fb fb fb fb fb

Kos sara hidup mahasiswa: Isu bersama, tanggungjawab semua

Gambar hiasan/FB USM

SAUDARA PENGARANG

Kos sara hidup semakin menjadi topik perbualan utama rakyat Malaysia hari ini. Bukan sahaja dalam kalangan keluarga atau golongan bekerja, malah mahasiswa turut merasai tekanan yang sama.

Kenaikan harga barang dan perkhidmatan, ditambah dengan komitmen kewangan sedia ada, menjadikan kehidupan harian semakin mencabar, khususnya bagi mereka yang masih menuntut ilmu.

Kaitan Inflasi dan Kos Sara Hidup Mahasiswa

Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa inflasi negara meningkat kepada 1.4 peratus pada November 2025, dengan kumpulan pendidikan mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya.

Ini memberi gambaran jelas bahawa kos berkaitan pendidikan tidak terkecuali daripada tekanan ekonomi semasa.

Walaupun inflasi keseluruhan masih terkawal, realitinya kos untuk belajar, termasuk yuran, bahan pembelajaran, penginapan dan perbelanjaan harian, semakin meningkat.

Dalam keadaan ini, mahasiswa berada dalam kedudukan yang agak rapuh kerana ramai bergantung kepada sokongan keluarga, pinjaman pendidikan atau pendapatan sambilan yang terhad.

Bagi mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah, tekanan ini dirasai dengan lebih ketara. Ia bukan sekadar soal wang, tetapi turut memberi kesan kepada emosi, kesihatan mental dan keupayaan pelajar untuk menumpukan perhatian kepada pembelajaran.

Namun, isu ini bukan hanya berlaku di Malaysia kerana berdasarkan kajian QS International Student Survey 2023 telah menunjukkan bahawa 69 peratus daripada lebih 116,000 responden mahasiswa, meletakkan kos sara hidup sebagai kebimbangan utama mereka, diikuti oleh isu mendapatkan penginapan dan keterbatasan peluang biasiswa.

Dapatan ini mengukuhkan bahawa tekanan kos sara hidup mahasiswa merupakan isu global yang berterusan.

Langkah Proaktif Bantu Mahasiswa Tempatan

Menyedari cabaran ini dan dalam memastikan kebajikan mahasiswa terjaga, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil langkah proaktif meringankan beban para mahasiswa dan memastikan kebajikan mereka menjadi keutamaan kementerian.

Antaranya adalah penyediaan pelbagai bantuan kewangan untuk membantu mahasiswa dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, termasuk untuk mahasiswa OKU.

Pada masa yang sama KPT juga menyeru untuk setiap universiti memainkan peranan dalam mengurangkan beban mahasiswa. Dalam konteks ini, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil pendekatan yang konsisten dan menyeluruh dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara.

Usaha yang dilaksanakan tidak terhad kepada bantuan bersifat sementara, sebaliknya dibangunkan sebagai satu ekosistem sokongan yang merangkumi bantuan kewangan, pengurusan kos perbelanjaan harian serta sokongan perkhidmatan pembangunan mahasiswa.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Menu Rahmah, penyediaan makanan percuma, penubuhan bank makanan di kampus serta pemberian kit keperluan asas bagi membantu mahasiswa memenuhi keperluan harian mereka. Pendekatan holistik ini turut diperluaskan melalui pelaksanaan Bantuan Siswa Sulung, hasil kerjasama strategik dengan KPT.

Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan sokongan kewangan kepada mahasiswa yang merupakan generasi pertama dalam keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, tetapi juga dilengkapi dengan Modul Pembangunan Insaniah Siswa Sulung.

Modul ini merangkumi sembilan komponen utama yang memberi penekanan kepada pembinaan daya tahan diri, kepimpinan, sahsiah, literasi kewangan serta penglibatan komuniti secara proaktif yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam usaha melahirkan graduan yang berintegriti, berdaya saing dan peka terhadap realiti sosial.

