SAUDARA PENGARANG
Statistik semasa deposit Tabung Haji (TH) memberi gambaran yang membimbangkan. Hanya separuh umat Islam di Malaysia yang mempunyai akaun TH, manakala lebih 53% daripada mereka masih belum mencapai simpanan minimum RM1,300 untuk mendaftar haji.
Tambahan pula, peningkatan jumlah deposit yang diuruskan oleh TH dari RM89 bilion pada tahun 2023 kepada RM91.7 bilion pada tahun 2024, iaitu hanya sekitar 3%, adalah lebih rendah daripada kadar agihan keuntungan 3.25% pada tahun sama.
Pada tahun sebelumnya pula, peningkatan deposit hanya 1.6% berbanding agihan keuntungan 3.1%. Trend ini menzahirkan realiti bahawa pertumbuhan deposit baharu semakin perlahan dan tidak mampu menandingi keperluan pulangan tahunan.
Kemerosotan simpanan dalam akaun TH bukan sekadar petunjuk statistik, tetapi satu isyarat jelas bahawa perubahan menyeluruh diperlukan. Perkembangan yang menggusarkan ini meletakkan TH di landasan yang mencabar untuk dekad mendatang.
Tanpa langkah drastik dan sistematik, TH berisiko kehilangan momentum dalam mengekalkan pertumbuhan deposit yang mampan serta memastikan kelestarian kewangan buat para bakal haji.
Tekanan kos perkhidmatan yang semakin meningkat hanyalah sebahagian daripada cabaran besar yang membelenggu TH hari ini. TH kini turut berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan iltizam berterusan para pendeposit untuk terus menabung dengan TH, meski pun sudah mendaftarkan haji.
Realiti semasa menunjukkan TH tidak lagi menikmati kedudukan eksklusif seperti beberapa dasawarsa lalu. Pasaran kini menawarkan pelbagai pilihan simpanan dan pelaburan patuh syariah yang lebih fleksibel dan berdaya saing, sama ada melalui institusi kewangan Islam, skim unit amanah mahupun platform digital.
Justeru, sekiranya tiada intervensi tuntas demi menambat hati keluarga muda, khususnya golongan M40 untuk menyimpan wang di TH, tidak mustahil TH bakal dilupakan oleh generasi akan datang, atau setidak-tidaknya TH tidak lagi menjadi pilihan utama untuk menyimpan wang bagi ke tanah suci.
Antara langkah proaktif yang boleh digerakkan oleh TH untuk memacu pertumbuhan deposit TH ialah menubuhkan Wakaf TH yang bertujuan untuk menambah deposit TH dalam bentuk wakaf tunai, seperti yang telah dilaksanakan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui inisiatif Wakaf MARA Madani.
Dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri, TH boleh dilantik sebagai mutawwali atau pentadbir wakaf tunai yang akan menguruskan dana wakaf yang dikutip dari setiap negeri. Dana wakaf ini kemudiannya dihimpunkan, dilaburkan secara berhemat dan hasilnya boleh disalurkan bagi menampung kos haji dalam bentuk bantuan kewangan haji seperti yang diterima oleh golongan B40 dan M40 selama ini.
ARTIKEL BERKAITAN
- Peremajaan jenama TH, tekad ke arah simpanan lestari
- 1.8 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji di Selangor
- Transformasi Tabung Haji akan dibentang kepada PM
Dana wakaf ini boleh dianggap sebagai salah satu bentuk sumbangan yang boleh diterima oleh TH berdasarkan Seksyen 15, Akta Tabung Haji 1995 untuk diuruskan oleh TH. Dana wakaf ini boleh diklasifikasikan mengikut negeri, misalnya pewakaf dari negeri Perak boleh mewakafkan dana tunai untuk manfaat bakal haji dari negeri Perak juga.
Selain itu, TH boleh menggerakkan mekanisme tertentu bagi membolehkan pendeposit yang berminat dari golongan berada atau T20 untuk mewakafkan agihan keuntungan tahunan mereka kepada dana wakaf ini. Contohnya, jika agihan keuntungan tahun tersebut ialah 3%, mereka boleh memilih untuk mewakafkan sebahagian daripadanya kepada Wakaf TH sebagai amal jariah berterusan.
Sebagai insentif tambahan, sumbangan dana Wakaf TH ini layak diberikan pelepasan cukai, seperti mana yang dinikmati oleh pembayar individu untuk zakat pendapatan. Dengan cara ini, pertumbuhan deposit TH akan lebih rancak dan stabil.
TH juga tidak perlu bimbang dengan risiko pengeluaran wang simpanan oleh pendeposit pada bila-bila masa kerana dana wakaf tidak boleh dikeluarkan semula, sebaliknya kekal diuruskan selama-lamanya, selaras dengan sifat wakaf yang kekal dan berterusan.
Dalam masa yang sama, kira-kira 10 juta umat Islam yang masih belum membuka akaun TH mesti disantuni segera. Halangan kemampuan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja daripada keluarga B40, boleh diatasi dengan kerjasama agensi zakat negeri. Peruntukan zakat boleh digunakan untuk membiayai pembukaan akaun serta simpanan permulaan, agar mereka turut memiliki akses kepada tabungan haji.
Selain itu, budaya menyimpan dalam akaun TH boleh diperkukuh melalui kempen berterusan di mimbar-mimbar masjid ketika khutbah Jumaat dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri. Kempen literasi kewangan haji juga perlu turun ke segenap sekolah, kolej dan universiti agar kepentingan menyimpan wang untuk menunaikan haji dapat disebarluaskan untuk kesedaran maksimum.
Sebagai bakal tenaga kerja dan tonggak masa depan negara, generasi muda Muslim tidak seharusnya sekadar berimpian untuk memiliki ‘kereta pertama’ atau ‘rumah pertama.’ Sebaliknya, ‘haji pertama’ juga mesti dijadikan sebahagian daripada aspirasi hidup mereka.
Cabaran getir yang sedang dilalui oleh TH memerlukan sokongan bersepadu oleh semua pihak. Meskipun kelihatan sukar, setiap cabaran juga turut membuka ruang baharu yang boleh diteroka bagi mendapatkan kaedah terbaik untuk memastikan pertumbuhan deposit yang mampan dan memberi manfaat berterusan kepada umat Islam di Malaysia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr Mohamed Hadi Abd Hamid CSA, IFP
Penasihat syariah bertauliah dan perancang kewangan Islam
Dr Mohd Zaidi Md Zabri
Pengarah Interim
Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Ekonomi Islam (i-RISE)
ISRA Institute, INCEIF University