ULASAN BERITA
Malaysia berdiri megah sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan unik dan tersendiri.
Gabungan harmoni antara cabang eksekutif, legislatif dan monarki berperlembagaan masing-masing memainkan peranan tersendiri dalam memastikan kestabilan dan keberkesanan tadbir urus negara.
Sistem ini bukan sekadar cerminan sejarah dan budaya, tetapi satu bentuk keseimbangan kuasa yang menjadi tulang belakang kejayaan dan kemakmuran negara.
Tiga kerangka pemerintahan ini seimbang dan berfungsi saling melengkapi, bukannya saling mendominasi.
Ini menjadikan Malaysia antara negara di dunia yang berjaya mengadun elemen demokrasi moden dan warisan tradisional dalam sebuah sistem yang tersusun dan stabil.
Ketiadaan satu kuasa mutlak menjadikan pemerintahan negara kebal daripada sebarang kecenderungan autoritarian serta membuka ruang semak dan imbang yang sihat.
Justeru, setiap dasar yang digubal, keputusan yang diambil dan arah pembangunan yang dirangka akan melalui saringan pelbagai institusi demi menjamin kepentingan rakyat.
Ahli falsafah politik terkemuka Perancis, Montesquieu berkata: 'Untuk mencegah penyalahgunaan, kuasa mesti diimbangi dan diawasi oleh kuasa.'
Malaysia bukan sahaja memahami prinsip itu, malah mempraktikkannya dengan bijaksana bersesuaian dengan realiti sosiopolitik negara.
Malah, membolehkan keputusan strategik dibuat dengan cekap tanpa mengorbankan prinsip keadilan dan kesaksamaan.
Keunikan ini juga bukan simbolik, malah menjadi pemacu utama kejayaan pelbagai dasar kebangsaan seperti Dasar Ekonomi Baru, Transformasi Nasional 2050 hingga kepada rangka pembangunan MADANI.
Implikasi sistem mengangkat ekonomi negara yang berdaya saing, kestabilan sosial dan perpaduan kaum.
Ya...mungkin tidak sempurna sepenuhnya, namun sistem pemerintahan ini antara yang paling realistik dan berkesan bagi sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya.
Malangnya, dalam kebangkitan semula negara ke arah progresif di bawah kepimpinan semasa, wujud segelintir kelompok yang galak meniupkan naratif wujud campur tangan kerajaan dalam institusi kehakiman.
Kononnya, ada tangan-tangan ghaib menyusun bidak dalam gelanggang undang-undang.
Ironinya, mereka yang memekik tentang ketelusan itu sendiri pernah membisu seribu bahasa ketika sistem dipergunakan untuk melindungi kepentingan kelompok tertentu.
Apabila undang-undang berjalan atas landasan, mereka menjerit 'campur tangan!' tetapi ketika sistem dimanipulasi, mereka bersorak berkata ia 'bijak strategi!'.
Dalam hiruk pikuk retorik itu, kerajaan MADANI memilih menjadi pokok berakar kepada undang-undang dan bukannya daun yang mudah 'goyang' ditiup angin politik.
Kerajaan lebih selesa memilih untuk mencipta kestabilan berbanding sibuk berlawan naratif 'tangan ghaib' dan sebagainya.
Sikap tegas kerajaan memberi ruang kepada institusi terus berperanan, membuktikan prinsip bukan propaganda dan tidak mengeksploitasi keadaan demi kepentingan persepsi.
Langkah MADANI ini berjaya mematikan manipulasi sentimen.
Kebijakan itu menyerlahkan kehebatan sistem pemerintahan sedia ada sebagai model yang seimbang, pragmatik dan terbukti berkesan ketika dunia semakin kompleks dan terpolarisasi.
Bukan sahaja mengekalkan kestabilan politik, malah memperkukuh kepercayaan rakyat dan komuniti antarabangsa terhadap keutuhan negara ini.
Kesimpulannya, gabungan unik antara monarki berperlembagaan, demokrasi berparlimen dan tadbir urus eksekutif adalah formula kejayaan Malaysia, bukannya kelemahan.
Ia tidak sekadar struktur pentadbiran, tetapi lambang kematangan bangsa.
Biarlah mereka terus berselindung di sebalik tuduhan dangkal kerana Malaysia akan terus mara, dipimpin oleh sistem yang seimbang, berpaksikan rakyat dan menjunjung undang-undang.
Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Khairul Amri Yasin