfaatkan kira-kira 525 hektar dusun durian di daerah itu yang menanam variasi berkualiti tinggi seperti Duri Hitam, Musang King, Udang Merah dan D24.

Turut dipamerkan produk hiliran berasaskan durian seperti durian sejuk beku, isi durian sejuk beku, pes durian, dodol durian dan ais krim durian.

Festival tersebut berjaya menarik hampir 10,000 pengunjung, termasuk dari kawasan sekitar seperti Parit Buntar (Perak) dan Nibong Tebal (Pulau Pinang).

Sepanjang empat hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan termasuk sukaneka, kuiz, pertandingan mewarna, pertandingan memasak berasaskan durian, memancing udang galah, menghias kek, peragaan pakaian kanak-kanak bertema durian, berkuda, berkayak, persembahan api, serta pameran motosikal dan kelab kereta.

Kemuncak hiburan festival turut diserikan dengan persembahan daripada artis-artis terkenal tanah air antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash Lefthanded, Afee Utopia dan Shidi Data.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE