fb fb fb fb fb

Keselamatan dalam talian, lindungi kanak-kanak

Foto hiasan/RTM

ULASAN BERITA

Keselamatan dalam talian. Bukan keselamatan atas talian. Apa lagi kalau disebut bawah talian. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, padanan tepat bagi 'online' ialah dalam talian. Malangnya masih ramai yang salah sebut, atas talian, atas talian.

Memberikan terjemahan langsung bagi istilah asing tidak menjadikan diri kelihatan pintar. Baik orang biasa atau terpelajar. Rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk menjaga bahasa. Apa lagi dalam konteks memelihara kesejahteraan masyarakat terutama generasi muda daripada kandungan tidak sesuai dan gejala buli siber.

Pendedahan kepada kandungan berbahaya merupakan antara impak negatif daripada kemajuan teknologi digital. Selain perbuatan mengancam, memalukan atau menakut-nakutkan seseorang melalui platform elektronik, terutama media sosial.

Cabaran masa kini juga meliputi jenayah penipuan dan judi dalam talian serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Ambil contoh jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bilangan kes berkenaan meningkat pada tahun lalu berbanding tahun sebelum itu. 1,567 kes dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia pada 2023, iaitu peningkatan sebanyak 26.5 peratus daripada seribu 239 kes pada 2022.

Bayangkan kes pornografi kanak-kanak sahaja melambung 139.3 peratus. Pengantunan kanak-kanak atau child grooming mencatatkan kenaikan 100 peratus dan amang seksual secara bukan fizikal, 97 peratus.

Selain itu, negara turut merekodkan sehingga RM1.224 bilion nilai kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian. Angka sebesar itu direkodkan hanya dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini. Jenis penipuan merangkumi antaranya pelaburan palsu, pinjaman tidak wujud dan jenayah telekomunikasi. Dalam hal ini, sudah tiba masa semua pihak bertindak.

Di pihak kerajaan, suatu rang undang-undang berkait keselamatan dalam talian dijangka digubal di Dewan Rakyat dalam masa terdekat. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah berkata, penggubalan akta baharu itu disasarkan bersifat menyeluruh.

Ia mengambil kira jenayah siber yang mungkin berlaku pada masa depan. Lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak yang menggunakan Internet sebagai medium komunikasi harian. Mungkin suatu ketetapan boleh diambil bagi menentukan tahap umur individu matang yang sesuai menggunakan platform media sosial.

Perlu tahu, cabaran dalam era digitalisasi semakin kompleks di tengah-tengah kemajuan teknologi Kecerdasan Buatan (AI). AI bukan sahaja membawa manfaat pelbagai, bahkan boleh mendatangkan ancaman kepada pengguna maya jika diguna tanpa etika.

Dengan kata mudah, apabila teknologi itu membolehkan penghasilan identiti palsu, eksploitasi data peribadi dan pelanggaran privasi.

Penurunan suatu kandungan yang boleh dianggap berbahaya menerusi kuat kuasa undang-undang seumpama keselamatan dalam talian juga, tidak harus dilihat sebagai menyekat kebebasan bersuara.

Hak bersuara tetap terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan, selagi bukan berbaur hasutan. Ini seperti mana yang pernah ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Menurut Datuk Seri Azalina Othman Said, keseimbangan perlu ada dalam konteks kebebasan menyatakan pandangan. Ia tidak memberi hak kepada seseorang, melakukan sebarang kesalahan yang tertakluk bawah undang-undang.

Sesungguhnya penyediaan kerangka undang-undang keselamatan dalam talian penting. Kerajaan berhak menuntut pembekal perkhidmatan agar bertindak lebih proaktif mengekang aktiviti jenayah dalam platform masing-masing;

Melindungi kanak-kanak bawah umur 13 tahun dan menyekat akses kepada kandungan berbahaya demi keselamatan mereka dan keluarga. Namun segala ikhtiar dilakukan tidak akan bererti jika tiada sokongan dalam masyarakat untuk turut sama mengamalkan kawalan kendiri.

Ambil tahu langkah-langkah yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan isu keselamatan dalam talian. Kalau ada individu yang tiba-tiba mahu berkenalan di internet, jangan cepat tergoda atau terus sahaja memindahkan wang ke akaun ketiga.

Semak dahulu kesahihan nombor telefon atau nombor akaun tertera. Layari portal SEMAK MULE yang dibangunkan Polis Diraja Malaysia.

Ulasan berita ini disediakan oleh Affendi Abdul Karim, editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI