ULASAN BERITA
Sejarah sebelum ini menyaksikan fenomena banjir besar berkisar dalam tempoh setiap 10 tahun. Antara yang boleh dilihat mulai tahun 1984 di Pahang dan Kelantan. Diikuti banjir teruk di Kelantan dan Terengganu pada 1994, manakala antara 2004 hingga 2006 lebih buruk apabila berlaku tsunami di pantai barat disusuli banjir besar di Johor.
Pada 2014 'bah kuning' menjejaskan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor termasuk Perak. Adakah secara kebetulan atau tidak, namun yang pasti ia berdasarkan tempoh masa, perubahan iklim dan kerancakan pembangunan.
Acap kali banjir berlaku, ia membawa kemusnahan yang besar dan menjejaskan puluhan ribu penduduk. Malah ada yang menjadi korban. Sehubungan itu, langkah-langkah awal amat penting untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam hal ini Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebenarnya awal-awal lagi mengeluarkan jangkaan, bahawa musim MTL (Monsun Timur Laut) mencapai tahap kemuncak mulai hujung bulan ini dan berterusan hingga Januari tahun depan, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Ini meskipun secara zahirnya, MTL sudahpun bermula awal November dan akan berlanjutan sehingga Mac tahun depan.
Berdasarkan situasi itu, boleh dikatakan kebanyakan model ramalan jangka panjang METMalaysia menunjukkan taburan hujan diterima akan lebih 20 hingga 40 peratus berbanding tahun lalu. Dengan negeri-negeri Pantai Timur dijangka lebih teruk berbanding ‘bah kuning’ pada tahun 2014.
Ya... setakat lewat petang SEMALAM (28/11/2024), portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan, lebih 60,000 orang berlindung di hampir 500 pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa negeri.
Rentetan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat memaklumkan; tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir dalam pelbagai aspek, dipertingkat ke tahap tertinggi.
Seramai 82,794 pegawai dan anggota diatur gerak bagi menghadapi banjir -- khususnya di Pantai Timur. Kerajaan juga telah mengenal pasti 8,481 PPS yang mampu menampung 2.1 juta penduduk di seluruh negara.
Pelbagai aset pasukan keselamatan digerakkan antaranya bot penyelamat, kenderaan pacuan empat roda dan helikopter. Pada masa sama sistem amaran awal juga diaktifkan bagi mengurangkan risiko bencana banjir. Ia berfungsi memberi makluman kesiapsiagaan kepada kumpulan berisiko mengalami banjir, berpindah lebih awal.
Berbalik kepada PPS, untuk melancarkan penempatan sementara mereka yang terkesan bencana itu, pegawai daerah kini dibenarkan membuka pusat pemindahan tambahan -- termasuk PPS tidak berdafar bagi situasi banjir luar jangka.
Pegawai daerah atau pengerusi jawatankuasa bencana daerah diberi kebenaran menggunakan budi bicara bagi tujuan tersebut. Bagaimanapun masih bergantung kepada kriteria yang digunapakai oleh pengerusi jawatankuasa bencana kawasan.
JKM selaku agensi peneraju kumpulan kerja kebajikan bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan mangsa di PPS termasuk keperluan makan minum dan kemudahan lain berada di tahap optimum.
Berkaitan pendidikan, beberapa negeri turut mengumumkan penutupan sekolah di daerah dilanda banjir bagi menjamin keselamatan pelajar dan guru. Antaranya di TERENGGANU, melibatkan 18 sekolah di empat daerah.
Sehubungan itu, semua pelajar terbabit diberi cuti peristiwa dan tiada sebarang proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan dalam tempoh tersebut termasuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Sebanyak 41 sekolah di enam daerah pula dijadikan PPS.
DI PERLIS, lapan sekolah akan ditutup mulai HARI INI (29/11/2024) dan ke semua pelajar akan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga banjir surut dan keadaan kembali pulih. Sementara itu, 669 sekolah di JOHOR diwartakan sebagai PPS bagi persediaan untuk menghadapi bencana banjir.
Bagaimanapun sekolah rendah dicadang dijadikan PPS terlebih dahulu berbanding sekolah menengah, supaya perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak terganggu.
Seperti yang dimaklumkan Kementerian Pendidikan, SPM 2024 dijadual berlangsung pada 2 Disember ini hingga 6 Februari 2025. Selaras dengan itu garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi membantu ke semua calon terlibat, dikeluarkan.
Kerajaan MADANI sesungguhnya sentiasa cakna apabila ia berkaitan hal ehwal rakyat. Sehinggakan isu banjir turut disentuh pada Sesi Dialog Awam bersempena Majlis Perasmian Program 2 Tahun Kerajaan MADANI dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dengan pengajaran yang diperoleh, ialah "kesiapsiagaan mesti dibuat lebih awal untuk mengurangkan impak bencana." Pastinya, dalam kesibukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencari ruang dan peluang yang bakal memberi manfaat kepada rakyat dan negara, kepeduliannya berhubung kebajikan rakyat tidak sesekali terabai.
Terbaharu, beliau bertindak menangguhkan program di Tasik Kenyir, Terengganu, yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini, mengambil kira situasi banjir yang kian meruncing di negeri itu.
Apa pun, semua pihak tidak boleh leka kerana persediaan adalah kunci untuk melindungi diri, keluarga, dan harta benda. Pada masa sama, penyelesaian kepada sesuatu isu juga perlu dicapai.
Ulasan berita ini disediakan oleh Eza Yusmawati Yaacob, editor Berita Radio RTM.