Kerajaan nafi Malaysia serah 5,207 hektar tanah kepada Indonesia

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Januari – Kerajaan menafikan dakwaan bahawa Malaysia menyerahkan kira-kira 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan, berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menafikan serahan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan.
  • Penyelesaian sempadan dilakukan tanpa prinsip timbal balik, pampasan atau untung-rugi.
  • Rundingan mengikuti undang-undang antarabangsa dan perjanjian sempadan sedia ada.
  • Pengukuran saintifik dan MOU 18 Feb 2025 menegaskan kedaulatan dan kepentingan jangka panjang Malaysia.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, menegaskan bahawa penyelesaian isu persempadanan darat antara Malaysia dan Indonesia dilakukan tanpa sebarang prinsip timbal balik, pampasan atau untung-rugi.

Menurutnya, rundingan isu sempadan tertunggak itu dilaksanakan secara harmoni, berpandukan undang-undang antarabangsa dan perjanjian sempadan sedia ada.

“Keputusan pengukuran sempadan darat itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) Malaysia–Indonesia pada 18 Feb 2025 selepas melalui lebih 45 tahun proses rundingan teknikal yang komprehensif dan telus.

“Hasrat Malaysia dan Indonesia untuk menyegerakan penyelesaian isu sempadan darat bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara telah dipersetujui semasa lawatan negara mantan Presiden Indonesia Joko Widodo yang turut melibatkan penglibatan aktif wakil kerajaan Sabah sebagai sebahagian delegasi Malaysia”, katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pengukuran saintifik dijalankan berdasarkan perjanjian terdahulu bagi memastikan jajaran sempadan jelas, dengan penglibatan kepakaran Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia serta agensi keselamatan.

“Keputusan pemuktamad sempadan itu dilihat sebagai langkah strategik Malaysia dalam memastikan kedaulatan negara diiktiraf sepenuhnya oleh negara jiran dan masyarakat antarabangsa, sekaligus meletakkan kepentingan jangka panjang melebihi mengekalkan kawasan pertikaian yang tidak mempunyai asas undang-undang”, katanya dalam kenyataan.