fb fb fb fb fb

Gaji minimum, wajarkah dinaikkan?

Foto hiasan/Arkib Bernama

ULASAN BERITA

Selepas 1 Februari lalu, 4.37 juta pekerja di Malaysia yang menerima gaji minimum setiap bulan sudah boleh menarik nafas lega, memandangkan gaji pokok yang bakal mereka peroleh selepas ini bertambah sebanyak RM200.

Daripada RM1,500 kepada RM1,700. Alhamdulillah… Pertambahan sebanyak RM200 itu besar bagi mereka yang berpendapatan rendah dan bergelut untuk memenuhi keperluan seharian. Apatah lagi, bagi yang dah berkeluarga, dan menetap di kawasan bandar yang serba-serbi mahal berbanding kawasan luar bandar.

Kenaikan gaji itu pastinya sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kos sara hidup kerana akan meningkatkan kuasa beli rakyat. Sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negara menerusi peningkatan permintaan dalam pasaran domestik.

Mungkin juga membolehkan pekerja menambah simpanan atau mula membuat tabungan untuk kegunaan pada waktu kecemasan.

Gaji minimum yang tinggi turut menjadi faktor penarik golongan belia untuk memenuhi pasaran kerja tempatan, yang akhirnya dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing tidak mahir.

Dalam menetapkan kadar baharu gaji minimum, pelbagai faktor diambil kira. Antaranya, Pendapatan Garis Kemiskinan semasa, gaji penengah, perubahan dalam Indeks Harga Pengguna, pertumbuhan produktiviti, kadar pengangguran sebenar dan kadar inflasi.

Ia juga ditentukan oleh kerajaan berdasarkan syor Majlis Perundingan Gaji Negara, selepas mengadakan konsultasi dengan orang awam, serta melaksanakan analisis data dan mempertimbang segala pilihan dengan teliti.

Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) turut dijadikan rujukan asas dalam menetapkan gaji minimum, bagi memastikan keperluan isi rumah dapat ditampung, terutamanya di kawasan bandar.

Selain itu, ia juga sebagai mekanisme untuk mengurangkan jurang pendapatan, khasnya bagi pekerja sektor swasta. Pendek kata, semakan semula kadar upah minimum secara berkala TIDAK dilakukan sewenang-wenangnya, tanpa kajian menyeluruh atau perbincangan dengan pihak lain.

Ahad lepas, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, sesi libat urus akan terus dilakukan dengan pelbagai pihak, bagi menambah baik dasar gaji minimum dari semasa ke semasa.

Sesi itu juga bagi memperhalus pelaksanaan kadar baharu gaji minimum, termasuk meneliti pelaksanaannya berdasarkan geografi dan keadaan ekonomi sesebuah lokaliti.

Sememangnya dua faktor tersebut perlu turut diberi perhatian, memandangkan keadaan ekonomi dan kos sara hidup di sesebuah lokaliti adalah berbeza. Namun, apa yang penting ialah mencari titik keseimbangan antara harga barang dengan gaji pekerja. Tidak guna sekiranya gaji naik, harga barang pun meningkat.

Lazimnya, akan ada peningkatan harga barang di pasaran berikutan kenaikan gaji. Ia tidak dapat dielak kerana majikan perlu menampung kos upah pekerja yang meningkat. Di sini pentingnya penguatkuasaan oleh kementerian berkenaan, bagi membendung kenaikan harga barang secara tidak wajar.

Atas keprihatinan itu juga, kerajaan menetapkan Perintah Gaji Minimum RM1700 yang berkuat kuasa 1 Februari 2025, hanya terpakai kepada majikan yang menggaji lima pekerja dan ke atas. Serta terpakai kepada majikan yang menjalankan aktiviti profesional, tanpa mengira bilangan pekerja.

Bagi majikan yang menggaji pekerja kurang daripada lima orang, tarikh kuat kuasa adalah pada 1 Ogos nanti. Penangguhan tarikh kuat kuasa selama enam bulan adalah bagi memberi tempoh secukupnya kepada majikan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dalam aspek kewangan dan operasi.

Perlu diingat, kegagalan mematuhi Perintah Gaji Minimum adalah satu kesalahan bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) yang boleh didenda, serta dihukum penjara tidak lebih LIMA tahun bagi kesalahan berulang.

Kesimpulannya, benar langkah meningkatkan gaji minimum bukan jalan penyelesaian kepada isu kos sara hidup yang dihadapi rakyat tetapi, yang pasti dapat membantu meringankan beban rakyat.

Jika dilihat daripada satu sudut, gaji yang bertambah akan meningkatkan produktiviti pekerja. Kerana apa? Kerana pekerja yang menikmati kenaikan gaji akan merasa lebih gembira dan bermotivasi untuk bekerja dan meningkatkan prestasi.

Seterusnya akan memberi manfaat dan keuntungan kepada majikan. Hakikatnya, situasi ini adalah satu kitaran yang tidak berkesudahan.

Ulasan berita ini disediakan oleh Masniza Awang Kechik, Editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI