fb fb fb fb fb

Projek Bandar Wakaf Malaysia, pacu pembangunan semula Gaza

Ilustrasi bergambar bandar Wakaf di Gaza/Foto Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

ULASAN BERITA

Terima kasih Malaysia! Kerana terus membuktikan keprihatinan terhadap bumi Palestin, terutama Gaza, yang ditindas rejim zionis dengan kejam. Sehingga menjadikan bumi suci itu seolah-olah padang jarak padang terkukur.

Insan tidak bersalah terpaksa melarikan diri, dek dibedil tanpa henti. Nyawa manusia bagaikan tiada nilai. Kanak-kanak, wanita dibunuh tanpa erti belas kasihan. Sungguh kejam!.

Namun mereka tetap teguh mempertahankan tanah air daripada cengkaman Israel. Peranan dimainkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup berani. Peluang perjanjian gencatan senjata digunakan sebaik-baiknya.

Sebagai usaha permulaan, Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza. Pembinaan semula itu akan dilakukan dengan kerjasama antara rakyat Malaysia dengan sektor swasta.

Malaysia juga bakal cipta sejarah sebagai negara pertama di ASEAN yang bakal bangunkan Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza. Ia akan dilancarkan dalam tempoh terdekat selepas Ramadan.

Nampaknya, langkah itu bukan saja mencerminkan komitmen Malaysia membantu bangunkan semula Gaza pasca peperangan. Tetapi, memperkukuh kedudukan di pentas antarabangsa sebagai peneraju solidariti dan pembelaan terhadap rakyat Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, Datuk Sani Araby menjelaskan pembangunan bandar wakaf itu bukan sekadar inisiatif bantuan. Tetapi model pembangunan wakaf pertama Malaysia di bumi Palestin.

Yang boleh dijadikan contoh di peringkat global. Alhamdulillah. Semoga semua usaha itu diberkati. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

PMX juga memaklumkan, usaha pembangunan semula Gaza juga melibatkan kerjasama antara kerajaan Jepun dengan Malaysia,yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur.

Kesediaan itu juga pernah disuarakan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida ketika lawatan kerja Datuk Seri Anwar ke Tokyo. Ini bukan kali pertama negara kita menjadi yang terawal.

Acap kali diserang, Malaysia lah antara negara paling cepat menghulurkan bantuan. Namun kekejaman Israel tiada hadnya.

Bangunan Wakaf Produktif Muslim Care Malaysia yang dibina untuk penduduk Palestin, hasil sumbangan rakyat Malaysia, rosak teruk dibedil. Lebih menyedihkan, bangunan berharga hampir RM5 juta itu belum digunakan.

Bangunan atas tanah seluas 2,635 meter persegi itu berpotensi menjadi tumpuan ramai, serta memanfaatkan pembangunan ekonomi di Gaza.

Berbalik kepada usaha pembangunan semula Gaza. Usaha murni Perdana Menteri itu bukan hanya mendapat reaksi positif masyarakat.

Ia turut disokong penuh badan Bukan Kerajaan (NGO), seperti Muslim Care Malaysia. Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas inisiatif itu.

Pakar Geostrategi Prof. Dr Azmi Hassan mengganggap langkah Datuk Seri Anwar adalah tindakan ke hadapan serta berstrategi, selain membuka laluan kepada pemulihan semula negara Palestin dan keputusan berani. Apatah lagi ketika gencatan senjata di Palestin masih di peringkat awal.

Secara tersirat, ia memberikan tekanan untuk memastikan perjanjian tersebu diteruskan dan dipatuhi. Tindakan itu cukup membuktikan laungan Malaysia untuk membantu Palestin, bukan cakap kosong atau retorik, tetapi disokong perancangan rapi pimpinan negara, termasuk sumber kewangan.

Kendatipun begitu, dana pembangunan semula Gaza perlu mendapat pembabitan banyak negara maju. Selain negara ASEAN serta kalangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), meliputi negara organisasi Brazil, Russia, India dan China (BRICS).

Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh akui pembabitan itu penting. Memandangkan kos pembinaan semula Gaza dianggarkan mencecah trilion dolar.

Kesatuan Eropah pula misalnya telah umumkan pakej bantuan kemanusiaan untuk Gaza sebanyak 120 juta euro.

Bagi yang cakna, Malaysia bawah kepimpinan PMX sebenarnya mempunyai pemimpin yang berwibawa. Kelantangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di pentas antarabangsa bukan calang-calang.

Artikel The New York Times pernah melaporkan, selepas kritikan keras PMX terhadap negara Barat mengenai Gaza, dan peningkatan kemarahan antarabangsa terhadap korban di Palestin.

Nada sokongan Jerman kepada Israel telah berubah. Korespondennya di Berlin, Erika Solomon mengakui Jerman semakin janggal dalam kedudukannya sebagai sekutu rapat Israel.

Kritikan berani itu mungkin membuatkan Jerman memikirkan semula pendiriannya terhadap Israel. Begitu juga ketika lawatan kerja ke luar negara.

Tidak pernah pemimpin kita terlepas menyuarakan mengenai isu di Palestin. Semoga 2025 memberi sinar baharu buat semua. Palestin pasti merdeka! Amin Ya Rabbal Alamin.

Ulasan berita ini disediakan oleh Mohd Khairie Khalid, Editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI