fb fb fb fb fb

Bantuan khas MADANI beri manfaat besar kepada yang memerlukan

Foto RTM

ULASAN BERITA

Rabu lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman mengenai bantuan, khas buat rakyat Malaysia. Beliau menyifatkan ia sebagai 'hadiah' atas kesabaran orang ramai berdepan tekanan susulan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Bukan mudah untuk membuat keputusan melibatkan peruntukan berbilion ringgit, tambahan dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini. Pun begitu, ada juga cakap-cakap di belakang yang memperlekehkan usaha kerajaan tersebut.

Kata mereka apalah sangat dengan bantuan sebanyak seratus ringgit seorang itu, sekali berbelanja hangus begitu sahaja. Iya.. bagi golongan yang bernasib baik, seratus ringgit tidaklah berapa, namun bagi mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, ia merupakan seribu rahmat.

Pelbagai barangan dapur asas dapat dibeli, jika tidak mewah sekali pun, cukup dapat mengisi perut seminggu dua. Seratus ringgit bukan untuk sebuah keluarga, tetapi setiap individu, termasuk pasangan dan anak-anak mereka yang telah berusia 18 tahun ke atas.

Oleh demikian, adalah tidak wajar memperlekehkan usaha kerajaan tersebut, kerana pemberian bantuan itu juga merupakan tambahan bagi penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebelum ini. Bantuan secara 'one-off' bernilai RM2 bilion itu dapat dimanfaatkan oleh 22 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas.

Bagi mengimbangi bantuan tersebut, kerajaan turut memperbanyakkan jualan Rahmah Madani dengan peruntukan digandakan kepada RM600 juta. Termasuk, meningkatan kekerapan jualan, penambahan lokasi dan mempelbagaikan barangan.

Usaha tersebut tidaklah sepenuhnya meredakan peningkatan kos sara hidup ketika ini, kerana rakyat ditekan dari pelbagai sudut kehidupan. Kerajaan amat menyedari keadaan itu dan dalam memastikan poket rakyat tidak terus bocor, pelbagai bantuan lain turut diberikan.

Pengumuman pelarasan subsidi RON95, yang harganya diturunkan kepada RM1. 99 sen seliter contohnya, turut melegakan banyak pihak, terutama golongan yang memerlukan. Datuk Seri Anwar berkata, perincian pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan diumumkan selewat-lewatnya akhir September 2025.

Pendekatan bersasar itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 18 juta pengguna, merangkumi pemandu kereta, penunggang motosikal, belia seawal usia 16 tahun dan pekerja ekonomi Gig. Jelas beliau lagi, pendekatan tersebut sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi.

Bagi tahun 2023 dan 2024, hampir RM20 bilion setahun telah dibelanjakan oleh kerajaan bagi menampung subsidi RON95. Walaupun harga minyak mentah dunia menurun, harga sebenar petrol RON95 tanpa subsidi kekal RM2.50 sen seliter, jauh lebih tinggi berbanding harga yang dinikmati rakyat ketika ini.

Kesan berantai susulan penurunan bahan bakar tersebut pasti akan dirasai segenap lapisan rakyat, tanpa mengira status mereka. Kerajaan Madani yang diteraju Perdana Menteri sedang berusaha sehabis baik untuk menampung semula kebocoran poket rakyat ketika ini.

Bukan mudah untuk berbuat demikian, tatkala negara ketika ini sedang berdepan pelbagai tekanan ekonomi global. Perang perdagangan antara negara-negara besar dunia turut menjejaskan ekonomi Malaysia yang baharu bertatih-tatih kembali untuk berkembang.

Tarif dikenakan Amerika Syarikat yang akan berkuat kuasa beberapa hari sahaja lagi juga akan memberi impak kepada ekonomi negara. Itu belum lagi kesan domino akibat pergolakkan dan konflik berdarah di Asia Barat, walaupun ia kelihatan agak mereda ketika ini.

Tidak cukup bantuan tunai dan pengurangan harga bahan bakar, kerajaan juga mengekalkan kadar tol, selain menstrukturkan semula tarif elektrik. 85 peratus pengguna akan menikmati pengurangan bil elektrik sehingga 14 peratus.

Benar, ramai dalam kalangan rakyat hari ini mahukan perubahan ekonomi yang lebih signifikan dari kerajaan, bukan yang bersifat sementara. Usaha itu sedang dilaksanakan dan memerlukan masa, hasilnya tidak berlaku hanya dalam sehari semalam.

Dalam banyak-banyak bantuan, Perdana Menteri turut mengumumkan hari pelepasan am tambahan sempena Sambutan Hari Malaysia. Ia sebagai penghargaan kepada semangat perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.

Sungguh, segala bantuan tersebut bukanlah penyelesaian tuntas kepada masalah ekonomi yang dihadapi rakyat ketika ini, namun ia sedikit sebanyak memberi nafas kepada golongan yang amat memerlukan.

Bak kata pepatah, 'kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Terima kasih Perdana Menteri, jika ada bagilah lagi.'

Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Ashriq Fahmy Ahmad.

MAT YUNUS BIN SABRI