fb fb fb fb fb

Malaysia negara pendamai serantau

Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama PM Kemboja, Hun Manet (kanan) dan Pemangku PM Thailand, Phumtham Wechayachai (kiri) pada Mesyuarat Khas Konflik Thailand - Kemboja di Putrajaya/Foto FB Anwar Ibrahim

ULASAN BERITA

Telah terbukti, kita bukan sekadar jaguh yang hebat di gelanggang sendiri, bahkan mampu menonjol di pentas dunia.

Isnin lalu, Malaysia sekali lagi mempamerkan keupayaan untuk memainkan peranan penting di peringkat serantau apabila bertindak sebagai perantara dalam menyelesaikan konflik antara Thailand dengan Kemboja.

Inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menemukan pemimpin kedua-dua negara itu dalam satu mesyuarat khas di Putrajaya, membawa kepada perjanjian gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat antara pihak-pihak bertelagah.

Boleh dikatakan sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia sangat berfungsi dalam melaksanakan peranannya sebagai pendamai negara-negara serantau. Kejayaan besar ini, tidak seharusnya diperlekeh.

Sebaliknya diraikan seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira fahaman politik. Tidak wajar mempolitikkan kejayaan ini kerana 'orang luar' pun menghargai inisiatif Malaysia. Lebih-lebih lagi negara yang terlibat.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menyifatkan mesyuarat khas yang dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar, sebagai amat penting dan tepat pada masanya.

Semalam, beliau turut meminta Panglima Angkatan Tentera Malaysia yang kini berperanan sebagai penyelaras dan pemerhati pelaksanaan gencatan senjata untuk membantu usaha pembebasan 20 tentera Kemboja yang masih ditahan tentera Thailand.

Ini sekali lagi menunjukkan bahawa negara serantau yakin dan percaya dengan kemampuan Malaysia untuk membantu menyelesaikan masalah rentas sempadan yang membelenggu mereka.

Di pihak Thailand pula, Pemangku Perdana Menteri negara itu, Phumtham Wechayachai mengakui, hasil mesyuarat di Putrajaya mencerminkan hasrat Bangkok untuk mencapai penyelesaian secara aman, demi mempertahankan kedaulatan negara dan melindungi nyawa rakyat.

Kejayaan Malaysia menjadi pendamai antara dua negara berjiran itu, turut mendapat pujian Amerika Syarikat. Semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 di Parlimen semalam, Datuk Seri Anwar memaklumkan mengenai penghargaan yang diterima daripada Presiden Donald Trump atas kejayaan Malaysia memainkan peranan yang baik dan berkesan dalam menyelesaikan konflik Thailand-Kemboja.

Sebelum ini, China menerusi Kementerian Luar turut memuji peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN yang secara aktif menggalakkan rundingan antara kedua-dua negara berkenaan.

Itu.. antara penghargaan peringkat tertinggi yang diterima daripada kuasa besar dunia, selain daripada Kesatuan Eropah, Jepun dan Pakistan, serta negara serantau, seperti Indonesia dan Vietnam. Jadi, mengapa pula ada pihak di dalam negara kita sendiri enggan mengakui kejayaan yang dicapai?

Sebagai rakyat negara ini, kita harus berbangga kerana Malaysia berjaya mengelakkan konflik antara dua negara yang lama terpendam daripada menjadi bertambah buruk, sehingga merebak ke negara lain.

Tanpa tindakan segera di pihak Malaysia, tidak mustahil konflik ini akan menjadi semakin meruncing. Sebelum gencatan senjata dipersetujui, konflik tersebut telah pun meragut puluhan nyawa, serta memaksa ratusan ribu penduduk melarikan diri.

Ketegangan antara Thailand dengan Kemboja meningkat sejak 28 Mei lalu, susulan pertempuran tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan yang dipertikaikan di Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja. Pada 24 Julai, pertikaian terus memuncak dengan pertempuran bersenjata tercetus di sepanjang sempadan utara Kemboja.

Sudah tentu, komuniti ASEAN tidak mahu konflik ini diselesaikan oleh pihak di luar perkumpulan serantau ini. ASEAN pastinya tidak mahu dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah dalaman sendiri, sehingga mengheret campur tangan pihak asing.

Hakikatnya, ini bukan kali pertama Malaysia berjaya melaksanakan peranan sebagai perantara damai di peringkat antarabangsa. Pada 2005 umpamanya, Malaysia pernah mendamaikan China dan Jepun yang bersengketa dalam isu berkaitan sejarah dan sempadan.

Pada 2001 pula, Malaysia menjadi pemudah cara dalam proses damai antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro. Dalam konflik Thailand-Kemboja, tindakan Malaysia amat penting untuk memastikan ASEAN kekal relevan.

Walaupun secara tradisinya ASEAN mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota, Malaysia tetap menggunakan ruang diplomatik yang ada untuk merintis penyelesaian damai.

Diharapkan, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dan berkesan sebagai pendamai di peringkat serantau dan antarabangsa, meskipun selepas menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Filipina, tahun depan.

Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Masniza Awang Kechik.

MAT YUNUS BIN SABRI