
JELEBU, 25 Julai – Warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berharap kerajaan negeri yang diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 agar terus menjadikan isu kebajikan peneroka serta generasi baharu FELDA sebagai keutamaan.
- Wakil rakyat digesa melakukan tinjauan kerap dan menyantuni kawasan termasuk FELDA bagi menyelesaikan isu harga sawit dan kebajikan peneroka.
- Generasi baharu menuntut perhatian terhadap kos sara hidup serta peluang pekerjaan yang mencukupi.
- Pemandu lori minta penyelarasan subsidi minyak kerana kerja mereka bergantung pada kos bahan api.
- Manifesto PRN diminta fokus kepada keperluan sebenar rakyat, termasuk peluang perniagaan, rumah generasi dan penempatan.
Hasnah Ruslan, 70 tahun berpandangan wakil rakyat yang bagus perlu terus menyantuni pengundi dan berkunjung ke kawasan termasuk FELDA meskipun sudah memenangi pilihan raya.
“Saya berharap wakil rakyat yang dipilih nanti membuat tinjauan ke kawasan ini secara kerap bagi memastikan sebarang permasalahan dapat diselesaikan termasuk isu harga sawit serta kebajikan peneroka terbela,” katanya.
Selain itu, generasi baharu FELDA mahu isu kos sara hidup serta peluang pekerjaan turut diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan negeri.
“Kita mahu minyak subsidi diselaraskan. Kita sebagai pemandu lori dekat FELDA ini cari makan melalui pekerjaan ini,” ujar Mazzain Abd Rahman.
“Generasi kedua FELDA berharap isu peluang perniagaan, rumah generasi, penempatan diberi perhatian,” kata Zulkifli Adbi.
Warga FELDA turut berharap manifesto yang ditawarkan pada PRN Negeri Sembilan kali ini memberi tumpuan kepada keperluan sebenar rakyat.