10 ajaran sesat aktif dalam pemantauan JAKIM

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee/BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Januari – 10 ajaran sesat yang masih bergerak aktif di negara ini berada di bawah pemantauan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

RINGKASAN BERITA AI
  • JAKIM memantau 10 ajaran sesat aktif yang bergerak di kawasan dianggap selamat, bukan tertumpu di negeri tertentu.
  • Ajaran sesat sering disamarkan sebagai modul dan program motivasi, menyebabkan orang mudah terjebak mencari jalan pintas.
  • JAKIM mengutamakan pendekatan harmoni, pendidikan berterusan dan rujukan kepada pihak berkuasa agama negeri untuk tindakan.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, berkata ajaran sesat berkenaan bergerak di kawasan yang dianggap “selamat” dan tidak tertumpu di negeri-negeri tertentu.

“Dalam radar JAKIM, kiranya kita ketahui akan situasi itu. Macam saya katakan tadi, orang ini nak cepat sampai tapi dengan cara mudah. Itu yang selalunya orang terpesong, terjebak dengan ajaran sesat.

“Mereka memberi pandangan seolah-olah sudah jatuh sesuatu hukum. Jadi kepada masyarakat, berhati-hatilah. Tidak semestinya apa yang anda dapat di hujung jari itu adalah benar.

“Rujuk kepada JAKIM jika ada kemusykilan atau pihak berkuasa agama negeri”, katanya demikian dalam Majlis Media Bersama JAKIM di sini.

Jelas beliau, trend ajaran sesat yang muncul dalam dalam bentuk modul dan program motivasi menjadi cabaran utama yang perlu ditangani JAKIM.

Sehubungan itu, JAKIM mengutamakan pendekatan yang lebih harmoni dan damai melalui penyebaran maklumat yang tepat dan pendidikan berterusan bagi tujuan penguatkuasaan.