fb fb fb fb fb

Kejatuhan Assad: Berakhirkah konflik Syria?

Potret Presiden Syria yang digulingkan Bashar al-Assad di Pejabat Parti Baath di Damsyik sebelum serbuan kumpulan penentang kerajaan pada 12 Disember 2024/Foto AFP

ULASAN BERITA

Ketika dunia menangisi nasib rakyat Palestin di Gaza... Tiba-tiba perhatian global beralih ke Syria. Rejim Bashar al-Assad tumbang, Presiden larikan diri.. Menjadi tajuk utama media arus perdana dan media digital di seluruh dunia.

Kejatuhan pemerintahan al-Assad, diraikan oleh rakyat Syria dengan penuh kesyukuran. Ia tanda kemenangan buat mereka selepas lama bertahan menghadapi kezaliman, penindasan dan penderitaan, sepanjang berada bawah pentadbiran kuku besi al-Assad.

Ikut sejarah, legasi keluarga Al-Assad menguasai Syria selama lebih 50-tahun. Tetapi, kebangkitan rakyat Arab atau "Arab Spring" telah memberi inspirasi kepada rakyat Syria untuk menentang pemerintahan Al-Assad.

Perang saudara mula tercetus pada awal tahun 2011 dan berlarutan selama 13 tahun. Perjuangan mencari kemerdekaan daripada cengkaman al-Assad telah meragut lebih 300,000 nyawa. 100,000 yang lain, hilang. Manakala, 12 juta penduduk terpaksa melarikan diri. Dengan 5.4 juta mencari perlindungan di luar negara.

Kini, episod baharu bermula.. Persoalan yang timbul, selepas al-Assad dijatuhkan, adakah konflik Syria benar-benar akan berakhir? Atau mungkinkah ia boleh menjerumuskan rantau Asia Barat ke dalam ketidaktentuan yang baharu.

Selama Syria berada bawah pemerintahan al-Assad, sudah berlaku campur tangan asing. Rejim Assad mampu bertahan, bukan sebab mempunyai sokongan politik padu daripada majoriti rakyat Syria, sebaliknya, bergantung banyak kepada sokongan ketenteraan oleh negara asing.

Kuasa-kuasa imperialis Barat dan kuasa-kuasa serantau menggunakan kesempatan perang saudara Syria untuk menyokong proksi-proksi mereka, dengan pertimbangan kepentingan geopolitik masing-masing.

Namun, imbangan kuasa serantau telah berubah dengan beberapa perkembangan penting dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Antaranya, tindakan zionis Israel yang membuat onar di beberapa buah negara sekitar Syria.

Ini termasuk serangan besar-besaran ke atas Lubnan dan pembunuhan pemimpin Hizbullah, serta serangan ke atas kemudahan tentera Iran, yang merupakan sebahagian daripada strategi perang terhadap rakyat Palestin, telah melemahkan keupayaan sekutu-sekutu al-Assad pada saat-saat genting.

Kesempatan itu diambil kumpulan pejuang pembebasan untuk memerangi tentera kerajaan, seterusnya, membawa kepada kejatuhan rejim Assad.

Hakikatnya, sukar untuk meramal masa depan Syria. Selepas kejayaan menggulingkan al-Assad, kumpulan pejuang pembebasan pasti akan berdepan situasi yang lebih mencabar. Meski, kemenangan itu membuka jalan kepada peralihan politik yang lancar tanpa halangan ketara.

Kerana apa? Kerana pemergian al-Assad meninggalkan legasi kehancuran dan penderitaan yang amat mengesankan kepada rakyat Syria. Ada kemungkinan konflik yang melibatkan pelbagai pihak akan berterusan, cumanya, sama ada dalam bentuk lebih aman atau lebih ganas.

Syria juga berisiko besar menjadi seperti Libya selepas kejatuhan Muammar Gaddafi pada tahun 2011. Iaitu, menyaksikan perang saudara yang berpanjangan dan negara terus berpecah-belah, cengan kerajaan yang silih berganti.

Lebih merisaukan, negara kuasa besar sudah mula membuat percaturan dalam merencanakan bentuk Syria baharu pada masa hadapan. Kebimbangan itu turut disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau menekankan kepentingan peralihan kuasa secara aman yang menghormati kepelbagaian masyarakat di Syria.

Tegasnya, "keganasan perlu ditolak sepenuhnya" . Seterusnya, beliau menyeru perpaduan sebagai asas dalam membina sebuah negara yang damai dan bersatu. Perdana Menteri turut menekankan bahawa perpecahan mazhab perlu dielakkan. Manakala, perpaduan harus menjadi prinsip utama dalam usaha membangunkan semula Syria. Pada masa sama, solidariti antarabangsa dituntut dalam menangani krisis itu.

Kesimpulannya, Syria memerlukan tampuk pemerintahan yang benar-benar dapat memastikan apa yang berlaku semasa era al-Assad, tidak berulang. Tanpa pemerintah yang sah, selagi itu penindasan dan ketidakadilan masih wujud, Dan rakyat Syria tidak akan dapat hidup dengan aman.

Ulasan berita ini disediakan oleh Emmi Noraliza Adnan, editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI