fb fb fb fb fb

Lembaran baharu agenda serantau & global

Foto hiasan

Alhamdulillah kita diberi kesempatan melangkah ke tahun baharu. Semoga ketibaan tahun 2025 membawa sinar baharu, semangat baharu, kekuatan baharu dan membuka pintu rezeki lebih luas buat kita semua.

Apa agaknya harapan anda tahun ini? Jika diimbas kembali pada tahun 2023, antara harapan rakyat ketika itu ialah ekonomi negara kembali kukuh, politik lebih stabil, gaji pekerja lebih baik, dan tidak kurang penting, tidak perlu berkurung sekali lagi gara-gara pandemik COVID-19.

Tahun lalu, tumpuan lebih kepada kestabilan ekonomi, peluang pekerjaan lebih meluas, selain keharmonian dan perpaduan kaum. Apa pula harapan rakyat tahun ini?

Hasil tinjauan di pelbagai portal dan media sosial mendapati, antara perkara diangkat sebagai berita utama ialah 2025: tahun kebangkitan rakyat untuk perubahan Malaysia lebih baik, 2025: tahun lahirkan masyarakat harmoni dan sejahtera, 2025: Tun M cecah umur 100 tahun dan 2025: Tahun Aina Abdul bawa diri? Hmm...macam-macam.

Bagi barisan kepemimpinan negara, 2025 diharap memberi lebih banyak kejayaan buat negara Malaysia dan rakyatnya. Kata PMX dalam amanat tahun baharu, 2024 akan dikenang sebagai mukadimah kepada agenda pembaharuan nasional.

Beliau akui, tidak semua keputusan kerajaan diterima baik dan membuahkan hasil dalam tempoh singkat. Namun, dasar tetap dilaksanakan demi manfaat rakyat. Contohnya, penyasaran subsidi diesel di semenanjung yang dilaksana melalui program Budi MADANI.

Pada awal pelaksanaan, terdapat pihak dengan lantang menentangnya. Sedangkan langkah itu diambil bagi menutup ketirisan yang sekian lama berlaku dek amalan subsidi secara pukal.

Mereka yang terang-terang tidak layak menerima subsidi seperti golongan kaya-raya dan warga asing, turut menikmatinya. Malahan ada yang menyeludup keluar diesel bersubsidi untuk mengaut keuntungan besar. Ini semua merampas hak rakyat!

Bagi mengimbangi harga diesel yang diapungkan, individu pemilik kenderaan diesel persendirian diberi bantuan tunai RM200 sebulan atau RM2,400 setahun. Hasil penyasaran subsidi, penjimatan kira-kira RM600 juta berjaya dijana setiap bulan.

Banyak tu, RM7.2 bilion setahun. Jadi, penjimatan ini menguntungkan siapa? Mestilah kita rakyat Malaysia. Ia dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan sektor-sektor lain yang memberi impak besar kepada rakyat.

Penjimatan yang dijana juga disalurkan sebagai suntikan kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Tahun lalu peruntukan bagi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM10 bilion, jumlah terbesar dalam sejarah.

Tahun ini, peruntukan ditambah lagi sebanyak 30 peratus kepada RM13 bilion. Untuk 2025, penyasaran subsidi petrol RON95 pula akan dilaksanakan, bermula pertengahan tahun.

Penyasaran subsidi RON95 dianggarkan memberi penjimatan sebanyak RM8 bilion setahun. Kerajaan beri jaminan harga RM2.05 seliter akan kekal buat 85 peratus rakyat terbanyak. Hanya golongan T15, tidak lagi menikmati subsidi. Siapa golongan T15 ini? Jawapannya akan diumumkan tidak lama lagi.

Bagi menangani isu kos sara hidup,penganjuran Program Payung Rahmah diteruskan di seluruh negara. Pasukan pemantau juga digerakkan untuk membuat pemantauan. Mana-mana pihak yang didapati mencatut harga dengan sewenang-wenangnya akan dikenakan tindakan.

Mengenai bencana banjir yang berlaku mutakhir ini PMX beri jaminan, segala usaha akan terus dijalankan di semua negeri untuk pastikan bantuan sampai dengan segera. Manakala kerja pemulihan diselenggara secepat mungkin. Projek tebatan banjir di kawasan risiko tinggi diteruskan walaupun memerlukan perbelanjaan tinggi.

Di pentas antarabangsa, Kepengerusian ASEAN Malaysia bermula secara rasmi Rabu lalu. Tugas besar Malaysia ialah melakar peranan dan hala tuju baharu ASEAN. Objektifnya menggerakkan seluruh kekuatan ASEAN bagi memastikan pembangunan serantau terus mampan dan berkongsi limpahan kemakmuran secara adil tanpa ada kelompok atau wilayah yang disisihkan.

Untuk mencapai aspirasi itu PMX mahu rakyat Malaysia bersama-sama menjunjung prinsip berusaha ke arah kecemerlangan. Perkukuh perpaduan, mantapkan lagi tadbir urus, banteras habis-habisan ketirisan dan rasuah.

Barulah kita dihormati sebagai negara yang berdaulat, merdeka dan bertanggungjawab. Ini peluang Malaysia membina lembaran baharu dalam agenda serantau dan global. Sama-sama kita garapkan. Selamat tahun baharu 2025.

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita Radio RTM, Bakhtiar Effendy Mohd Dom.

ROSLINA BINTI DIN