ULASAN BERITA
Setiap kali menjelang Aidilfitri, ‘balik kampung’ menjadi agenda utama rakyat Malaysia. Namun, sebelum dapat menikmati ketupat rendang di kampung halaman, ada pelbagai cabaran di depan mata. Dari mengemas rumah dan memastikan keselamatan kediaman, sehinggalah meredah kesesakan luar biasa di lebuh raya.
Sebelum bertolak, dah ambil langkah berjaga-jaga? Jangan lupa manfaatkan Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dengan memuat turun aplikasi milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di telefon bimbit.
Tahun lepas, PDRM mengesahkan, tiada kes pecah rumah dilapor dalam kalangan 6,856 individu yang memaklumkan pergerakan pulang ke kampung melalui aplikasi VSP. Aplikasi berkenaan memudahkan polis merancang rondaan 24 jam.
Namun, sejauh mana masyarakat benar-benar mengamalkan langkah keselamatan ketika pulang beraya? Hakikatnya, masih ramai yang mengambil ringan soal keselamatan rumah semasa bercuti. Sama ada terlalu sibuk atau merasakan kawasan kejiranan mereka cukup selamat.
BIASAKAN amalan keselamatan... Pasang CCTV, sistem penggera atau pintu berkunci automatik sebagai perlindungan tambahan atau maklum kepada jiran terdekat supaya dapat sama-sama memantau keadaan rumah sepanjang ketiadaan.
Jangan sampai balik nanti TV, mesin basuh dan langsir pun "ghaib"...memang pengsan! Tidak habis di situ, cabaran anak perantau bermula di jalan raya. Perjalanan pulang ke kampung bukan sekadar memandu. Ia satu ujian ketahanan mental dan fizikal, lebih-lebih lagi jika sedang berpuasa.
Bayangkan perut berkeroncong, tekak kering, badan makin lesu, tapi masih perlu menempuh kesesakan berjam-jam. R&R? mungkin sesak ketika waktu puncak. Silap-silap, berbuka puasa dalam kereta atau tepi jalan jadi pilihan terakhir.
Sebab itu, PLUS Malaysia Berhad keluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) di Lebuhraya Utara Selatan, dan TTA bagi Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa satu oleh pihak AFA Prime.
Bukan sekadar saranan, tapi strategi bijak untuk elak ‘terperangkap’ dalam lautan kenderaan, lebih-lebih lagi waktu hampir berbuka. Tapi, berapa ramai yang benar-benar ikut?
Menurut PLUS, pematuhan kepada TTA dapat mengurangkan kesesakan sehingga 30 peratus - kurang stres, lebih selesa! Apa pun..dalam kesulitan yang dialami, kerajaan MADANI terus prihatin.
Seperti tradisi setiap tahun, ‘diskaun raya’ tetap ada! Potongan tol 50 peratus ditawarkan di lebuh raya terpilih, meringankan beban perjalanan perantau.
Selain itu, kempen keselamatan jalan raya juga giat dijalankan. Setiap tahun Op Selamat dilaksana supaya pengguna jalan raya ingat kepentingan pemanduan berhemah dan pematuhan had laju.
Sikap terburu-buru dan kurang sabar sering menjadi punca kemalangan. Perjalanan pulang yang sepatutnya menggembirakan bertukar menjadi tragedi.
Ada yang meragui keberkesanan kempen tersebut. Namun, hakikatnya, segala usaha tidak akan bermakna jika pemandu sendiri gagal berdisiplin.
Undang-undang boleh diperketat, penguatkuasaan boleh diperhebat. Sekurang-kurangnya, impak positif mula terlihat. Berdasarkan statistik PDRM bagi Ops Selamat bersempena Tahun Baharu Cina 2025, jumlah kemalangan jalan raya menurun sebanyak 10 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ini membuktikan, dengan kesedaran, kerjasama, dan pematuhan yang lebih baik, keselamatan jalan raya dapat ditingkatkan. Seterusnya mengurangkan risiko tragedi setiap kali musim perayaan.
Ironinya, jika pemandu semakin berhemah di jalan raya, mengapa masih ada yang alpa dalam menjaga kebersihan? Sampah bersepah tepi jalan, kawasan R&R penuh bungkusan makanan dan botol plastik. Lampin bayi pun ada!.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pernah berkata, denda sehingga seribu ringgit buang sampah di tempat awam semata-mata tidak mencukupi. Pesalah bayar, kemudian ulangi kesalahan. Oleh itu hukuman khidmat masyarakat menanti mereka yang ingkar.
Merasalah cuci longkang, menyapu sampah atau sental tandas awam. Ingat, kebersihan itu cerminan sikap... jangan biar tabiat buruk itu menjadi ‘warisan’ raya kita! Walau pelbagai rintangan, nikmat Aidilfitri bersama keluarga tiada tandingan.
Ada yang rela menempuh perjalanan panjang, ada juga yang memilih untuk kekal di kota. Apa pun pilihan, kemeriahan Syawal tetap dirasa. Bagi yang memandu pulang ke kampung, utamakan keselamatan dan hormati sesama pengguna jalan raya.
Raikan Aidilfitri dengan penuh tanggungjawab. Semoga Syawal ini membawa kebahagiaan, keberkatan, dan rezeki melimpah buat kita semua.
Ulasan berita ini disediakan oleh Nur Sharida Shahabuddin, editor Berita Radio RTM.