PUTRAJAYA, 8 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memperluas siasatan berhubung isu rasuah melibatkan pemeriksaan kenderaan perdagangan, dengan menahan lapan individu termasuk pengarah sebuah agensi di bawah kementerian serta tiga pengarah syarikat.
Menurut sumber, kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 50-an ditahan di beberapa lokasi berbeza sekitar Melaka dan Lembah Klang, antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari, dalam operasi yang dikenali sebagai Op Loader yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM.
"Kesemua suspek disyaki terlibat dalam kegiatan memperoleh surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) daripada sebuah agensi tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan," menurut sumber itu.
Sumber SPRM mendakwa, syarikat-syarikat itu bersekongkol dengan pegawai agensi tersebut untuk menyediakan maklumat palsu bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan permohonan baru LKP Kelas Lesen Pembawa dengan bayaran sebanyak RM3,500 setiap permohonan.
Foto SPRM
Tambahnya, bayaran rasuah yang dikenakan bagi setiap permohonan LKP antara RM3,000 hingga RM20,000, bergantung kepada jenis dan usia kenderaan serta keupayaan syarikat yang ingin memperoleh lesen tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan kesemua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Beliau turut memaklumkan kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk proses permohonan reman.