SAUDARA PENGARANG
Semasa perasmian Persidangan Penyelidikan Gorvenans, Intergiti dan Antirasuah Kebangsaan kali ke-4 baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara sekali lagi menekankan komitmen kerajaan untuk melaksanakan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
ARPA merupakan satu kerangka strategik menyeluruh yang digariskan bagi memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan awam ke arah yang lebih cekap, berintegriti dan berfokus rakyat (PACU, 2025). Tekad ini disusul dalam pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang lalu, telah menekankan tatakelola baik sebagai kunci untuk mencapai pembangunan inklusif dan mampan.
Ini melibatkan pentadbiran yang cekap, telus dan adil dalam penyampaian perkhidmatan awam, serta reformasi fiskal dan transformasi digital. Upaya ini semestinya perlu menyorot sama penanda aras terhadap piawaian antarabangsa seperti penarafan Worldwide Governance Indicators (WGI), Global Governance Index (GGI) dan Corruption Perception Index (CPI).
WGI ialah pengumpulan data oleh Bank Dunia yang menilai enam aspek tadbir urus, seperti kawalan rasuah dan keberkesanan kerajaan, dan menunjukkan negara yang mempunyai institusi yang kukuh dan membuat keputusan yang jelas (Bank Dunia, 2024). Kebersamaan dedikasi terhadap hak asasi manusia serta tadbir urus berasaskan nilai ini memastikan bahawa sumber awam digunakan untuk kebaikan bersama, mewujudkan budaya amanah dalam masyarakat, pelaburan yang mampan, dan akhirnya menyokong kesejaheraan sosioekonomi yang luar biasa.
Manakala GGI pula satu penarafan indeks ke atas tatakelola sesebuah negara dengan fokusnya ialah kepada prestasi rangka kerja dan infrastruktur kawal selia untuk menyokong daya saing yang mampan, berdasarkan penunjuk kuantitatif (cth., kemudahan memulakan perniagaan). Indeks ini dikeluarkan oleh Solability sebuah firma penyelidikan dan perundingan swasta yang berpangkalan di Zurich, Switzerland, dengan cawangan di Seoul, Korea Selatan.
Setiap indeks mempunyai fokus penilaian yang unik. GGI Solability memfokuskan pada hasil kuantitatif rangka kerja dan infrastruktur kawal selia, manakala WGI Bank Dunia lebih menumpukan pada kualiti tadbir urus yang dilihat. Manakala, CPI Transparency International, yang mengukur tahap persepsi rasuah sektor awam, melengkapkan lagi penilaian ini. CPI yang tinggi menunjukkan rasuah yang rendah, yang diterjemahkan kepada kehadiran dasar pencegahan rasuah yang cekap dan sistem etika yang baik dalam kerajaan (Transparency International, 2024).
Meneliti dan mempelajari negara-negara di senarai teratas dalam WGI, GGI dan CPI ini dapat dicerap bahawa terdapat korelasi yang kuat antara negara teratas dalam indeks-indeks ini. Ketiga-tiga indeks ini saling melengkapi dalam menilai kualiti tadbir urus, walaupun dengan fokus dan metodologi yang berbeza. Negara yang mempunyai skor tinggi dalam sesatu indeks cenderung juga menunjukkan prestasi yang baik dalam indeks yang lain. Ini amat ketara di negara-negara Nordic dan Eropah Barat.
Denmark dan Finland contohnya secara konsisten berada dalam 5 teratas untuk ketiga-tiga indeks. Sebagai contoh, Denmark menduduki tempat pertama dalam CPI 2024 (skor 90), manakala Finland adalah antara peneraju dalam kedua-dua WGI dan GGI. Sweden mendahului WGI 2024 (skor 71.91) dan juga mempunyai skor CPI yang tinggi (88 pada 2023, walaupun ini tidak dinyatakan secara jelas untuk 2024).
Singapura dan New Zealand juga kerap muncul dalam kedudukan teratas, terutamanya untuk CPI dan WGI. Jelas, terdapat korelasi positif yang kuat antara prestasi dalam WGI, GGI, dan CPI. Negara yang mempunyai tadbir urus yang baik cenderung mempunyai tahap rasuah yang rendah, keberkesanan kerajaan yang tinggi dan rangka kerja kawal selia yang menyokong.
Ciri-ciri seperti kedaulatan undang-undang, ketelusan dan kestabilan politik adalah faktor utama yang menyokong prestasi ini. Bagaimanapun, variasi dalam kedudukan negara menunjukkan bahawa konteks negara dan keutamaan dasar juga memainkan peranan penting.
Bagaimana reformasi perkhidmatan awam negara dapat dilajukan dan seterusnya memperkukuhkan lagi tahap tatakelolanya agar dapat menepati standard seperti tatakelola negara teratas indeks utama dunia ini? Ilitizam ini dapat dicapai sekiranya akta, peraturan, pekeliling, prosedur operasi standard dan perkhidmatan awam diterapkan dengan tiga pendekatan atau dimensi tatakelola ini, iaitu:
i) Human-centered Administration (HCA) / Pentadbiran Berpusatkan Manusia
ii) Human Rights-centered Administration (HRCA) / Pentadbiran Berpusatkan Hak Asasi Manusia; dan
iii) Value-based Management (VBM) / Pengurusan Berasaskan Nilai.
