fb fb fb fb fb

Pelaburan bukan 'bailout': Cakna strategi pelaburan strategik kerajaan

Foto hiasan/Fail RTM

ULASAN BERITA

"Perniagaan yang bijak bukan hanya tentang mendapatkan keuntungan, tetapi mencipta nilai dan memberi manfaat kepada orang lain."

Demikian ungkapan Kahlil Gibran, seorang pemikir berasal dari Lubnan berhubung impak positif yang boleh diberi kepada masyarakat dan negara melalui pelaburan.

Sejurus kerajaan mengumumkan suntikan dana berjumlah RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Sdn. Bhd. (SEB), dalam bentuk langganan saham pinjaman boleh tebus, boleh tukar (RCLS), polemik berkaitannya terus berputar.

Yang jelas, ia bukan usaha menyelamatkan atau 'bailout' syarikat besar yang hampir 'bungkus' ; tetapi suatu pelaburan strategik.

Praktik ini bukanlah sesuatu yang baharu tetapi digunakan oleh kebanyakan kerajaan di peringkat global, bagi memastikan kelangsungan ekosistem sesuatu bidang kritikal yang menyumbang kepada ekonomi sesebuah negara.

Berkait halnya dengan isu SEB, ia perlu dilihat melalui sudut pandang yang positif dengan justifikasi sosial, selari hasrat Kerajaan MADANI yang mahu memperbetul tatakelola dan peraturan, yang sebelum ini kerap dieksploitasi pihak tertentu yang tidak adil.

Istilah 'bailout' bukanlah istilah yang sesuai untuk digunakan; bahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang sekeras-kerasnya, dan dengan tegas menolak berbuat demikian, lebih-lebih lagi apabila melibatkan dana awam.

Beberapa syarat khas turut digariskan, antaranya menukar pengurusan kanan SEB, supaya dana yang diberi nanti benar-benar dapat dioptimumkan, dan agar tidak berlaku ketirisan kepada pihak-pihak tertentu, yang mungkin mengambil kesempatan menjadikannya sebagai pelan jalan keluar.

Kerajaan turut menjalankan audit forensik bagi mengenal pasti masalah sebenar dihadapi SEB, termasuk melihat potensi jangka panjang sebelum membuat keputusan. Yang pasti ia bukan dibuat secara semberono, yang boleh mengakibatkan dana hangus atau kerugian luar jangka kelak.

Hasilnya, saham SEB meningkat ke paras tertinggi dalam lebih tiga bulan, sejurus suntikan dana itu diumumkan kerajaan. Sapura Energy Sdn. Bhd. bukanlah syarikat yang menunggu masa untuk gulung tikar.

Dari segi perniagaan sehingga Februari 2025, syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu itu mencatatkan pesanan kumpulan bernilai RM8.7 bilion, manakala usaha sama syarikat memperoleh pesanan tambahan sebanyak RM5.7 bilion.

Peningkatan ini sebahagian besar disumbangkan oleh kontrak baharu bernilai RM3.2 bilion, termasuk perkhidmatan pelantar penggerudian, projek kejuruteraan serta pembinaan di pelbagai rantau.

Ini menunjukkan peningkatan ketara serta cerminan keyakinan pelanggan terhadap keupayaannya, bagi menyediakan penyelesaian berimpak tinggi dan komitmen operasi dengan tawaran spektrum penuh perkhidmatan.

Keupayaan membida projek turut mengukuh, sekali gus memberi sinar dihujung jalan kepada SEB untuk mengatur semula kewangan menuju lebih mampan.

Meski tidak terlepas dengan kegagalan menguruskan hutangnya sehingga memaksa kerajaan campur tangan; hakikat bahawa SEB adalah satu-satunya syarikat perkhidmatan dari Malaysia yang masih mempunyai aset-aset besar, pekerja mahir serta akaun kedua terbesar di dunia dan pertama di Asia; tidak boleh dinafikan.

Oleh itu pelaburan strategik ini sangat signifikan, bagi mengelakkan kesan domino terhadap industri minyak dan gas negara. Untuk rekod 2,000 vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) minyak dan gas tempatan, bergantung kepada SEB untuk menerobos aktiviti dan pasaran di rantau luar.

Ini tidak termasuk 80% pekerja berkemahiran tinggi lulusan TVET yang dilatih SEB, yang mungkin hilang pekerjaaan jika sesuatu tidak dilakukan. Yang berlaku ketika ini bukanlah 'fiasco' atau kegagalan total akibat salah urus niaga. Ia wujud akibat beberapa faktor dalam perniagaan yang penuh ruang, peluang dan juga risiko terutama sektor yang bernilai jutaan ringgit.

SEB sebagai aset strategik negara turut mengalami turun naiknya, namun tidak boleh dinafikan ia turut menyumbang kepada ekonomi negara sejak ditubuhkan. Ia kini hanya perlu dipulihkan, agar dapat kembali kepada landasan asal mencipta keuntungan dan memberi peluang pekerjaan yang lebih luas.

Oleh yang demikian, langkah mitigasi oleh kerajaan ini amat wajar dan perlu difahami semua pihak bagi memastikan kitaran perusahaan terus berjalan dan Malaysia kekal sebagai antara pengeluar minyak dan gas yang kompetetif di dunia.

Ulasan berita ini disediakan oleh Iqwan Samsudin, editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI