ULASAN BERITA
Berlabuhlah tirai lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim keempat negara; membawa misi penting dengan mengetengahkan suara Malaysia ke persada dunia bagi meningkatkan lagi kerjasama dan hubungan dua hala.
Melengkapkan lawatan rasminya, bermula ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom (UK), Belgium, dan Switzerland sejak 12 Januari lalu.
Dalam rangka lawatan tersebut, beliau mengetuai delegasi Malaysia termasuklah ke Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos menerusi destinasi lawatan akhirnya ke Switzerland.
Kini, bak kata Datuk Seri Anwar, "rakyat dan negara nantikan sahaja kehadiran para pelabur baharu dan sedia ada, untuk sama-sama menjulang kemajuan negara ke tahap lebih baik."
Ya, perjalanan pertama bagi tahun 2025, yang juga kunjungan kedua Perdana Menteri ke UAE, memberikan impak positif. Melakar penglibatan strategik yang bakal memperkukuh hubungan dua hala dan membuka peluang baharu untuk kerjasama antara kedua-dua negara.
Kehadiran beliau ke Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) itu atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE merangkap pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.
Menyaksikan pelbagai perjanjian penting dimeterai dengan rakan sejawatan yang juga Naib Presiden, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum. Termasuk bertemu Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan. Selain mendapat kepercayaan kerajaan UAE dan syarikat gergasi dari negara teluk itu untuk menjalin kerjasama ekonomi.
Pencapaian utama ialah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu, yang dijangka meningkatkan jumlah perdagangan dua hala sekurang-kurangnya 60 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
Kejayaan memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) turut membuka ruang kepada perjanjian sama dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang lain, iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Arab Saudi.
Tidak ketinggalan, pada pembukaan ADSW, Malaysia menuntut kebersamaan dalam mempromosi ASEAN sebagai blok cemerlang dari segi ekonomi dan budaya demi masa depan dan kemakmuran ASEAN. Selaras lawatan luar negara pertama beliau sebagai Pengerusi ASEAN.
USAI lawatan kerja ke UAE, tanpa berlengah delegasi Malaysia terus bergerak ke UK. Ia sebagai usaha memperkukuhkan hubungan strategik kedua-dua negara termasuk pertemuan dengan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.
Apa yang menarik, destinasi kedua delegasi negara turut membuahkan hasil positif, lumayan. Lawatan kerja pertama Datuk Seri Anwar ke London itu, menarik potensi pelaburan bernilai RM11 bilion dalam pelbagai sektor, termasuk tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Keberhasilan itu mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap dasar negara selepas beliau dan delegasi mengadakan beberapa siri pertemuan dengan 31 kapten industri terkemuka di UK.
Potensi eksport yang dijana dalam tempoh lima tahun akan datang pula direkodkan sebanyak RM500 juta, meliputi produk peralatan dan komponen pesawat.
Ke Brussels, Belgium pula agenda berikutnya; termasuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Alexander De Croo selain sesi bersama Presiden Majlis Eropah Antonio Costa.
Lawatan kerja singkat, namun berjaya memperkukuh hubungan diplomatik, perdagangan dan ekonomi antara Malaysia dengan negara-negara Eropah, serta meningkatkan pengaruh Malaysia dan ASEAN dalam arena antarabangsa.
Lebih membanggakan -- rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia dan Kesatuan Eropah (MEUFTA) berjaya dimuktamadkan. Bukti visi kerajaan dalam kerjasama ekonomi dan aspirasi untuk membuka potensi perkongsian perdagangan dan pelaburan.
Selaku pengerusi ASEAN, Malaysia dan EU juga bersetuju mempercepat perbincangan mengenai Perjanjian Rangka Kerja European Investment Bank (EIB). EU dilaporkan komited untuk melabur RM46.7 billion bagi kesalinghubungan di ASEAN.
Isu PALESTIN turut disuarakan oleh Datuk Seri Anwar. Beliau memaklumkan, EU menyambut baik gencatan senjata di Gaza, dan tegasnya, adalah tanggungjawab bersama untuk membangunkan semula Gaza selepas musnah akibat kezaliman Israel.
Perdana Menteri kemudian berlepas ke Davos, Switzerland untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025. Memperlihat bagaimana komitednya delegasi Malaysia mengangkat naratif ASEAN di forum tersebut.
Sudah tentu, meskipun melalui jadual padat semasa lawatan kerja di tiga negara sebelumnya, Perdana Menteri tidak lelah. Sebaliknya menggunakan sebaik mungkin pentas WEF 2025 untuk menyuarakan pandangan ASEAN.
Beliau turut menzahirkan pendirian blok itu yang memberi perhatian khusus kepada ekonomi dan perdagangan. Di samping memanfaatkan perdagangan intra-ASEAN sebagai kekuatan seiring kemajuan Amerika Syarikat, China, Eropah dan BRICS.
Dengan beberapa syarikat besar telah menzahirkan minat untuk melabur serta meneruskan pelaburan sedia ada ke Malaysia. Termasuk hasrat syarikat perlombongan logam Australia, Fortescue untuk melabur dalam sektor automotif hidrogen hijau di Bintulu, Sarawak.
Rentetan daripada keseluruhan detik perjalanan ke empat negara itu, apa yang boleh dilihat, Malaysia akan terus memainkan peranan dan jambatan kepada pertumbuhan ekonomi. Bukan sekadar mengungkap atau membicarakan perkara tiada hala tuju, tetapi menggunakan sepenuhnya peluang yang ada, demi masa depan rakyat dan negara.
Ulasan berita ini disediakan oleh Eza Yusmawati Yaacop, Editor Berita Radio RTM.