SAUDARA PENGARANG
Kerajaan Malaysia memperkenalkan beberapa inisiatif penting dalam Belanjawan 2025 menyasarkan bantuan kepada golongan B40 dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika pembentangan mengumumkan ia, belanjawan terbesar dalam sejarah negara bernilai RM421 bilion. Sebahagian besar peruntukan tertumpu kepada meringankan beban golongan berpendapatan rendah.
Antara pengumuman penting yang akan memberi manfaat kepada golongan B40 termasuklah peningkatan bantuan tunai, kenaikan gaji minimum dan pelbagai pelepasan cukai. Langkah tersebut diambil untuk memastikan rakyat berpendapatan rendah mendapat manfaat langsung daripada belanjawan 2025 sambil membantu mereka menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Bantuan Kewangan
Bagi meringankan beban kewangan rakyat Malaysia yang terkesan akibat inflasi, pandemik, dan cabaran ekonomi semasa, terutamanya keluarga berpendapat rendah kumpulan B40, kerajaan mengumumkan untuk meneruskan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada tahun 2025. Bermakna, mereka berpendapatan bulanan RM2,500 dan ke bawah akan terus mendapat bantuan STR pada tahun 2025 antara RM1,000 hingga RM2,500 tertakluk kepada jumlah anak.
Dalam usaha untuk terus melindungi golongan B40, kerajaan turut mengumumkan penerima STR bakal menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 sebulan. Bantuan itu untuk pembelian makanan, minuman, ubatan, barang persekolahan dan kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara. SARA akan di kreditkan ke MyKad penerima bermula April 2025 selama sembilan bulan.
Jika dicampur kedua-dua bantuan STR dan SARA, penerima akan mendapat antara RM1,900 sehingga RM3,400. Bagi mereka yang berada dalam kategori miskin dan miskin tegar, bantuan tambahan yang bakal diterima adalah RM1,200 menjadikan, ia jumlah bantuan paling tinggi iaitu sebanyak RM4,600. Selain itu, golongan bujang dalam kategori B40 akan menerima RM600 sebulan, sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu menampung kos sara hidup harian mereka.
Bantuan Kanak-Kanak
Bantuan kepada kanak-kanak merupakan salah satu bantuan bulanan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyokong keluarga atau penjaga anak/kanak-kanak, atau untuk membantu anak/kanak-kanak yang kehilangan penjaga. Ini bagi memastikan mereka dapat terus tinggal bersama keluarga, seterusnya dapat menjalani kehidupan tanpa menjejaskan perkembangan dan pertumbuhan mengikut usia mereka.
Tahun hadapan, kadar bantuan ini akan dinaikkan kepada RM250 bagi setiap anak berumur 6 tahun ke bawah, berbanding RM200 sebelumnya. Bagi anak berumur 7 hingga 18 tahun, bantuan dinaikkan kepada RM200 berbanding RM150, dengan had maksimum RM1,000 setiap keluarga.
Bantuan Am Persekutuan
Bantuan Am Persekutuan, satu lagi bentuk bantuan bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); diperkenalkan untuk membantu individu atau keluarga kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan bagi memastikan kelangsungan hidup serta kesejahteraan dalam komuniti.
Sebelum ini, kadar bantuan adalah antara RM100 hingga RM350 setiap bulan. Namun, mulai tahun hadapan, kadar Bantuan Am Persekutuan akan dinaikkan dengan minima RM150 dan maksima RM500 sebulan.
Bantuan Khas Kewangan
Sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan penjawat awam, kerajaan bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah, termasuk mereka yang dilantik secara kontrak. Pada masa sama, pesara Kerajaan, termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen, akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250.
Kenaikan Gaji Minimum
Salah satu inisiatif paling dinanti-nantikan dalam Belanjawan 2025 ialah kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan, yang akan bermula pada Februari 2025. Ini dijangka memberi kesan positif kepada pekerja B40; kebanyakannya menerima gaji minimum semasa sebanyak RM1,500.
Pelepasan Cukai dan Simpanan Persaraan
Kerajaan turut mengumumkan pelbagai pelepasan cukai yang akan membantu meringankan beban golongan B40. Antaranya termasuk pelepasan cukai untuk perbelanjaan perubatan bagi diri sendiri, pasangan, dan anak-anak yang kini diperluas untuk merangkumi alat ujian kesihatan seperti kit ujian influenza dan peranti perubatan kendiri.
Kerajaan juga mengekalkan pelepasan cukai sebanyak RM8,000 untuk simpanan SSPN, yang akan dilanjutkan sehingga tahun 2027, membantu keluarga B40 merancang masa depan pendidikan anak-anak mereka. Tambahan pula, caruman padanan kerajaan kepada KWSP i-Saraan akan dinaikkan kepada 20%, dengan had maksimum RM500 setahun, sebagai langkah untuk membantu pekerja tidak formal dari golongan B40 meningkatkan simpanan persaraan mereka.
Hakikatnya, Belanjawan 2025 membawa harapan baharu kepada golongan B40, dengan pelbagai bantuan dan subsidi yang disasarkan untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Menerusi inisiatif yang menyeluruh merangkumi bantuan tunai, kenaikan gaji minimum, pelepasan cukai, dan subsidi bahan api, kerajaan yakin bahawa langkah-langkah ini akan dapat meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah di negara ini.
PENULIS AHMAD YANI ISMAIL merupakan Pensyarah Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan, Universiti Islam Selangor.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.