Selain itu, USM turut mengukuhkan jaringan kerjasama dengan pihak industri dan korporat bagi memperluas impak kebajikan kepada mahasiswa. Antara contoh kerjasama strategik ialah sumbangan makanan melalui inisiatif Kongsi Rezeki bersama tokoh korporat negara seperti Yusuf Taiyoob, yang menyediakan nasi lemak percuma kepada mahasiswa secara berterusan.

Di samping itu, kerjasama dengan Affin Islamic Bank turut menyumbang kepada kesejahteraan mahasiswa apabila sumbangan e-basikal disediakan khusus untuk mahasiswa asnaf dan orang kurang upaya (OKU), sekali gus membantu mengurangkan kos pengangkutan harian dan meningkatkan mobiliti mereka di kampus.

Usaha universiti tidak terhenti kepada pemberian bantuan semata-mata apabila USM turut menjalankan kajian dan tinjauan secara berterusan bagi mengenal pasti barang dan perkhidmatan yang memberi kesan langsung kepada perbelanjaan harian mahasiswa.

Antara aspek yang diteliti termasuk harga makanan di kafeteria, kos perkhidmatan cetakan dan fotostat, tambang e-hailing serta perbelanjaan rutin lain yang membentuk struktur kos kehidupan mahasiswa.

Hasil kajian ini penting sebagai asas kepada perancangan dasar yang lebih berfokus dan berasaskan bukti, sekali gus membolehkan universiti menilai keperluan sebenar mahasiswa dan merangka langkah intervensi yang lebih bersesuaian, termasuk pelan tindakan jangka panjang yang lebih mampan.

Gabungan bantuan kewangan, sokongan keperluan asas, kawalan kos perbelanjaan harian, pembangunan insaniah dan kerjasama industri ini mencerminkan kefahaman bahawa kebajikan mahasiswa tidak boleh ditangani secara terpisah.

Sebaliknya, ia memerlukan pendekatan bersepadu yang melihat mahasiswa sebagai insan yang bukan sahaja memerlukan sokongan material, tetapi juga bimbingan, kemahiran hidup dan jaringan sokongan untuk membina daya tahan jangka panjang.

Pendekatan sedemikian memastikan mahasiswa bukan sekadar dibantu untuk menghadapi tekanan kos sara hidup semasa, tetapi turut diperkasa untuk mengurus cabaran kehidupan dengan lebih yakin, bermaruah dan berdaya saing.

Inilah asas kepada pembentukan ekosistem kampus yang inklusif, adil dan mampan, selaras dengan peranan universiti awam sebagai institusi sosial yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara secara keseluruhan.

Namun, perbincangan mengenai kos sara hidup mahasiswa tidak boleh terhenti pada penyediaan bantuan dan sokongan semata-mata.

Bantuan dan sokongan adalah penting dan sering kali menyelesaikan keperluan mendesak, tetapi tanpa kesedaran serta keupayaan mengurus kewangan, tekanan yang sama berisiko berulang sepanjang tempoh pengajian.

Oleh itu, usaha meningkatkan kesedaran mahasiswa tentang perancangan kewangan, disiplin perbelanjaan dan kepentingan membuat pilihan ekonomi yang berhemah perlu diberi perhatian yang lebih serius.

Gabungan antara bantuan dan pemerkasaan ini memastikan mahasiswa bukan sahaja dibantu untuk bertahan, tetapi turut diperkasa untuk mengurus cabaran kehidupan dengan lebih baik.

Dalam jangka panjang, menjaga kebajikan mahasiswa merupakan pelaburan untuk masa depan negara memandangkan, mahasiswa yang sejahtera akan muncul sebagai graduan yang lebih bersedia menghadapi realiti dunia sebenar, berdaya tahan dan mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan negara.

Namun, usaha ini tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja tetapi merangkumi kerjasama strategik pelbagai pihak seperti universiti, kementerian, industri, masyarakat dan mahasiswa sendiri perlu memainkan peranan masing-masing dalam membina ekosistem sokongan yang menyeluruh dan mampan, agar bantuan yang disediakan benar-benar memperkukuh daya tahan kewangan dan kesejahteraan generasi muda pada masa hadapan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF. DR. SAIDATULAKMAL MOHD
Prof. Dr. Saidatulakmal Mohd
Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC)
Universiti Sains Malaysia (USM)
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI