ULASAN BERITA
Kemelut di Asia Barat rupa-rupanya tidak bernoktah di Palestin, Lubnan dan Syria. Tetapi telah mengheret sama Iran, musuh yang pernah tidur sebantal sebelum era revolusi. Angkara satu negara haram, bergolak seluruh rantau Arab. Persoalannya adakah Iran pelengkap misi kekejaman Israel di bumi Tuhan? Atau akan terus merebak ke rantau lain.
Setiap hari media melaporkan kematian kanak-kanak, wanita dan warga emas yang dibunuh tanpa alasan. Sampaikan anggota Agensi Bantuan dan Kerja Raya Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pun ditembak. 243 petugas agensi dilaporkan terbunuh, sejak rejim Israel melancarkan serangan berskala besar, susulan operasi Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober tahun lepas.
Baru-baru ini, parlimen Israel meluluskan undang-undang baharu memaksa UNRWA menghentikan operasinya. Barangkali serangan terhadap petugas UNRWA, antara cara mereka untuk menghapuskan terus rakyat Palestin dari muka bumi.
Apa tidaknya, UNRWA yang ditubuhkan menerusi mandat Perhimpunan Agung PBB pada 8 Disember 1949, telah beroperasi di Palestin sejak 1 Mei 1950. Sepanjang tempoh itu tugasnya menyediakan pendidikan, kesihatan, bantuan dan perkhidmatan sosial, selain kewangan mikro dan bantuan kecemasan kepada pelarian.
UNRWA juga bertanggungjawab menyediakan perlindungan dan infrastruktur, termasuk perkhidmatan penambahbaikan kem pelarian. Tanpa agensi yang telah banyak berjasa ini, siapa lagi yang akan menghulurkan bantuan secara langsung kepada rakyat Palestin di lapangan?
Rakyat Palestin seakan kehilangan talian hayat. Siapa yang boleh diharapkan untuk sekurang-kurangnya menghentikan kezaliman? Pertubuhan Bangsa Bersatu? OIC? Kenyataan yang sering diulang siar "kami kutuk", "kami kecam" dan kecam lagi. Tanpa sebarang tindakan segera yang mengikat. Sampai bila?
Menurut Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak UTM, Profesor Madya Dr Mazlan Ali, dunia Arab ketika ini seperti berpecah belah. Peranan OIC dan Liga Arab dilihat kurang berkesan dalam menangani isu berkenaan.
Bukan tiada ikhtiar, tetapi tiada keputusan tegas dan berani disuarakan. Seperti menolak sebarang usaha menormalisasikan hubungan dengan Israel. Termasuk menilai semula Perjanjian Abraham 2020 tajaan Donald Trump, yang bakal kembali menjadi Presiden Amerika Syarikat, kira-kira dua bulan sahaja lagi.
Padahal, jika bersatu, sekatan ekonomi boleh dikenakan terhadap rejim Israel. Mungkin yang paling berkesan, mengenakan tekanan menggunakan sumber minyak, bukan ketenteraan. Tanpa minyak, negara-negara besar pun pening.
Dalam hal ini, sikap berkecuali boleh merencatkan momentum. Dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin, Malaysia sentiasa di barisan hadapan.
Suara kita di pentas dunia sentiasa menjadi perhatian, lebih-lebih lagi sejak dua tahun kebelakangan ini. Keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak kenal kuasa besar atau negara kecil. Yang benar tetap benar, yang bersalah tetap bersalah.
Pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam di Riyadh, Arab Saudi, baru-baru ini, beliau mendesak Israel digantung, bahkan disingkirkan daripada PBB.
Tegas beliau, tindakan itu bukan sahaja demi rakyat Palestin, tetapi juga demi kemanusiaan sejagat. Cuba fikir secara kritikal, jika usul itu diambil cakna oleh PBB dan disokong penuh negara anggota,
Tanpa diveto mana-mana pihak. Wujudkah lagi Israel. Beranikah mereka meneruskan kerosakan di sana sini apabila tidak lagi dilindungi kuasa veto? Tanpa naungan PBB, pastinya Israel terpaksa tunduk kepada undang-undang antarabangsa jika tidak mahu dihukum.
Seperti dijangka, kenyataan akhir Sidang Kemuncak itu meletakkan beberapa penegasan berkaitan koflik Israel-Gaza. Namun ia dibimbangi hanya sekadar kenyataan, tiada tindakan konkrit. Seperti Sidang Kemuncak Tergempar OIC di Riyadh tahun lepas. Klise belaka.
Ulasan berita ini disediakan oleh Zamzuri Zawawi, editor Berita Radio RTM.