fb fb fb fb fb

Masa depan 6G: Sudahkah kita bersedia?

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Hari ini, dunia masih sibuk menyesuaikan diri dengan teknologi 5G. Malah, ada negara yang liputannya masih belum penuh dan stabil. Tetapi di makmal penyelidikan dan pusat inovasi seluruh dunia, perbincangan tentang generasi baharu, iaitu 6G, sudah pun bermula dengan rancak. Jika ikut jangkaan, 6G akan mula digunakan secara komersial sekitar tahun 2030.

Bezanya, 6G bukan sekadar tentang kelajuan internet yang lebih laju, tetapi menjanjikan perubahan besar dalam cara kita hidup, bekerja, dan berhubung antara satu sama lain. Soalnya, bersediakah kita untuk menyambutnya?

Kalau 5G ibarat jambatan yang menghubungkan pelbagai peranti, 6G pula membayangkan sebuah dunia yang menyatukan pengalaman fizikal, digital dan manusia. Bayangkan kelajuan mencecah 1 terabit sesaat bersamaan seratus kali ganda lebih pantas berbanding 5G dengan kelewatan (latensi) kurang daripada satu milisaat.

Dengan kelajuan sebegini, muat turun filem atau lagu berlaku sekelip mata, mesyuarat maya menggunakan hologram terasa seolah-olah semua orang berada dalam bilik yang sama, malah pembedahan jarak jauh boleh dilakukan secara masa nyata tanpa gangguan.

Lebih menarik, teknologi 6G juga dijangka mampu menghantar bukan sahaja suara dan video, tetapi juga maklumat deria seperti sentuhan dan bau. Bayangkan membeli-belah dalam talian sambil “merasai” tekstur pakaian, atau doktor yang melakukan pembedahan dari jauh dapat merasai nadi pesakit melalui teknologi tele-sentuh.

Malah, kecerdasan buatan (AI) juga tidak lagi hanya bergantung pada pusat data di awan, sebaliknya akan wujud dalam rangkaian itu sendiri, menjadikan proses lebih pantas, selamat dan peribadi.

Namun, di sebalik janji yang begitu menakjubkan, ada cabaran besar menanti. Pertama sekali ialah kos. Untuk membina rangkaian 6G, kita memerlukan jutaan stesen pangkalan baharu kerana ia menggunakan frekuensi terahertz (THz) yang hebat tetapi mudah terganggu.

Ini bermakna kos pemasangan dan penyelenggaraannya sangat tinggi, dan mustahil ditanggung oleh satu pihak sahaja. Selain itu, dengan jangkaan berbilion peranti akan disambungkan, isu penggunaan tenaga juga membimbangkan. 6G perlu direka lebih cekap tenaga supaya tidak membebankan alam sekitar, dan inovasi seperti cip pintar serta teknologi penuaian tenaga sangat diperlukan.

Tidak cukup dengan itu, ancaman keselamatan siber juga akan menjadi lebih serius. Bayangkan jika serangan siber berjaya menembusi rangkaian 6G, ia bukan sahaja melumpuhkan sistem negara atau grid tenaga, malah boleh mengancam nyawa sekiranya ia berlaku ketika pembedahan jarak jauh. Keselamatan siber tidak lagi boleh dianggap perkara tambahan, sebaliknya perlu menjadi asas sejak awal pembangunan teknologi ini.

Ada juga persoalan tentang jurang digital. Adakah 6G akan hanya dinikmati oleh negara-negara maju, sementara negara membangun dan kawasan luar bandar terus ketinggalan? Jika ya, teknologi ini berpotensi menambahkan lagi jurang antara kaya dan miskin, bandar dan desa. Maka, isu keterangkuman serta kemampuan akses perlu dipandang serius sejak dari awal.

Jadi, adakah kita sudah bersedia? Dari sudut penyelidikan, jawapannya ya. Banyak universiti terkemuka dan syarikat teknologi gergasi telah pun mengorak langkah menjalankan eksperimen dan ujian terhadap komponen 6G. Tetapi dari segi infrastruktur, polisi, dan kesedaran masyarakat, kita masih jauh lagi. Liputan 5G yang masih tidak sekata sudah cukup memberi gambaran betapa mencabarnya untuk membina rangkaian 6G yang jauh lebih kompleks.

Kesediaan untuk 6G sebenarnya bermula hari ini. Standard global perlu dipersetujui bersama, daripada soal spektrum hingga ke etika penggunaannya. Kerajaan dan industri pula mesti melabur bukan sekadar dalam kajian teknologi, tetapi juga dalam asas penting seperti fiber optik. Pada masa yang sama, perbincangan tentang privasi, undang-undang, dan etika AI mesti dimulakan segera, dengan melibatkan suara masyarakat, bukan hanya pemain industri.

Kesimpulannya, 6G menjanjikan sebuah revolusi yang akan mengubah cara kita berhubung dengan dunia. Tetapi janji ini datang bersama tanggungjawab besar. Jika kita mampu merancang dengan baik, bekerjasama secara global, dan memastikan ia inklusif, 6G boleh menjadi teknologi yang adil, lestari, dan benar-benar bermanfaat untuk semua.

Namun, jika tidak diuruskan dengan betul, ia berpotensi menambah jurang dan mewujudkan cabaran baharu yang lebih kompleks. Menuju tahun 2030, persoalan yang lebih penting bukanlah “apa yang 6G mampu lakukan?”, tetapi “adakah kita bijak membinanya untuk kebaikan semua?”.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

TS NOORAZLINA MOHAMID SALIH
Ts. Noorazlina Mohamid Salih
Pensyarah Kejuruteraan Elektrik Marin
Jabatan Kejuruteraan Elektrik & Marin Teknologi
Universiti Kuala Lumpur
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI