ICC kecam sekatan AS, tegas pertahan kedaulatan undang-undang

Foto REUTERS

THE HAGUE, 19 Ogos – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyifatkan sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap anggota tertingginya sebagai tindakan yang boleh menjejaskan kedaulatan undang-undang serta mengancam sistem perundangan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS mengenakan sekatan terhadap Presiden ICC Tomoko Akane dan pendakwa kanan Abdoulaye Seye.
  • ICC menegaskan menyasarkan hakim dan pendakwa merupakan ancaman terhadap prinsip kedaulatan undang-undang.
  • Mahkamah menyatakan akan terus meneruskan mandat dan mempertahankan kakitangannya tanpa gentar.
  • Sekatan termasuk larangan masuk AS dan sekatan transaksi kewangan, sebahagiannya berkaitan siasatan ICC ke atas Israel.

ICC dalam satu kenyataan pada Selasa menegaskan, tindakan menyasarkan hakim, pendakwa raya dan kakitangan yang menjalankan mandat diberikan oleh negara-negara anggota merupakan satu ancaman terhadap prinsip kedaulatan undang-undang.

“Apabila pihak yang melaksanakan tugas kehakiman diancam kerana menguatkuasakan undang-undang, sistem perundangan antarabangsa itu sendiri berada dalam keadaan berisiko,” menurut kenyataan itu.

Reaksi tersebut menyusul keputusan Washington mengenakan sekatan terhadap Presiden ICC dari Jepun, Tomoko Akane, sebagai sebahagian daripada kempen AS terhadap badan kehakiman antarabangsa itu yang didakwa telah dipolitikkan.

AS turut mengenakan sekatan terhadap pendakwa raya kanan ICC dari Senegal, Abdoulaye Seye, dalam tindakan terbaharu pentadbiran Presiden Donald Trump terhadap mahkamah yang beribu pejabat di The Hague itu.

Menurut ICC, tindakan yang menyasarkan pegawai-pegawainya tidak akan menghalang mahkamah berkenaan daripada meneruskan mandat yang telah diberikan kepadanya.

Mahkamah itu menegaskan ia kekal teguh dan tidak akan gentar dalam mempertahankan kakitangannya serta memperjuangkan keadilan bagi mangsa kekejaman yang tidak terbayangkan.

AS, yang bukan negara pihak kepada perjanjian antarabangsa yang menubuhkan ICC, sebelum ini turut mengenakan sekatan terhadap beberapa pegawai mahkamah berkenaan.

Antara kesan sekatan itu ialah individu terbabit dilarang memasuki AS dan tidak dibenarkan menjalankan transaksi menerusi sistem kewangan negara berkenaan.

Tindakan Washington itu sebahagian besarnya dikaitkan dengan siasatan ICC yang menyasarkan Israel, sekutu rapat AS.

Pada 2024, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berhubung serangan dan pencerobohan di Gaza. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.