fb fb fb fb fb

Bantuan MADANI perkukuh kesejahteraan dan ekonomi rakyat

Foto arkib RTM

Hari ini merupakan hari akhir persekolahan bagi semua pelajar sesi 2024/2025 kecuaIi pelajar Tingkatan Lima yang masih bergelut dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi masa depan.

Tamat sesi pembelajaran tahunan. Ada tempoh sebulan untuk mereka merehatkan minda dan fizikal. Melakukan pelbagai aktiviti santai bermanfaat sepanjang cuti... harapnyalah.

Tetapi, lain pula bagi golongan ibu bapa. Mana tidaknya, fikiran mereka tiada rehatnya, malah mula merancang persediaan anak-anak untuk sesi akan datang. Terutama perihal bajet pendidikan - meliputi yuran, pakaian seragam serta alat tulis dan tambang bas sekolah.

Belum lagi congak bajet musim perayaan yang menyusul kemudian.

Sudah tentu... silap percaturan, silap perkiraan -- mungkin menyulitkan lagi kewangan keluarga. Terkurang bagi keperluan, dan terlebih kepada kehendak. Berhati-hatilah.

Rentetan itu juga sebenarnya, Kerajaan menerusi Belanjawan MADANI Ketiga 2025 terus mengambil cakna. Menambah baik dan melaksanakan beberapa langkah untuk membantu rakyat secara langsung dalam mendepani masalah kenaikan kos sara hidup pada masa kini terutama kepada golongan rakyat dalam kelompok miskin dan miskin tegar. Pada masa sama memperkukuh ekonomi dan pembangunan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan tersebut di Dewan Rakyat pada 18 Oktober lepas, mengumumkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) diteruskan -- dengan hampir RM800 juta diperuntukkan kepada 5.2 juta murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima tanpa mengira pendapatan ibu bapa.

Ya, semua dibantu demi kemaslahatan semua.

Seawal 13 Januari lalu, telah pun bermula pemberian inisiatif BAP yang menyerlahkan keprihatinan Kerajaan MADANI untuk membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak.

Kementerian Pendidikan mengumumkan, agihan BAP sebanyak RM150 itu diserahkan kepada setiap murid Tahun Satu hingga Tingkatan Empat sesi 2024/2025. Jumlah sama diperuntuk kepada pelajar Tingkatan Enam semester dua dan murid Tahun Satu sesi persekolahan 2025/2026, mulai 16 Februari. Bagi pelajar Tingkatan Enam baharu, agihan bermula 1 Julai.

Agihan BAP dilakukan oleh pihak sekolah menggunakan kaedah sama ada serahan tunai kepada ibu bapa, pengkreditan ke akaun bank murid, atau pengkreditan ke akaun bank ibu bapa. Jumlah bersih, maksudnya bayaran penuh -- tanpa potongan bagi tujuan lain termasuk bagi pembayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Apa yang menarik, ini kali pertama inisiatif BAP diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam dan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar untuk menjamin akses pendidikan kepada semua dengan implikasi kewangan kira-kira RM15 juta.

Dan satu lagi perkara, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek tidak menolak kemungkinan BAP diperluaskan kepada murid prasekolah dengan pertimbangan mengenainya perlu dibuat terlebih dahulu, sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Itu kisah BAP...

Seterusnya berkenaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menyaksikan bantuan lebih tinggi untuk tahun 2025.

Menyedari impak peningkatan kos sara hidup kepada rakyat, SARA merupakan antara inisiatif kerajaan untuk meringankan beban ditanggung rakyat memerlukan. Ia disalurkan mulai RABU, 15 Januari lalu kepada 700,000 penerima dalam kategori miskin dan miskin tegar.

Kadar bantuan SARA seperti diumumkan Kementerian Kewangan itu membolehkan penerima yang berdaftar dengan eKasih, menerima RM2,100 untuk tahun 2025 berbanding RM1,200 ringgit pada 2024. Bantuan SARA RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi Januari hingga Mac, manakala mulai April, kadar bantuan akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.

Sedia maklum, SARA adalah pendekatan bersasar bagi memastikan bantuan digunakan untuk barang keperluan asas, termasuk makanan. Sekali gus menjunjung prinsip Ekonomi MADANI, iaitu hasil negara dan penjimatan subsidi diagihkan kepada pihak yang benar-benar memerlukan.

Jangan tak tahu... tahun ini juga bantuan yang akan disalurkan melalui MyKad secara bulanan itu akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak berbanding hanya di negeri Semenanjung.

Selain itu, 5.4 juta penerima STR akan turut menerima bantuan tambahan SARA mulai April depan.

Banyak... memang banyak.

Pastinya, dalam melahirkan kesyukuran atas penerimaan pelbagai inisiatif kerajaan ini, kenaikan gaji minimum dan pelarasan gaji penjawat awam turut meningkatkan kesejahteraan rakyat. Seterusnya memberi limpahan lebih besar kepada ekonomi negara, berbanding risiko terhadap inflasi.

Kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 itu akan berkuat kuasa mulai Februari.

Dalam hal ini, penganalisis ekonomi menegaskan peningkatan gaji pada dasarnya bertujuan mengimbangi kos sara hidup, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun ia perlu disertai dengan peningkatan produktiviti pekerja. Bermakna -- kenaikan gaji bukanlah penyelesaian tunggal kepada masalah kos sara hidup. Sebaliknya pendidikan kewangan, kemahiran, dan perancangan kewangan yang bijak juga perlu diberi penekanan agar golongan pekerja dapat memanfaatkan sepenuhnya kenaikan gaji tersebut.

Dari perspektif ekonomi, kenaikan gaji minimum turut boleh memberi kesan positif terhadap permintaan domestik. Apabila pekerja memiliki pendapatan yang lebih tinggi, mereka lebih cenderung untuk berbelanja, yang akhirnya dapat merangsang ekonomi negara.

Apapun, segala penambahbaikan bantuan tunai kepada rakyat serta kenaikan gaji -- bukti jelas Kerajaan MADANI akan sentiasa memastikan golongan kurang berkemampuan terus dilindungi.

Tidak perlu diselongkar buruknya, tetapi carilah baiknya, maka positiflah hasilnya.

Bak kata pepatah, "Jadilah mata lebah, jangan jadi mata lalat".

Ulasan berita ini disediakan oleh Eza Yusmawati Yaacop, Editor Berita Radio RTM.

SITI AISHAH MD ISA