ULASAN BERITA
Bermula 1 Mac lalu, bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) bersubsidi berharga RM26 bagi pek 10 kilogram mula diedarkan di pasaran. Sasarannya kepada 400,000 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin, termasuk 77,000 KIR miskin tegar.
Tapi, mungkin ada yang tertanya-tanya, bila lah nak sampai ke kedai? Tak nampak pun? Jangan risau… Bekalan itu ada… cuma ia mengambil sedikit masa untuk sampai di sesetengah kawasan. Terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Banyak faktor perlu diambil kira. Antaranya, logistik dan tenaga kerja, selain disebabkan faktor pengurusan perniagaan. Contohnya, apabila pemborong atau peruncit perlu kira stok terlebih dahulu sebelum nak edar bekalan.
Isnin lepas, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Badrul Hisham Mohd beri jaminan, bekalan akan diedarkan sepenuhnya minggu ini. Tambahnya, proses pengedaran daripada kilang, pemborong hingga ke peruncit sedang berjalan.
Datuk Badrul turut memaklumkan, 20,000 kampit BPT bersubsidi mula dijual pada 28 Februari lalu menerusi Program Jualan Agro Madani di Kedah. Ia merupakan kumpulan pertama BPT bersubsidi berada dalam pasaran sebelum secara rasminya pada 1 Mac. Sehari selepas itu, Terengganu pula memperoleh bekalan.
Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) negeri, Ahmad Suffian Zulkipeli berkata dua kedai runcit masing-masing telah menerima 50 dan 30 kampit beras mengikut pesanan pembelian yang dibuat.
Diikuti, Perlis. Kira-kira 30 tan metrik B-P-T bersubsidi dihantar ke negeri tersebut. 10 premis termasuk kedai runcit dan pasar raya di negeri itu telah menerima bekalan. Bagi lain-lain negeri, harap bersabar… sabar itu kan separuh daripada iman. Bak kata pepatah, 'takkan lari gunung dikejar'. Lagi pun baru tujuh hari bulan.
Perdana Menteri juga telah beri arahan kepada KPKM untuk segera tingkatkan usaha pulihkan bekalan BPT. RM150 juta turut diperuntuk bagi memastikan bekalan beras itu mencukupi di pasaran. Peruntukan berkenaan digunakan dengan menyasarkan pengeluaran 24 juta kampit mengandungi 10 kilogram beras putih tempatan.
Kerajaan juga berjanji akan mengekalkan harga beras itu pada kadar RM2.60 sen sekilogram. Menteri berkaitan juga telah mengambil tindakan. Semua pemborong utama dipanggil dan diingatkan untuk pastikan bekalan sampai di semua tempat. Tiada yang terkecuali.
Pengagihan dibuat mengikut keperluan setempat. Sama ada kawasan golongan miskin bandar dan luar bandar. Insya-Allah, dalam minggu ini mesti dapat bekalan. Dalam isu kehilangan Beras Putih Tempatan, kerajaan memberi komitmen sepenuhnya untuk menyiasat isu berkenaan dengan memperkenalkan teknologi baharu melalui penggunaan DNA.
Ia bagi mengesan sebarang pencampuran beras tersebut dengan beras putih import. Sebagai langkah berjaga-jaga, pegawai pemantau juga diletakkan di lapangan. Mekanisme kawalan dan penguatkuasaan akan diperkukuh melalui pasukan khas oleh agensi berkaitan. Sekali gus, memantau tindakan pihak yang menyembunyikan beras.
Kepada pengguna, tak perlu dengar khabar angin yang menyatakan bekalan beras tidak cukup. Sehingga berpusu-pusu ke pasaraya semata-mata nak borong beras secara berlebihan. Jangan sampai beras yang disimpan tu nanti rosak, Sebab lama sangat dalam stor, tidak dimasak. Sayang sangat.
Bercakap pula tentang Ramadan, tak sah kalau tak sebut bazar kan. Tempat tumpuan orang ramai untuk membeli juadah berbuka. Dari nasi ayam, nasi lemak sampai nasi beriani... semua mesti ada! Dan tak lengkap lah juadah itu tanpa beras… tapi jangan panik.
KPKM sudah beri jaminan bekalan beras cukup untuk semua rakyat Malaysia. Sekitar empat juta kampit beras pek 10 kilogram tersedia dalam pasaran setiap bulan. Jadi tiada alasan bekalan tidak mencukupi, terutama semasa kita sibuk membuat persiapan Ramadan.
Mana-mana yang teringin nak makan nasi lemak ayam goreng berempah tu, hari ni boleh lah ke bazar… atau kalau nak jimat, masak di rumah. makan ramai-ramai. Tapi nak ingatkan juga peniaga di Bazar… harga makanan tu jangan lah “cekik darah”... berpada-pada lah.
Jadi rakyat Malaysia… terus sokong usaha kerajaan dalam memastikan bekalan makanan seperti beras sentiasa cukup. Semoga beras sentiasa ada di meja makan kita..!! Salam Ramadan, semoga kita semua diberkati sepanjang bulan mulia ini.
Ulasan berita ini disediakan oleh Siti Noorain Abdullah, Editor Berita Radio RTM.