
BRUSSELS, 25 Julai – Belgium menamakan bekas pemain antarabangsa Belanda, Mark van Bommel sebagai jurulatih baharu skuad berkenaan dengan dua tahun kontrak sehingga kejohanan Eropah 2028, umum Persatuan Bola Sepak Belgium.
- Van Bommel menggantikan Rudi Garcia selepas kontrak Garcia tidak disambung walaupun Belgium mara ke suku akhir Piala Dunia.
- Beliau belum melatih mana-mana pasukan sejak meninggalkan Antwerp dua tahun lalu walaupun dianggap calon utama.
- Van Bommel berazam membina pasukan berdisiplin, bercita-cita tinggi dan cukup berani untuk bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik dunia.
- Beliau pernah membawa Antwerp memenangi liga dan Piala Belgium 2022-23; bakal menghadapi empat perlawanan Liga Negara UEFA pada tetingkap baharu.
Jurulatih berusia 49 tahun itu menggantikan Rudi Garcia, yang kontraknya tamat pada penghujung Julai dan tidak disambung meskipun Belgium berjaya mara ke suku akhir Piala Dunia awal bulan ini.
Persatuan Bola Sepak Belgium tidak mengambil masa lama untuk melantik pengganti Garcia, dengan Van Bommel dianggap antara calon utama bagi jawatan itu sejak awal, meskipun beliau tidak melatih mana-mana pasukan sejak meninggalkan Antwerp dua tahun lalu.
Van Bommel dalam satu kenyataan menyifatkan pelantikannya sebagai pengemudi skuad tersebut sebagai penghormatan dan berazam membawa pasukan tersebut untuk berani bersaing dengan pasukan terbaik dunia.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Diraja Belgium atas kepercayaan yang diberikan kepada saya. Belgium memiliki pemain-pemain berkualiti dan potensi yang amat besar. Bersama barisan kejurulatihan, kami mahu membina sebuah pasukan yang berdisiplin, bercita-cita tinggi dan cukup berani untuk bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik di dunia.
“Kejayaan tidak pernah dijamin, tetapi kerja keras, kejujuran dan komitmen adalah sesuatu yang pasti. Kami akan memberikan segala-galanya untuk membantu pasukan ini terus berkembang setiap hari dan membanggakan rakyat Belgium. Saya tidak sabar untuk bertemu para pemain, kakitangan dan penyokong, serta memulakan lembaran baharu ini bersama-sama,” kata Van Bommel.
Sebelum ini, Van Bommel berjaya membimbing Antwerp mencipta sejarah dengan memenangi gelaran liga dan Piala Belgium secara berganda pada musim 2022-23.
Beliau turut dikenali dengan kerana kepakaran taktikalnya selain kemahirannya menguruskan pemain.
Van Bommel bakal berdepan cabaran besar apabila bakal mengendalikan empat perlawanan Liga Negara UEFA dalam tempoh jendela antarabangsa baharu yang diperluaskan pada September hingga Oktober.
Perlawanan sulungnya sebagai ketua jurulatih Belgium ialah menentang Itali di Rom pada 25 September, sebelum melayan kunjungan Perancis di Brussels pada 28 September.
Belgium kemudian akan berdepan Turkiye di laman sendiri di Liege pada 2 Oktober, sebelum bertandang ke Paris untuk menentang Perancis tiga hari kemudian.
Persatuan Bola Sepak Belgium turut memaklumkan bekas pemain antarabangsa Belanda, Boudewijn Zenden, bekas pemain kebangsaan Belgium, Maarten Martens, serta bekas pembantu Van Bommel di Antwerp, Reinier Robbemond, akan menggalas tugas sebagai penolong jurulatih. – REUTERS