SAUDARA PENGARANG
Peranan wanita dalam wacana pembangunan ekonomi Malaysia hari ini, tidak lagi boleh dilihat sebagai pelengkap semata-mata. Wanita sebagai ibu, pencari nafkah, usahawan mikro malah kini berada di barisan hadapan bertindak sebagai pemacu kelangsungan keluarga. Dalam suasana kos sara hidup yang semakin meningkat dan pasaran kerja yang mencabar, semakin ramai wanita memilih jalan menceburi dalam bidang keusahawanan.
Statistik terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa pada tahun 2022, terdapat lebih 219,000 perniagaan milikan wanita di Malaysia, merangkumi kira-kira 20% daripada keseluruhan perniagaan berdaftar. Majoriti perniagaan ini tertumpu kepada sektor perkhidmatan, khususnya perdagangan borong dan runcit serta sektor makanan dan minuman iaitu sektor yang sinonim dengan perniagaan mikro dan kecil. Angka ini bukan sekadar statistik. Ia mencerminkan suatu realiti bahawa wanita adalah antara pemacu utama ekonomi negara.
Koperasi Ekosistem Sokongan Ushawan Wanita
Koperasi kewangan memainkan peranan yang semakin signifikan. Berbeza dengan institusi kewangan konvensional, koperasi dibina atas prinsip kebersamaan, kepercayaan dan tanggungjawab sosial. Koperasi seperti Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) misalnya boleh dijadikan contoh.
Meskipun majoriti anggotanya terdiri daripada wanita sebagai pencarum merangkap peminjam untuk tujuan perniagaan, institusi berteraskan nilai ini dapat menyokong keusahawanan wanita secara lebih inklusif. Hakikatnya, usahawan mikro dalam kalangan wanita ini datang daripada pelbagai latar belakang sosial, ekonomi dan pendidikan.
Justeru, apabila kita menyebut tentang diversity atau kepelbagaian, ia seharusnya difahami secara meluas iaitu dalam konteks wanita sebagai usahawan mikro. Kepelbagaian merangkumi pelbagai dimensi seperti tahap pendidikan dan literasi kewangan, pengalaman keusahawanan, saiz dan jenis perniagaan, status sosioekonomi. peranan keluarga dan fasa kehidupan serta akses kepada teknologi dan digitalisasi.
Ada wanita yang baru bertatih dalam dunia perniagaan, ada juga yang telah bertahun-tahun berniaga. Ada yang berniaga sepenuh masa, dan ada juga yang menjadikan perniagaan sebagai sokongan pendapatan keluarga. Kepelbagaian ini mencerminkan realiti sebenar ekonomi rakyat Malaysia.
Statistik DOSM menunjukkan bahawa walaupun perniagaan milikan wanita menyumbang sekitar 3.6% kepada jumlah output ekonomi negara, sumbangan ini sebenarnya signifikan kerana ia datang daripada sektor mikro dan kecil yang berdaya tahan. Malah, perniagaan milikan wanita turut menyediakan pekerjaan kepada lebih 830,000 orang, iaitu suatu angka yang tidak boleh dipandang ringan.
Isu Kelangsungan Perniagaan Wanita
Walaupun penyertaan wanita dalam keusahawanan masa kini semakin meningkat, isu kelangsungan (sustainability) perniagaan masih menjadi cabaran utama. Banyak perniagaan mikro gagal bertahan bukan disebabkan oleh ketiadaan usaha, tetapi kerana kekangan sokongan, ilmu dan rangkaian.
Wanita sering berdepan cabaran berganda seperti kekangan modal atau aliran tunai, tanggungjawab keluarga atau penjagaan, kekurangan akses latihan bersasar serta tekanan emosi dan psikologi. Tambahan pula, kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja Malaysia masih rendah sekitar 56–57%. Ini menunjukkan bahawa keusahawanan mikro menjadi alternatif penting bagi wanita untuk terus menyumbang kepada ekonomi tanpa meninggalkan peranan domestik sepenuhnya.
Islam sendiri mengiktiraf realiti kemampuan dan keupayaan insan seperti Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 286: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah, 2:286) Prinsip kehidupan yang ditekankan dalam surah ini sangat relevan dalam merangka sokongan kepada wanita usahawan iaitu sokongan yang semestinya realistik, berperingkat dan berperikemanusiaan.
Pendekatan Inklusif: Mengurus Kepelbagaian dalam Koperasi
Pengurusan yang inklusif dan sensitif kepada kepelbagaian adalah penting dilaksanakan. Dalam konteks koperasi, pengurusan tidak boleh bersifat “satu acuan untuk semua”. Pendekatan yang terlalu seragam berisiko meminggirkan anggota yang lemah, sekali gus menjejaskan matlamat kebersamaan.
Pendekatan inklusif merangkumi latihan yang disesuaikan dengan tahap keupayaan anggota, bimbingan berfasa bukan sekali lalu, pemantauan yang membina dan bukan menghukum serta kefahaman terhadap realiti kehidupan wanita. Ia sejajar dengan tuntutan keadilan dalam Islam: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat ihsan.” (Surah an-Nahl, 16:90)
Adil tidak bermaksud sama rata, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Walaupun istilah Pengurusan Sumber Manusia lazimnya dikaitkan dengan pekerja, namun dalam konteks koperasi, konsep ini boleh diperluaskan kepada pengurusan dan pembangunan anggota. Anggota koperasi, khususnya pencarum yang meminjam untuk tujuan perniagaan, merupakan aset utama koperasi.
Pendekatan Pengurusan Sumber Manusia berorientasikan anggota merangkumi pembangunan modal insan, latihan keusahawanan berterusan, pemerkasaan psikologi dan keyakinan diri serta sokongan jaringan dan komuniti. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan individu, malah menyumbang kepada kestabilan kewangan koperasi secara keseluruhan. Allah SWT berfirman: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa.” (Surah al-Ma’idah, 5:2)
Koperasi, pada hakikatnya, adalah manifestasi konsep ta‘awun dalam ekonomi moden. Apabila diurus dengan baik, kepelbagaian wanita sebagai usahawan mikro ini berupaya menjadi sumber kekuatan kolektif. Wanita dengan latar belakang berbeza membawa idea, pengalaman dan jaringan hubungan kerja yang berbeza. Melalui perkongsian ilmu dan sokongan sesama anggota, koperasi boleh membina ekosistem keusahawanan yang lebih berdaya tahan.
Pendekatan ini juga selari dengan agenda Ekonomi Madani, yang menekankan keseimbangan di antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial. Wanita usahawan mikro bukan sekadar pencari keuntungan, tetapi bertindak sebagai agen pembangunan keluarga dan komuniti.
Statistik DOSM menunjukkan bahawa majoriti perniagaan milikan wanita tertumpu dalam sektor perkhidmatan iaitu sektor yang menjadi nadi ekonomi domestik. Ini bermakna kelangsungan perniagaan wanita secara langsung mempengaruhi kestabilan ekonomi rakyat.
Ke Arah Model Koperasi Inklusif dan Lestari
Melangkah ke hadapan, koperasi perlu memposisikan diri bukan sekadar sebagai pemberi pembiayaan, tetapi sebagai institusi pembangunan insan. Latihan berasaskan tahap dan keperluan anggota, sistem mentor–menti sesama usahawan wanita, sokongan bukan kewangan seperti kaunseling perniagaan dan pengiktirafan peranan wanita dalam pelbagai fasa kehidupan bukan sahaja mampu meningkatkan kelangsungan perniagaan, malah memperkukuh misi sosial koperasi.
Wanita usahawan mikro bukan kelompok pinggiran dalam ekonomi negara. Namun, dengan menggabungkan nilai kebersamaan, pendekatan pengurusan moden dan prinsip Islam, koperasi boleh menjadi model institusi kewangan yang bukan sahaja lestari, tetapi juga berperikemanusiaan. Rencana ini diharapkan menjadi titik mula perbincangan yang lebih luas bahawa kepelbagaian wanita bukan beban, tetapi amanah dan kekuatan dalam membina ekonomi negara yang seimbang dan madani.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Kuantitatif
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
e-mel: