ULASAN BERITA
Bulat Air Kerana Pembetung,
Bulat Manusia Kerana Muafakat,
Serumpun Bak Serai,
Sesusun Bak Sirih.
Peribahasa ini semuanya berkaitan peri pentingnya perpaduan, tidak kira agama, kaum dan warna kulit. Perpaduan penting dalam pembangunan sebuah negara sama ada negara maju, membangun atau mundur. Ia adalah kunci untuk mencapai keharmonian dan kemakmuran dalam sesebuah masyarakat.
Tanpa perpaduan, maka hancurlah negara akibat konflik dan pertumpahan darah yang tiada kesudahan. Seperti peristiwa 13 Mei 1969. Ia merupakan tragedi rusuhan kaum dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia.
Dalam sejarah tamadun manusia, terdapat negara hebat, gagah dan bertamadun hancur. Lihat saja empayar Uthmaniyah dan Abbasiyah yang jatuh akibat perpecahan dalaman. Kebelakangan ini, perpaduan dalam negara kita teruji lagi. Berkenaan apa? anda sendiri pun sudah tahu.
Isu menjadi semakin besar apabila disensasi dan terus disensasikan dalam pelbagai platform terutama media sosial. Netizen yang tidak tahu apa-apa juga masuk gelanggang untuk memarakkan lagi pertelingkahan, dan pemimpin politik pun jangan ambil kesempatan. Menambah rempah dan rencah untuk menegangkan lagi keadaan.
Sambutlah titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu pemimpin khususnya ahli politik menjadi jambatan perpaduan menyatukan rakyat. Bukannya pencetus api membakar hubungan harmoni yang sekian lama terjalin.
Baginda bertitah, sejarah membuktikan pertelingkahan kaum dan agama, jika tidak dibendung dengan bijaksana, mampu membawa kepada malapetaka. Oleh itu, berdialoglah, guna akal dan hati, bukannya bermonolog guna nista dan benci.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula secara tegas mengakui keharmonian dalam negara boleh tergugat jika menyentuh isu 3R. Seluruh rakyat seharusnya mendakap kemas prinsip Rukun Negara selaku asas perpaduan yang harus dihayati dan diamalkan.
Rakyat juga diajak menjadi ejen perpaduan untuk membantu Kerajaan MADANI menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang. Menjadi ejen perpaduan menuntut kita berhenti menjadi batu api membakar sebarang isu. Sebaliknya menjadi pendamai yang menjernihkan ketegangan.
Dalam usaha menangani permasalahan ini, Kementerian Komunikasi telah menubuhkan Task Force Menangani Berita Palsu dan 3R. Dari tahun 2022 hingga 1 Mac 2025 lebih 10,000 akaun palsu, termasuk 130 kandungan berunsur fitnah dalam media sosial telah diturunkan penyedia perkhidmatan.
Berkait isu 3R, hampir 7,000 kandungan jelik telah dikenakan tindakan penurunan. 196 kes disiasat dengan sembilan daripadanya didakwa Jabatan Peguam Negara. Data yang didedahkan ini menunjukkan betapa gejala fitnah, menyebarkan berita palsu dan jelik dalam negara agak serius, terutama dalam media sosial.
Ingatlah, mana-mana individu boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan, serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Usaha telah banyak dilakukan. Malah turut membabitkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) seperti Chatbot Sebenarnya.my yang membantu pengguna menyemak kesahihan fakta.
Pelbagai kempen juga telah dilaksanakan dari dulu sampai sekarang. Antaranya menerusi inisiatif Kempen Cakap Baik-Baik, Kementerian Perpaduan Negara (KPN). Kempen yang menggalakkan setiap individu untuk berkomunikasi dengan penuh rasa hormat, berbudi bahasa serta mengelakkan kata-kata negatif, hinaan atau provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan sosial.
Tahun ini, KPN memilih tema ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’ dan Konsep Negara Bangsa sebagai fokus utama. Ia sebagai usaha mencapai kesatuan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang etnik.
Konsep Negara Bangsa adalah bagi membentuk masyarakat bersatu padu, menghormati perbezaan dan berkongsi identiti sebagai rakyat Malaysia. Oleh itu, marilah kita bersama-sama pastikan usaha ini mencapai matlamatnya.
Ingin ditekankan, bahawanya pucuk pangkal segala isu bermula daripada diri kita sendiri. Kita sendiri perlu ada kesedaran. Sebab itu manusia dikurniakan akal untuk menilai mana baik dan buruk.
Pada bulan Ramadan yang mulia ini, kita seharusnya bermuhasabah. Tambahkan amal, bukan dosa kering. Ingatlah, perpaduan bukan hanya mengenai hidup bersama, tetapi juga tentang hidup dalam keharmonian, saling memahami dan menghormati.
Ulasan berita ini disediakan oleh Jalaluddin Baharin, editor Berita Radio RTM.