KUALA LUMPUR, 27 Mac- Sebanyak 10 laporan polis telah dibuat berikutan insiden tulisan kalimah Allah pada stoking yang dijual di sebuah kedai serbaneka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, daripada kes yang dilaporkan dua individu telah pun didakwa secara rasmi manakala dua kertas siasatan telah dibuka untuk tambahan lima individu.
Bagaimanapun beliau menggesa semua pihak supaya tidak memburukkan lagi keadaan dan siasatan terhadap kes itu telah dijalankan.
"Saya tahu saya juga seorang Melayu saya juga seorang muslim, perkara ini memang sensitif kepada individu melayu Islam. Namun demikian seperti saya cakap tempoh hari banyak bersabar semasa bulan puasa ini.
"Ia mungkin satu tamparan hebat untuk memberikan respons tetapi sabar, kita akan selesaikan banyak masalah sekiranya lebih bersabar," katanya dalam sidang media di sini.
Pihak polis sedang mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua laporan yang dibuat.
Semalam, pengasas dan pengerusi eksekutif kumpulan KK Group yang memiliki rangkaian kedai serbaneka KK Mart, dan isterinya, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung penjualan stokin tertera perkataan 'Allah' di salah sebuah kedai serbaneka di Selangor.
Pada masa sama kedai serbaneka itu turut memfailkan saman terhadap pembekal stoking Xin Jian Chang Sdn Bhd dan Pengarahnya Soh Chin Huat kerana membekalkan stokin tersebut.