
JOHOR BAHRU, 29 Jun- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Negeri (DN) Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad menggunakan pengalaman sebagai bekas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai bekalan sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
- Calon PH akan utamakan isu setempat termasuk pemilikan tanah Pulai Mutiara dan aliran trafik jika diberi mandat.
- Calon PH gunakan pengalaman bekas Exco; lakukan ziarah dan sesi ramah mesra di pasar malam serta rumah ibadat.
- Calon BN komited menyelesaikan isu rakyat jika diberi kepercayaan; manifesto fokus kepada keresahan bandar dan luar bandar.
Beliau berkata sekiranya diberikan mandat oleh rakyat, beberapa isu setempat termasuk pemilikan tanah Pulai Mutiara dan aliran trafik di kawasan Kota Iskandar akan diberi perhatian.
Menurutnya, isu pemilikan tanah Pulai Mutiara antara perkara yang dibangkitkan penduduk sepanjang tempoh tiga hari kempen.
“Saya rasa perkara ini sudah selesai dari segi nyahwarta. Ia agak mudah kerana proses pemutihan sudah dibuat dan sekiranya PH memerintah Johor, kita akan selesaikan perkara ini,” katanya.
Kempen Dzulkefly berjalan lancar dengan pengisian ziarah serta sesi ramah mesra bersama penduduk di kawasan pasar malam dan rumah ibadat.
Sementara itu, penyandang kerusi Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad daripada Barisan Nasional (BN) turut meneruskan kempen dengan meluangkan masa bertemu penduduk di Kampung Tebing Runtuh.
Beliau berkata pihaknya komited menyelesaikan isu rakyat sekiranya terus diberi kepercayaan untuk mewakili kawasan berkenaan.
“Saya beriktikad bahawa dipilih untuk selesaikan masalah, bukan timbulkan masalah. Manifesto kita adalah ikhtiar untuk menyelesaikan keresahan penduduk bandar dan luar bandar,” katanya.
DN Kota Iskandar mempunyai kepadatan penduduk melebihi 130,000 orang meliputi sebahagian daerah Kulai dan Johor Bahru.