fb fb fb fb fb

Dua tahun Kerajaan Madani kemudi Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas selesai urusan di Rio de Janeiro, Brazil/Foto FB Anwar Ibrahim

ULASAN BERITA

Pejam celik, pejam celik.. sudah dua tahun Kerajaan MADANI, pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneraju negara. Sepanjang 24 bulan mentadbir, pelbagai reformasi dilaksana. Dasar-dasar yang tertangguh semasa pentadbiran kerajaan-kerajaan sebelum ini, berjaya diangkat demi kepentingan rakyat.

Negara mencatatkan pencapaian ekonomimemberangsangkan, termasuk, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, serta kadar inflasi yang rendah pada 1.9 peratus.

Namun, antara reformasi paling ditunggu-tunggu sebelum ini adalah pelarasan gaji penjawat awam, yang sudah 12 tahun tidak disemak. Mulai bulan depan, penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji hasil pelasaran tersebut. Manakala sektor swasta, akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan dasar gaji progresif yang turut diumumkan.

Perkara itu merupakan salah satu langkah berani Perdana Menteri untuk melaksanakan perubahan dalam kerajaan, ketika ekonomi negara sedang bertatih-tatih untuk kembali pulih dan mengukuh. Iyalah.. ia melibatkan perbelanjaan yang agak besar.

Selama dua tahun ini juga, Perdana Menteri berjaya mengemudi bahtera kerajaan perpaduan dengan baik, walaupun Kabinetnya dianggotai pelbagai parti yang memiliki ideologi berbeza pada asalnya.

Situasi politik pada November 2022 memperlihatkan bagaimana negara sekali lagi membuktikan, peralihan kuasa berlaku secara aman walaupun dalam keadaan yang kompleks. Pastinya, keutamaan Perdana Menteri ketika itu adalah mendahului kepentingan negara.

Ekonomi Malaysia perlu bangkit dengan pantas, agar kemajuan yang sedang terbina tidak ketinggalan Apatah lagi, tahun hadapan Kuala Lumpur diberi mandat untuk menerajui negara-negara anggota ASEAN.

Datuk Seri Anwar sendiri tidak duduk diam di Putrajaya. Sebaliknya, menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Perdana Menteri begitu komited untuk mendapatkan pelaburan-pelaburan asing yang penting untuk negara.

Beliau meneruskan agenda negara dengan mengadakan lawatan kerja ke Korea Selatan, bagi tujuan perdagangan dua hala dan mengadakan beberapa pertukaran memorandum persefahaman. Biarpun, baharu sahaja melakukan lawatan kerja rasmi ke Peru dan Brazil baru-baru ini.

Jelas Fahmi, kerjasama Malaysia dengan Brazil baru-baru ini untuk menangani isu keterjaminan makanan dijangka membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam sektor strategik tersebut. Nampaknya, Malayasia tidak akan menoleh kebelakang lagi, langkah perlu diteruskan untuk mendepani cabaran di hadapan.

Apa yang pasti, kerajaan hari ini komited untuk menambah baik perkhidmatan, dengan harapan pencapaian itu akan terus meningkat untuk semua rakyat. Perkara tersebut dikongsikan Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya, dalam melakar hala tuju negara yang jelas, kerajaan akan sentiasa mengambil kira pandangan semua pihak. Pada masa sama, memastikan kepentingan setiap komuniti terpelihara. Sepanjang dua tahun bersama-sama Perdana Menteri mentadbir negara, pelbagai usaha telah dijalankan dan beberapa pencapaian turut diperoleh.

Bagi meneruskan momentum tersebut, Program 2 Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 diadakan. Bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, program bertemakan ‘Madani di hati, Rakyat disantuni’ bermula hari ini dan berakhir pada Ahad.

Program tersebut memberi ruang kepada orang ramai untuk terlibat secara langsung dalam usaha reformasi Kerajaan, di samping menjadi platform menterjemahkan manfaat dan hasil daripada inisiatif yang dirangka Kerajaan MADANI.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program, antaranya Jualan MADANI, Pameran Pendidikan Karnival kerjaya serta Latihan Teknikal dan Vokasional. Selain itu, pameran perkhidmatan daripada kementerian dan aktiviti serta pelbagai tawaran menarik menanti orang ramai. Antaranya, reruai usahawan dan Jualan Rahmah Madani.

Sebagai rakyat, usaha yang sedang dilaksana kerajaan ini perlu disokong sepenuhnya, demi kepentingan negara. Tolak ke tepi dahulu ideologi dan fahaman politik sempit yang menjadi penghalang perpaduan dan kemajuan bersama.

Fokus utama ketika ini adalah kestabilan ekonomi dan sosial dalam kalangan rakyat, agar dapat bersama-sama mendepani cabaran getir yang mendatang. Bak kata pepatah, 'serumpun bak serai, sesusun bak sirih', supaya negara bernama Malaysia dapat terus bergerak maju ke hadapan!

Ulasan berita ini disediakan oleh Ashriq Fahmy Ahmad, editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI