fb fb fb fb fb

Isu padi dan beras, penyelesaian kerajaan untuk semua

Foto hiasan/Arkib Bernama

ULASAN BERITA

Padi dan beras... Ada apa lagi dengan kedua-duanya ya? Sebelum ini, pesawah merayu agar harga belian lantai padi dinaikkan. Tegas mereka, tuntutan itu adalah demi kesejahteraan golongan pesawah dan kestabilan industri pertanian.

Lalu, hal itu terus jadi perdebatan dalam kalangan rakyat… Dari warung kopi hingga ke alam maya. Ada yang menyokong, ada yang membantah; masing-masing dengan hujah tersendiri.

Di sebelah pihak, ada yang merasakan tuntutan itu tidak wajar. Kata mereka, pesawah tidak ada hak untuk berbuat demikian kerana akan menyusahkan majoriti rakyat. Atas alasan, kononnya, ia pasti akan menyebabkan peningkatan harga beras dan makanan.

Pihak lain pula merasakan tuntutan golongan pesawah adalah munasabah. Golongan itu benar-benar terdesak, sekali gus mengharapkan ihsan kerajaan membantu mereka.

Analogi "biar pesawah hidup dalam kemiskinan, asalkan orang lain dapat menikmati beras murah", tidak lagi sesuai. Kasihanilah pesawah. Realitinya, mereka juga ada keperluan untuk dipenuhi.

Zaman ini, berkorban harus berpada-pada, Jangan sampai "NAYA PAK KARIM!" (menganiaya). Sekian lama pesawah memendam rasa… terima seadanya bahawa hak mereka hanya terbatas di atas petak bendang sahaja.

Daripada upah membajak, menuai hinggalah pembeli hasil titik peluh mereka, semuanya, ditentukan oleh pihak lain. Belum lagi kena beli benih padi, racun serangga, baja dan sebagainya… yang, harganya naik mencanak-canak.

Itu pun... satu ketika, heboh pesawah kena 'scam' dengan baja tidak berkualiti. Akhirnya, mereka terpaksa keluar duit sendiri untuk membeli baja tambahan. Tapi, apa boleh buat, selagi mampu bertahan, kalau harga padi tidak naik pun, mereka tiada pilihan, harus akur… tetap perlu turun ke bendang kerana itu adalah kehidupan dan punca rezeki mereka.

Baru-baru ini, sebuah kilang padi bumiputera terbesar di Kangar, yang beroperasi sejak 57 tahun lalu, dilaporkan bakal gulung tikar selepas tidak mampu lagi menanggung kerugian berjuta-juta ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini..

Kilang itu, yang sebelum ini memberi kemudahan kepada lebih 10,000 petani di negeri Perlis bagi menjual hasil tuaian mereka, kini sudah tidak mampu lagi bertahan berikutan tekanan lonjakan harga belian padi di sebalik harga beras masih rendah.

Apa yang dibimbangkan, jika tiada tindakan segera diambil, lebih banyak lagi syarikat akan menerima nasib yang serupa. Tohmahan dilempar kepada kerajaan, kononya tidak berbuat apa-apa untuk membela nasib golongan pesawah, juga pemain industri padi.

ITU TIDAK BENAR! Bukan kerajaan tidak prihatin, bukan juga kerajaan tidak mendengar. Hakikatnya, mencari jalan penyelesaian yang dapat memuaskan hati semua pihak tidak boleh dicapai dalam sekelip mata.

Perlu memastikan kepentingan pemegang taruh di setiap lapisan rantaian pembekalan tidak dikesampingkan, baik di peringkat pesawah, pengilang, pemborong peruncit hinggalah rakyat jelata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah acap kali menegaskan, usaha membantu pesawah menjadi antara agenda pertama beliau tatkala diberi amanah mengemudi negara.

Mungkin sekarang kerajaan belum mampu untuk memenuhi tuntutan harga lantai belian padi sehingga RM1,800.00 seperti diminta pesawah. Tetapi, pelarasan harga RM1,500.00 untuk permulaan, adalah memadai.

Jika mahu kerajaan penuhi tuntutan pesawah sekarang, bermakna subsidi beras perlu dihapuskan. Harga runcit beras juga perlu dinaikkan. Persoalannya, adakah semua pihak sudah bersedia jika kerajaan ambil keputusan untuk melaksanakan langkah tidak popular itu? Tepuk dada, tanya selera.

Kalau ikutkan, ini adalah pelarasan harga lantai belian padi yang kedua dilaksanakan Kerajaan MADANI dalam tempoh dua tahun untuk menambah pendapatan pesawah. Pada 2023, untuk pertama kali setelah hampir 10-tahun, harga lantai belian padi dinaikkan daripada RM1,200.00 ke RM1,300.00

Menjelaskan pelarasan harga terbaharu itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian seperti baja dan racun, serta, impak kepada kos pengeluaran beras yang seterusnya memberi kesan kepada harga komoditi itu di pasaran.

Malah, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) juga bersetuju, harga RM1,500.00 itu bersesuaian, berdasarkan harga pasaran padi ketika ini, serta dibuat berdasarkan bekalan dan permintaan semasa.

Susulan dengan pelarasan harga lantai belian padi baharu yang berkuat kuasa Ahad lepas, kerajaan turut mengumumkan, harga beras putih tempatan, (BPT) dikekalkan pada RM2.60 sekilogram. Kalau ikutkan harga lantai belian padi RM1,500.00 itu, sepatutnya beras tempatan dijual pada harga RM32.00 per 10 kilogram.

Namun, kerajaan menyerap kos pengeluaran melalui dana 150-juta Ringgit bagi mengekalkan harga 26-Ringgit per 10-kilogram. Menerusi inisiatif tersebut, 24 juta kampit BPT berat 10 kilogram akan mula berada di pasaran secara berperingkat-peringkat dalam tempoh enam bulan.

Pengumuman itu seharusnya melegakan pengguna, dan isu kehilangan beras putih tempatan sepatutnya dianggap selesai. Namun, harus diingat. Menyelesaikan isu padi dan beras bukan perkara mudah. Perlukan satu pendekatan ibarat "menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan terserak." Semoga dapat pengakhiran yang baik buat semua.

Ulasan berita ini disediakan oleh Emmi Noraliza Adnan, Editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI