fb fb fb fb fb

RMK13 strategi ampuh hadapi gelora geopolitik global

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 di Parlimen pada 31 Julai 2025/Foto FB Anwar Ibrahim

ULASAN BERITA

Saat dunia dicengkam masalah ekonomi dan geopolitik, ikhtiar segera diperlukan agar negara dapat bersedia daripada segala sudut. Justeru, pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menjadi hitungan baharu kerajaan melalui perencanaan utuh dan tuntas dalam mengolah serta menterjemah cita-cita besar Ekonomi MADANI.

Rancangan untuk tempoh lima tahun hingga 2030 yang bertemakan 'Melakar Semula Pembangunan' itu adalah kesinambungan daripada aspirasi Ekonomi MADANI untuk menaikkan darjat rakyat dan menstruktur semula ekonomi negara.

Ia akan menjadi cahaya untuk menerangi negara saat dihimpit dengan perubahan landskap ekonomi dan geopolitik global, peningkatan kos sara hidup dan seumpamanya.

RMK13 mempunyai tiga teras utama, iaitu Memperkukuh Tatakelola Baik, Menaikkan Siling dan Menaikkan Lantai.

Terdapat juga sembilan tumpuan yang disusun mengikut tiga teras Ekonomi MADANI menerusi matlamat untuk mengangkat darjat dan martabat negara dengan meningkatkan kualiti hidup rakyat termasuk menstruktur semula ekonomi dan meningkatkan daya saing negara ke arah menjadikan Malaysia peneraju ekonomi Asia Tenggara.

Bagi menjayakan RMK13, pelaburan sebanyak RM611 bilion diperlukan. Daripada jumlah itu, peruntukan pembangunan daripada kerajaan dianggar berjumlah RM430 bilion, manakala pembiayaan daripada GLC dan GLIC berjumlah RM120 bilion.

Dalam erti kata lain, GLC dan GLIC turut mengambil bahagian menjayakan RMK13 dan tidak hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan RMK13 bukan rencana biasa, tetapi merupakan usaha dan upaya kerajaan dalam mencakupi hasrat rakyat yang dipasak pada iktikad Maqasid Syariah.

Sebab itu menaikkan lantai kehidupan rakyat yang memenuhi hak manusiawi antara perkara yang diberi tumpuan. Namun untuk memenuhi harapan tersebut pula, ia perlu bermula daripada sistem sosial dan tatakelola yang baik.

RMK13 jelas sekali sudah diadun dengan ramuan khusus bagi memastikannya seimbang antara kemajuan, sistem sosial dan taraf hidup rakyat, Hakikatnya, sebelum RMK13 dibentangkan, Kerajaan Madani sebenarnya telah menyediakan tapak.

Antaranya dengan penetapan gaji minimum RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Ogos lalu. Inisiatif lain menaikkan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Bercakap mengenai SARA, bantuan itu bukan sahaja diperluas kepada 5.4 juta penerima, malah 100 ringgit juga diberi secara sekali beri kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dalam pengumuman khas Perdana Menteri.

Ada yang bertanya, kenapa orang kaya juga dapat? Bantuan itu sebenarnya adalah penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang layak sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.

Formulanya mudah sahaja. Jika anda kaya, jangan dibelanjakan pemberian itu sehingga tarikh luput 31 Disember 2025. Jumlah bantuan yang tidak dibelanjakan kemudiannya akan digunakan kembali untuk membantu golongan rentan pada tahun hadapan.

Bantuan tunai semata-mata sebenarnya tidak boleh merubah rakyat secara jangka masa panjang. Itu realiti.

Menurut buku 'Character is Destiny' karya John McCain dan Mark Salter, negara tidak akan maju dengan hanya teknologi atau wang, tetapi maju apabila rakyatnya berwatak mulia. Oleh sebab itu, keupayaan rakyat perlu dinaik taraf agar boleh berdiri dengan kudrat sendiri.

Bak kata pepatah 'Jangan beri ikan, tapi berilah pancing'. Tetapi dalam RMK13, ikan diberi, pancing juga diberi. Contoh paling ketara ialah fokus kerajaan dalam melipatgandakan usaha mempromosi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

TVET kini akan diperluas akses dan penyertaannya dengan memberi lebih banyak peluang kepada belia, golongan B40 dan penduduk luar bandar. Penekanan turut diberikan kepada pelajar yang tidak cemerlang akademik tetapi berbakat dalam kemahiran teknikal.

Setakat ini, usaha kerajaan memajukan TVET tidak sia-sia. Ini apabila lebih 140,000 permohonan diterima pelbagai institusi untuk pengambilan sesi Julai 2025. Kadar kebolehpasaran graduan TVET secara purata pula mencecah 94.5 peratus. Kebanyakkan daripada mereka memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pelajaran.

Keutamaan lain yang difokuskan ialah dalam sektor kesihatan. Sektor itu akan menerima peruntukan sebanyak RM40 bilion dalam tempoh RMK13. Lebih banyak projek pembinaan serta naik taraf hospital dan klinik kerajaan termasuk yang daif akan dilaksanakan.

Lebih penting, keluh kesah rakyat yang seharian menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan juga dapat diselesaikan. Ini kerana dalam RMK13, kerajaan akan menambah jawatan tetap dan kontrak baharu untuk doktor, jururawat dan pegawai kesihatan lain.

Hospital juga akan menggunakan rekod kesihatan digital untuk kongsi maklumat antara hospital dan klinik dengan lebih cepat. Penggunaan sistem Kecerdasan Buatan (AI) akan turut digunakan bagi membantu mendiagnosis pesakit dan menyusun janji temu.

Bercakap tentang AI, dalam RMK13 kerajaan menyasar menjadi Hab AI serantau menjelang 2030. Pendek kata, AI dalam RMK13 bukan sekadar teknologi, tetapi satu pendekatan transformatif untuk kerajaan, pendidikan, ekonomi dan masyarakat.

Secara keseluruhan, RMK13 bukan sekadar pelan pembangunan fizikal atau ekonomi semata-mata. Ia merupakan dokumen strategik yang menzahirkan harapan dan tekad kerajaan untuk memastikan tiada rakyat yang tertinggal.

Dengan pelaksanaan yang berkesan, RMK13 mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan sebuah negara maju yang benar-benar berteraskan rakyat.

Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Jalaluddin Baharin

MAT YUNUS BIN SABRI