SAUDARA PENGARANG
Maqasid Syariah merujuk kepada matlamat yang ingin dicapai melalui pelaksanaan hukum-hukum dalam syariah Islam. Lima matlamat utama Maqasid Syariah terdiri daripada memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara keturunan dan memelihara harta. Konsep ini bukan sahaja meliputi aspek ritual, tetapi juga untuk mencapai kesejahteraan hidup individu dan masyarakat dalam semua dimensi meliputi kehidupan dunia dan akhirat.
Kemenjadian Pelajar berkait dengan proses pembentukan pelajar yang holistik, yang melibatkan perkembangan intelektual, emosi, sosial dan spiritual. Kemenjadian Pelajar bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi juga kemampuan untuk menjadi individu yang seimbang, bertanggungjawab dan berakhlak mulia.
Di peringkat pendidikan, kemenjadian ini perlu dilihat sebagai satu usaha berterusan untuk membentuk insan yang memiliki pengetahuan, kemahiran, serta nilai moral yang kukuh, yang seterusnya memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.
Hubungan antara Maqasid Syariah dan Kemenjadian Pelajar, adalah penting dalam memastikan pendidikan yang diterima oleh pelajar selaras dengan prinsip-prinsip Islam, serta memupuk nilai-nilai yang dapat membentuk individu yang seimbang dari segi dunia dan akhirat.
Pendidikan merupakan alat yang penting dalam mencapai matlamat maqasid syariah, khususnya dalam memelihara akal. Melalui pendidikan, pelajar diajar untuk berfikir secara kritis dan rasional, serta dapat mengaplikasikan ilmu pengetahuan dalam kehidupan seharian. Proses pembelajaran yang holistik bukan sahaja mengutamakan aspek akademik, tetapi turut memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah dan kemahiran sosial yang menyokong kesejahteraan individu dalam masyarakat.
Pendidikan yang mengutamakan prinsip Maqasid Syariah akan membentuk pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik serta bertanggungjawab dalam menjaga nilai-nilai moral yang diajar dalam Islam. Seperti kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ini menggambarkan kepentingan pendidikan awal yang berteraskan nilai-nilai Maqasid Syariah untuk membentuk pelajar menjadi insan yang cemerlang, berakhlak mulia, dan bermanfaat kepada masyarakat. Pendidikan yang diberikan sejak awal akan menentukan pembentukan jati diri individu dan kesejahteraan masyarakat pada masa depan.
Memelihara agama merupakan aspek penting dalam pembangunan peribadi pelajar. Pendidikan yang berteraskan syariah bukan sahaja mengajarkan ilmu duniawi, tetapi turut memberi penekanan kepada aspek rohani pelajar yang memahami dan menghayati ajaran agama akan lebih mampu menghadapi cabaran hidup dengan penuh kesabaran dan ketenangan, serta menjauhi perkara-perkara yang membahayakan diri, keluarga, dan masyarakat.
Selain itu, aspek memelihara nyawa dalam pendidikan memberi penekanan kepada nilai-nilai keselamatan dan kesejahteraan dalam kehidupan. Dalam konteks pendidikan, ia bermaksud menyediakan pelajar dengan pengetahuan yang memadai untuk menjaga diri mereka dari terjebak dalam situasi yang merugikan, dari segi kesihatan, keselamatan, atau psikologi. Dengan membina daya tahan mental dan fizikal yang kukuh, pelajar akan lebih bersedia menghadapi cabaran hidup.
Akhirnya, pendidikan yang mengamalkan Maqasid Syariah berperanan dalam memelihara keturunan dan maruah diri. Pendidikan yang baik akan melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan mampu memimpin masyarakat ke arah yang lebih baik. Kemenjadian pelajar juga bermakna mencipta individu yang tidak hanya berjaya secara akademik, tetapi juga dalam mengamalkan nilai-nilai moral yang luhur serta menyumbang kepada kesejahteraan umat manusia.
Secara keseluruhannya, Maqasid Syariah dan Kemenjadian Pelajar adalah dua konsep yang saling berkait rapat. Pendidikan yang selari dengan Maqasid Syariah dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan mampu memberi impak positif kepada masyarakat.
Ironinya, impak kepada pendidikan yang berlandaskan Maqasid Syariah, mampu memberi kesan positif kepada kemenjadian pelajar semua bangsa, khususnya di Malaysia, yang terdiri dari pelbagai kaum. Ianya selaras dengan matlamat negara dalam membentuk masyarakat Madani yakni masyarakat yang maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan. (Kamus Dewan Edisi Keempat).
PENULIS, NORLIA ABD RASHID, Pensyarah Jabatan Perdagangan Politeknik Seberang Perai dan SITI HAJAR ARBAIN, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Perisian, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.