fb fb fb fb fb

RUU mengimbangi keperluan, selaras perkembangan semasa

Foto hiasan

ULASAN BERITA

Di sebalik kelulusan Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 dan RUU BERNAMA (Pindaan) 2024 pada Rabu lalu di Dewan Rakyat; sedar atau tidak banyak RUU turut digubal dan dibentangkan pada persidangan kali ini di bawah pentadbiran kerajaan MADANI -- dengan matlamat mengimbangi mana-mana keperluan selaras perkembangan semasa. Antaranya termasuklah RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang akan diperincikan dalam ulasan kali ini.

Sebelum itu, kita sentuh sedikit tentang RUU MMM, yang digambarkan sebagai satu kemenangan besar buat Industri Media Malaysia. Manakan tidak, ia melakar sejarah baharu selepas 50 tahun penubuhan Majlis itu dibincangkan dengan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen selepas dibahas oleh 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. RUU itu antara lain bertujuan menjamin kebebasan media bagi memastikan masyarakat mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.

Berbalik kepada RUU PSB ...

Ya, satu reformasi memastikan urus tadbir pembaharuan semula bandar secara lebih cekap serta berkesan, telus dan berintegrasi ke arah membugar kualiti hidup rakyat di bandar.

Sekali gus menepati Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Malaysia MADANI dengan persekitaran bandar yang berdaya tahan, inklusif, dan mampan.

Dalam sidang Parlimen pada SELASA lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu menegaskan, penggubalan RUU PSB bukan agenda baharu di bawah Kerajaan MADANI.

Malah, sudah mula dirangka lebih 10 tahun lalu. Garis panduan mengenainya sudah pun dikemukakan pada 2012, diusulkan pula pada 2013 dan seterusnya proses penggubalan digerakkan pada 2015.

Pada masa sama, kata beliau komitmen bagi melaksanakan pembaharuan di bawah RUU itu turut dinyatakan beberapa Menteri, termasuk yang kini berada di blok pembangkang.

Dan sebanyak 74 kali sesi libat urus telah diadakan dan mengambil kira masalah yang dihadapi rakyat.

Sememangnya, komitmen kerajaan atas cadangan RUU PSB terarah kepada usaha memastikan tiada sesiapa pemilik tanpa kira kaum, diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan.

Bermaksud -- penggubalannya tidak akan mengetepikan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, serta prinsip perundangan sedia ada.

Berserta jaminan, RUU itu tidak akan memindahkan pemilik asal hartanah, selain komposisi etnik dan status tanah sedia ada -- sama ada rizab Melayu, milik kerajaan atau tetap.

Datuk Seri Anwar turut menjelaskan, bahawa RUU PSB merupakan pendekatan penting dalam mereplikasi atau meremajakan pembangunan di bandar-bandar matang.

Tidak sekadar memastikan perancangan bandar akan datang lebih teratur, seterusnya tidak meminggirkan penduduk asal. Malah, kerajaan akan memastikan setiap pemilik asal hartanah memahami hak dan perlindungan yang diberikan.

Menerusi cadangan RUU PSB -- penelitian juga diberi terhadap keperluan 'nilai ambang persetujuan', iaitu antara 51 hingga 80 peratus daripada pemilik hartanah. Perkara tersebut perlu bagi memudahkan proses pembaharuan semula.

Bagi projek kurang 30 tahun, nilai ambangnya diturunkan kepada 86 peratus pemilik rumah bersetuju dan projek boleh dilaksanakan. Manakala untuk bangunan melebihi 30 tahun, ia memerlukan persetujuan 75 peratus. Dan majoriti mudah 51 peratus diperlukan bagi yang terbengkalai atau terbiar.

Langkah itu penting agar persetujuan pemilik hartanah dilakukan melalui perundingan dan bukan pengambilan secara paksa. Selain turut memastikan pemaju tidak menjalankan rundingan dengan pemilik hartanah tanpa campur tangan kerajaan.

Dalam hal ini, Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa, Datuk Dr Alias Rameli ada menyatakan, kekurangan tanah kosong di bandar utama seperti Kuala Lumpur menyebabkan pembangunan baharu terpaksa beralih ke pinggir bandar seperti Nilai, Kajang hingga ke Seremban.

Keadaan itu menyebabkan pertumbuhan bandar tidak terkawal dan menjadi punca peningkatan penggunaan kenderaan persendirian, pelepasan karbon serta memberi kesan kepada kualiti kehidupan penduduk di kawasan terbabit.

Sehubungan itu, RUU PSB akan bertindak sebagai pemudah cara dalam membangunkan semula kawasan bandar sedia ada supaya lebih selesa untuk didiami dan membolehkan penduduk bekerja serta menggunakan pengangkutan awam dengan lebih mudah.

Jika dilihat, konsep pembaharuan semula bandar bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia diterapkan di banyak negara termasuk Korea Selatan, China dan Poland, yang telah pun melaksanakan akta berkaitan.

Menyaksikan penetapan kriteria kawasan adalah berdasarkan keadaan fizikal, infrastruktur, utiliti, sosial dan pengurusan hartanah komuniti ... yang memberi kesan kepada kemerosotan kualiti hidup, ekonomi dan persekitaran yang tidak lagi kondusif atau mendatangkan bahaya.

Apa yang pasti, pembangunan semula bandar bukan bertujuan menyusahkan pemilik tanah sedia ada sewenang-wenangnya. Tetapi untuk meningkatkan nilai hartanah mereka serta menyediakan persekitaran lebih baik dengan kemudahan moden yang lebih efisien.

Dan sudah tentu, meningkatkan kecekapan perancangan bandar -- khususnya dalam Menangani risiko keusangan dan kemerosotan bandar yang tidak dapat dielakkan.

Ulasan berita ini disediakan oleh Eza Yusmawati Yaacop, Editor Berita Radio RTM.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI