fb fb fb fb fb

Apakah kita mungkin perlu mula ‘menjaga tepi kain orang’?

Gambar hiasan

Saudara pengarang,

Keganasan rumah tangga adalah isu kompleks yang dipengaruhi oleh faktor ekonomi, sosial, norma budaya, dan kesihatan emosi. Dalam masyarakat patriarki seperti Malaysia isu rumah tangga adalah masalah peribadi yang menghalang perbincangan secara terbuka. Sikap jangan campur hal orang lain atau “jangan jaga tepi kain orang” boleh menormalisasikan penderaan.

Manakala mangsa pula tidak mahu melaporkan keganasan atau mendapatkan bantuan kerana malu dan takut dihakimi masyarakat.

Keganasan rumah tangga adalah penderaan fizikal, seksual, emosi, ekonomi atau psikologi yang digunakan untuk mendapatkan kuasa dan kawalan ke atas pasangan, tanpa mengira latar belakang.

Menurut WHO, kira-kira 1/3 daripada wanita di seluruh dunia, termasuk hampir 27 peratus wanita berumur 15 hingga 49 tahun yang pernah menjalin hubungan, telah mengalami keganasan oleh pasangan intim.

Selain itu, hampir 38 peratus penganiayaan dan kematian wanita di seluruh dunia adalah disebabkan oleh pasangan intim.

Di Malaysia, PDRM merekodkan 12,324 kes keganasan rumah tangga antara 2019 hingga 2023, dengan jumlah tertinggi semasa pandemik COVID-19 pada tahun 2022 (2,752 kes), diikuti tahun 2021 (2,611 kes).

Menurut WHO juga, di Amerika Syarikat sahaja 1 daripada 4 wanita (24 peratus) dan 1 daripada 9 lelaki (11 peratus) mengalami keganasan fizikal oleh pasangan intim. Di United Kingdom pula, kira-kira 7.3 peratus wanita dan 3.6 peratus lelaki mengalami penderaan oleh pasangan intim pada tahun 2023. Manakala, sekitar 16 peratus wanita dan 5 peratus lelaki mengalami keganasan fizikal atau seksual oleh pasangan sejak berumur 15 tahun, di Australia.

Norma budaya - tabu dan stereotaip gender merupakan punca dalam isu keganasan rumah tangga. Dalam masyarakat Timur yang mengamalkan patriarki, wanita sering menganggap lelaki sebagai tunggak keluarga, isteri perlu patuh kepada pasangan dan yang muda perlu tunduk kepada orang tua. Ini menghalang mereka memahami hak asasi dalam perhubungan dan institusi kekeluargaan yang sebenar.

Justeru tidak mustahil boleh menormalisasikan tindakan penderaan terhadap wanita. Penderaan boleh memberi kesan negatif kepada emosi wanita, menyebabkan tekanan dan menjejaskan kehidupan berkeluarga. Walaupun wujud mangsa lelaki, jumlahnya jauh lebih kecil berbanding wanita.

Selain itu, pandangan konvensional tentang peranan gender dan sikap masyarakat yang enggan “menjaga tepi kain orang lain” kerana menganggap ianya isu masalah peribadi, sering membuatkan mangsa terpaksa berdiam diri atau menanggung penderaan sendiri sementara orang sekeliling enggan campur tangan.

Sikap ini mengekalkan penderaan dan meninggalkan kesan mendalam pada emosi mangsa, yang berasa malu, takut dihakimi, dan terasing. Akibatnya, mereka sukar mendapatkan sokongan atau perlindungan yang amat diperlukan.

Kajian satu kumpulan penyelidik Universiti Malaya ke atas 2,081 wanita umur reproduktif di Malaysia mendapati walaupun pengetahuan mengenai keganasan rumah tangga tinggi, masih terdapat jurang antara pengetahuan dan kesediaan untuk bertindak dalam situasi sebenar.

Hampir 70 peratus responden lebih cenderung mendapatkan bantuan daripada keluarga dan saudara mara, berbanding melaporkan kepada pihak berkuasa (28 peratus), jika menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Beberapa faktor menyumbang kepada jurang pengetahuan dan amalan dalam menangani keganasan rumah tangga, termasuk ketakutan terhadap pendera serta stigma sosial terhadap mangsa yang menghalang orang sekeliling daripada campur tangan.

Isu ini juga sering dianggap sebagai masalah peribadi dan budaya jangan mencampuri urusan orang lain, menyebabkan keganasan berterusan sehingga ada kes yang berakhir dengan kematian.

Selain itu, kekurangan pengetahuan dan keyakinan diri untuk membantu turut menjadi faktor utama. Stigma, rasa malu dan ketakutan untuk mendedahkan keadaan sebenar, sekali gus mengasingkan mangsa dan meningkatkan risiko kesan negatif terhadap kesihatan mental mereka.

Intervensi yang berkesan memerlukan dasar menyeluruh serta sistem sokongan yang kukuh bagi membantu mangsa mengenali tanda-tanda keganasan dan memahami hak mereka untuk mendapatkan bantuan.

Pendidikan dan kesedaran awam tentang pelbagai bentuk keganasan rumah tangga dapat mencegah penganiayaan serta mengurangkan stigma sosial.

Selain itu, peranan sektor kesihatan melalui kerjasama dengan agensi kerajaan, NGO dan komuniti amat penting dalam menyediakan sokongan menyeluruh kepada mangsa. Sokongan masyarakat juga perlu diperkukuh bagi meningkatkan empati, mengelakkan sikap menghakimi, dan memastikan bantuan diberikan dengan berkesan.

Jelaslah, keluarga adalah asas masyarakat dan keganasan rumah tangga tidak boleh dinormalisasikan. Individu perlu celik tentang hak mereka untuk melindungi diri daripada penderaan.

Masyarakat pula perlu mengubah sikap “jangan jaga tepi kain sendiri”, sebaliknya, kita harus cakna isu keganasan rumah tangga, ikut campur bagi menyelamatkan mangsa dan mencegah penganiayaan daripada terus berlaku.


Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Nur Annizah Ishak
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Malaya 
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN