ULASAN BERITA
Lawatan dua hari Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke negara ini, bukan sekadar langkah diplomasi, tetapi satu strategi menyeluruh yang membawa manfaat besar kepada rakyat Malaysia.
Kunjungan tersebut, yang menjadi sebahagian lawatannya ke Asia, mencerminkan kesungguhan kedua-dua negara dalam memperkukuh ekonomi dan sosial. Dalam masa sama, mempertingkat daya tahan nasional bagi menghadapi cabaran semasa geopolitik.
Bersempena lawatan rasmi pemimpin berpengaruh itu, 11 MoU dimeterai antara Kuala Lumpur dengan Ankara. Ia ke arah memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai sektor. Antaranya perdagangan dan pertahanan.
Mengapa begitu ditekankan soal perdagangan? Kerana Malaysia-Turkiye memiliki potensi besar dalam memperkasakan hubungan perdagangan di peringkat global.
Kedua-dua negara mempunyai lokasi strategik yang menjadi penghubung penting antara ASEAN dengan Eropah. Ya, mari lihat peta dunia.
Turkiye berada di tengah-tengah antara ASEAN dengan Eropah, manakala Malaysia berada di tengah-tengah antara negara Asia Tenggara. Kedudukan itu sekali gus membuka peluang kedua-dua pihak dalam memperluaskan lagi pasaran ekonomi.
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, peluang untuk meningkatkan kerjasama dengan negara itu digunakan sebaiknya, bagi, menjadikan negara sebagai hab perdagangan di Eropah hasil kesalinghubungan dengan republik berkenaan.
Di kesempatan itu juga, pelawaan Malaysia terhadap Turkiye sebagai rakan dialog ASEAN, tepat pada masanya. Menurut Perdana Menteri, cadangan dibuat memandangkan Ankara dianggap sebagai pemain global utama, yang memainkan peranan penting dalam pelbagai isu antarabangsa.
Penyertaan Turkiye dalam ASEAN dilihat berupaya mewujudkan mekanisme lebih seimbang dalam konteks pertahanan dan keselamatan serantau. Apa lagi keistimewaan Turkiye ya? Kerajaan Turkiye juga tidak berkira dengan Malaysia. Umpamanya dalam perkongsian teknologi dan kepakaran.
Sebagai contoh, lapangan terbang kedua terbesar di Turkiye iaitu Lapangan Terbang Sabiha Gokcen, diuruskan MAHB. Ia bukti kepercayaan dan keyakinan kepada pihak berkuasa lapangan terbang Malaysia.
Di samping itu, MoU dalam bidang pengurusan bencana dan kecemasan memberi indikasi bahawa kepakaran pengurusan bencana negara dipandang tinggi republik berkenaan. Ia dijayakan susulan kehadiran Pasukan MyTeam Relief membantu negara itu, semasa bencana gempa bumi di Gaziantep, dua tahun lalu.
Ini yang dikatakan rakan strategik yang sangat penting di peringkat global. Sebenarnya, banyak lagi kerjasama dibentuk, merangkumi pelbagai sektor dan bidang. Dipacu oleh kepentingan bersama serta kelebihan yang saling melengkapi. Tahun demi tahun, perkongsian strategik membuahkan hasil.
Kejayaan itu membolehkan Turkiye menyasar untuk menggandakan perdagangannya dengan Malaysia kepada AS$10 bilion selepas melepasi paras AS$5 bilion pada tahun lalu.
Untuk rekod, Turkiye rakan dagang ketiga terbesar Malaysia pada 2024, menjadikannya destinasi eksport utama, serta sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat. Jumlah dagangan antara Malaysia dengan Turkiye mencatat RM24.13 bilion pada 2024, meningkat 18.7% berbanding 2023.
Baik, itu antara pencapaian yang diraih. Sekarang, apa pula penglibatan Turkiye, sebagai sebuah kuasa besar dalam dunia Islam. Peranan Turkiye sebagai penyatu dunia Islam serta pengalamannya dalam industri pertahanan, diplomasi, kesihatan dan pengangkutan.
Digabungkan dengan keupayaan intelektual Malaysia dalam bidang Islam, sains dan teknologi boleh memberikan sumbangan penting kepada pembangunan dan kemakmuran kedua-dua negara.
Hubungan baik serta kerjasama erat yang terjalin antara kedua-dua negara, sentiasa ditekankan. Termasuk dalam isu Palestin, islamofobia, hak asasi manusia, krisis kemanusiaan serta pelbagai inisiatif bawah OIC dan Kumpulan Lapan Negara Membangun.
Mudah-mudahan hubungan Malaysia-Turkiye akan terus terjalin erat dan berkembang positif. Seterusnya, menjadi model kerjasama antarabangsa yang terbilang. Kuala-Lumpur dan Ankara bagaikan sahabat sejati. Seperti nasihat orang tua dahulu, sahabat sejati tidak mengenal jarak. Hanya kesetiaan membuahkan hasil dan kerjasama yang berjaya.
Ulasan berita ini disediakan oleh Nik Hafizul Baharuddin, Editor Berita Radio RTM.
Kuala Lumpur – Ankara, model kerjasama antarabangsa
