ULASAN BERITA
Tak sampai seminggu lagi kita akan menyambut ketibaan tahun baharu 2025. Lazimnya waktu-waktu begini ramai antara kita mula mengimbas kembali, peristiwa yang dilalui sepanjang tahun.
Pahit-manis, masam-masin, lemak-pedas semua ada. Tidak kurang juga yang menilai pencapaian peribadi, termasuk azam tahun ini.
Menanam azam tahun baharu - amalan sihat, Seandainya sasaran yang ditetapkan, diiringi komitmen. Jika tidak, lebih baik tanam sayur - ada juga hasil.
Untuk 2025, apa agaknya azam saudara? Nak lengkapkan azam yang tak terlunas? Nak bebas tembakau? Kawal gula? Tingkatkan produktiviti? Atau kurangkan komitmen hutang?
Bagus bagus bagus, semua tu bagus terutama yang terakhir... Jangan tanam azam nak tambah hutang pula tau...hmm
Bagi yang masih punyai mak ayah, mungkin boleh tambah dalam senarai - saya berazam sungguh-sungguh menjadi anak yang lebih berbakti atau sekurang-kurangnya lebih patuh, dan jadikan amalan mendoakan mak ayah, rutin harian.
Yang dah bergelar ibu dan ayah pula, berazamlah untuk lebih memahami anak-anak. Didiklah anak-anak, sesuai dengan usia dan tahap kematangan mereka. Zaman mereka membesar tak sama dengan zaman kita dulu-dulu.
Anak-anak sekarang lebih terdedah kepada pelbagai jerangkap samar. Tugas kita lindungi mereka, beri kefahaman dan kesedaran. Marah jika perlu, tetapi sekadar untuk mendidik - bukan bermusuhan.
Sepanjang tahun ini, masih ada kes jenayah anak terhadap orang tua dan orang tua terhadap anak cucu, dilaporkan. Puncanya pelbagai. Berita sebegini mengundang rasa resah-gelisah, sedih dan geram.
Kita tinggalkan dulu azam peringkat mikro dan beralih kepada azam berskala makro - cita-cita besar Malaysia menjadi negara maju sepenuhnya.
Jika pingat emas acara bola sepak sering diangkat sebagai ibu segala pingat dalam kejohanan sukan seperti Olimpik, Sukan SEA dan SUKMA, Azam yang satu ini layak diangkat sebagai ibu segala azam bagi negara kita.
Orang lama pasti masih ingat, cita-cita mencapai status negara maju hangat diperkatakan seawal tahun 1991, ketika Rancangan Malaysia ke-6. Pada masa itu sasaran yang ditetapkan ialah menjelang tahun 2020, bawah RMKe-11.
Unjuran rasmi kemudiannya menunjukkan sasaran berpotensi dicapai pada tahun 2012, bawah RMKe-10. Semua orang teruja, hati berbunga-bunga. Namun sasaran terpaksa disemak semula ke tahun 2026.
Seperti yang kita sedia maklum, sasaran ini pun tidak tercapai, gara-gara pandemik COVID-19 yang menjejaskan semua aktiviti. Maka sasaran dianjak lagi kepada RMKe-13, tanpa menetapkan tahun secara spesifik.
Susulan laporan Bank Dunia meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara kepada 4.9 peratus untuk 2024 berbanding ramalan awal 4.3 peratus, Malaysia dilihat berada di landasan tepat mencapai matlamat menjadi negara maju berpendapatan tinggi.
Banyak pihak kembali optimis. Manakan tidak, peningkatan 14 peratus tu! Menurut Menteri Ekonomi, berdasarkan unjuran semasa, matlamat itu boleh dicapai seawal 2027.
Namun sasaran yang lebih praktikal ialah 2028. Kalau terlajak sikit pun, 2029. Tahun depan tahun terakhir pelaksanaan RMKe-12.
Kajian Separuh Penggal menunjukkan, 31 peratus daripada 175 sasaran projek yang ditetapkan sudah dicapai dalam tempoh dua tahun pelaksanaannya iaitu pada 2021 dan 2022. 59 peratus projek dalam sasaran yang ditetapkan juga berjalan mengikut jadual.
Walaupun tempoh melengkapkan RMKe-12 berbaki kira-kira setahun lagi, sesi libat urus RMKe-13 rancak diadakan di sana-sini. Penggubalan dijangka siap sepenuhnya pada Mei depan, sebelum dibentang dalam sidang Parlimen pada bulan Julai selepas dimuktamadkan kerajaan.
Menurut Menteri Ekonomi, RMKe-13 akan dirangka menyamai Rancangan Malaysia Pertama. Bezanya, lebih ringkas dan menyeluruh. Seperti mencorakkan kanvas kosong, keutamaan sekarang ialah melancarkan pembaharuan mengikut saiz poket kerajaan.
Kerajaan MADANI katanya lebih suka melaksanakan pembaharuan dalam saiz kecil, dengan mengumpul sebanyak mungkin idea dan input kreatif berdasarkan maklum balas rakyat.
Sebarang kebimbangan boleh disuarakan agar kerajaan dapat menanganinya menggunakan pendekatan yang tepat. Pendekatan kerajaan lebih tahu segalanya telah lama berlalu.
Bersama-samalah kita menyumbang dengan cara tersendiri, pastikan azam besar nasional tercapai juga akhirnya. Bukan untuk orang lain. Untuk kita rakyat Malaysia juga.
Usah takut kepada perubahan. Kata bijak pandai, mereka yang menolak perubahan akan selamanya berada pada takuk sama. Hidup ibarat menunggang basikal. Kita perlu terus bergerak, untuk kekalkan keseimbangan.
Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, editor Berita Radio RTM.