ULASAN BERITA
23 Disember tahun lalu, negara dikejutkan dengan kemalangan jalan raya yang mengorbankan tujuh nyawa, dengan 33 lagi individu mengalami kecederaan. Kejadian berlaku di kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat, Melaka.
Mangsa yang meninggal dunia membabitkan pemandu dan penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV), bas persiaran dan sebuah treler. Siasatan pihak berkuasa mendapati kemalangan berlaku apabila bas persiaran yang membawa 29 penumpang terbabas ke laluan bertentangan, lalu bertembung dengan sebuah treler dan MPV.
Kenapa bas tersebut terbabas? Ya, ramai yang sudah tahu... kerana cuba mengelak tayar sebuah lori yang tercabut di atas lebuh raya. Hanya kerana tayar lori tersebut, tujuh nyawa melayang... 33 individu cedera.
Mahu salahkan siapa dalam hal ini? Pemandu bas? Syarikat pemilik lori... atau tayar yang bergolek di tengah-tengah lebuh raya tu? Pastinya, pemilik tayar tersebutlah yang harus dipersalahkan, bagaimana tayar itu boleh tertanggal?
Tentulah komponen pada lori tersebut bermasalah, sehingga tayarnya sampai boleh tercabut. Logik bukan? Kenderaan tersebut hampir pasti tidak diselenggara dengan baik, sehingga kejadian itu boleh berlaku.
Kejadian tayar lori tertanggal ini bukanlah perkara yang baharu, ia sudah acap kali berlaku dan memakan korban pengguna jalan raya. Itu baharu berkaitan tayar, bagaimana dengan komponen lain? Antara punca lain yang kerap kali dilaporkan adalah kegagalan sistem brek. Semuanya berkaitan dengan isu penyelenggaraan dan pemeriksaan berkala.
Seperti semua maklum, kenderaan-kenderaan tersebut digunakan dan bergerak hampir setiap hari. Oleh demikian, proses pemeriksaan ke atasnya juga perlu kerap dilaksanakan. Persoalannya, adakah proses berkenaan dilakukan dengan sebaik-baiknya? Atau ada pihak yang sengaja mengabaikan perkara penting tersebut.
Insiden kali ini benar-benar menjadi titik tolak untuk pihak bertanggungjawab melakukan kajian dan siasatan secara menyeluruh. Untuk itu, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu tersebut, dan melantik ketua setiausahanya sendiri untuk mempengerusikan pasukan itu.
Dalam usaha yang sama, kementerian memberi jaminan prosedur pemeriksaan berkala di Puspakom juga akan diperkemas, dengan menambah elemen keselamatan kritikal seperti tayar dan sistem brek.
Baru-baru ini juga, SPRM telah menyiasat enam pemeriksa kenderaan Puspakom. Mereka disyaki terbabit dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di salah sebuah cawangan agensi tersebut. Nampaknya, ada yang mengkhianati amanah diberi.
Bayangkan, hanya kerana tamakkan 'duit tepi' begini, akhirnya nyawa insan yang tidak bersalah terkorban. Lebih perit, mungkin nasib mereka yang khianat itu bakal berakhir di sebalik tirai besi... tidak berbaloi sama sekali. Sikap negatif dan pentingkan diri sendiri beginilah yang akhirnya menyusahkan semua orang. Ibarat mengharapkan pegar... akhirnya pegar sendiri yang makan padi.
Untuk pengetahuan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman mendedahkan, kematian membabitkan kenderaan berat sejak Januari 2019 hingga November tahun lalu mencecah 1,457 individu. Ia melibatkan 3,500 kemalangan, membabitkan lori sahaja. Rekod kematian tertinggi dicatat pada 2019 - iaitu 274 individu. Rata-rata, sepanjang tempoh tersebut, lebih 200 orang telah meninggal dunia setahun.
Penelitian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) pula mendapati, kemalangan melibatkan lori di lebuh raya lebih cenderung mengakibatkan kematian, berbanding jalan raya lain. Puncanya, kelajuan kenderaan lebih tinggi, ditambah kadar muatan berlebihan, mencipta momentum yang lebih besar apabila berlaku nahas.
Kajian MIROS juga mendapati kemalangan disebabkan tayar tercabut, boleh berpunca daripada kualiti pembuatan dan pengeluaran komponen kenderaan yang berkualiti rendah, selain, amalan penyelenggaraan yang buruk serta membawa had muatan berlebihan.
Rentetan aspek-aspek negatif tersebut, menatijahkan insiden menyayat hati. Jika semua pihak memainkan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah, nahas Ayer Keroh melibatkan tujuh nyawa termasuk empat sekeluarga tahun lalu dapat dielakkan.
Oleh demikian... tindakan Kementerian Pengangkutan meletakkan isu ini sebagai keutamaan ketika ini, perlu disokong sepenuhnya. Ambil tindakan tegas ke atas pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut dengan kadar segera. Agar... menjadi pengajaran kepada yang lain.
Ulasan berita ini disediakan oleh Ashriq Fahmy Ahmad, Editor Berita Radio RTM.