Sekiranya negara Malaysia benar-benar ingin menjayakan agenda reformasi perkhidmatan awam, maka adalah sangat perlu untuk negara memanfaatkan ibrah dan teladan yang telah dicapai oleh negara yang disebutkan di atas. Sebagai satu penelitian, perbandngan boleh disorot dari segi dasar, tindakan dan sebab. Ambil Sahaja proses permohonan permit atau lesen sebagai satu contoh kajian:
a. Pentadbiran Berpusatkan Manusia (HCA)
Dasar: Cipta aplikasi pelesenan dalam talian yang mesra pengguna dengan antara muka yang jelas dan arahan yang mudah.
Tindakan: Sediakan meja bantuan dengan perkhidmatan pelanggan yang terlatih dan empati untuk membantu pemilik perniagaan yang kurang Celik teknologi.
Sebab: Pendekatan ini memberi tumpuan kepada pengalaman praktikal dan keperluan pengguna (pemilik perniagaan) untuk menjadikan proses itu kurang mengelirukan dan menyeronokkan. Matlamatnya ialah kepuasan pengguna.
b. Pentadbiran Berpusatkan Hak Asasi Manusia (HRCA)
Dasar: Pastikan setiap warganegara mempunyai hak yang sama untuk memohon permit tanpa diskriminasi berdasarkan etnik, agama atau latar belakang.
Tindakan: Menyediakan mekanisme rayuan atau aduan bebas jika permit ditolak tanpa alasan yang jelas dan bertanggungjawab. Ketelusan proses dan keperluan juga adalah satu kemestian.
Sebab: Pendekatan ini memandang permit sebagai sebahagian daripada hak ekonomi (hak untuk menjalankan perniagaan). Sebarang penolakan mesti mempunyai asas undang-undang yang jelas dan boleh disemak untuk mengelakkan ketidakadilan (akauntabiliti dan saksama).
c. Pengurusan Berasaskan Nilai (VBM)
Dasar: Agensi mempunyai nilai teras "Perkhidmatan Pantas dan Tepat" dan "Integriti."
Tindakan: Semua prosedur dipercepatkan dengan sasaran penyiapan yang jelas. Pekerja yang bekerja untuk menyasarkan dan menolak rasuah diberi ganjaran. Setiap keputusan dipersoalkan: "Adakah ini cara paling cepat dan paling jujur yang boleh kita lakukan?"
Sebab: Pendekatan ini menggunakan nilai organisasi sebagai kompas untuk membimbing tingkah laku pekerja dan mengukur prestasi, bukannya hanya mengikut peraturan. Matlamatnya adalah untuk membina budaya organisasi yang unggul dan reputasi yang baik.
Hubungan dan kesimpulan di sini dapat dilhat, hubung kait tiga pendekatan ini kepada kualiti sesuatu perkhidmatan itu sepertimana berikut:
- HRCA ialah Asas Undang-undang dan Moral:
Pentadbiran Berpusatkan Hak Asasi Manusia selalunya merupakan tahap minimum yang mesti dipenuhi. Perkhidmatan berpusatkan manusia yang mendiskriminasi kumpulan adalah kegagalan hak asasi manusia. - HCA ialah Aplikasi Praktikal: Pentadbiran Berpusatkan Manusia ialah satu cara untuk merealisasikan prinsip hak asasi manusia dengan cara yang lebih ketara, empati dan berfokuskan pengalaman. Perkhidmatan yang mematuhi hak asasi manusia tetapi menyusahkan dan tidak mesra pengguna adalah suboptimum.
- VBM ialah Rangka Kerja Budaya Organisasi: Pengurusan Berasaskan Nilai ialah rangka kerja dalaman organisasi untuk menggerakkan semua sumbernya (termasuk sumber manusia) untuk mencapai matlamatnya secara konsisten. Nilai yang dipilih (cth., "menghormati individu") mungkin merangkumi keduadua prinsip HCA dan HRCA.
Kesimpulannya, dengan menerapkan ketiga-tiga pendekatan ini, kerajaan bukan sahaja dapat meningkatkan pelaksanaan reformasi perkhidmatan awam yang lebih fokus kepada rakyat, hak asasi dan nilai; malah ia juga akan menyokong prestasi dalam indikator global di mana ini menyumbang kepada peningkatan tadbir urus dan pengurangan korupsi yang diukur oleh WGI, GGI dan CPI.
Prinsip dan nilai inilah yang disebut sebagai “nilai ahsin” yang dikandung di dalam firman Tuhan, “Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah (ahsin) (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas: 77).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Mohd Gunawan Che Ab Aziz
Timbalan Pengarah
Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)